UMAT Islam di Indonesia menyambut Hari Raya Aidilfitri pada Isnin lalu selepas pemerintah negara itu mengumumkan bahawa 1 Syawal 1443 Hijrah jatuh pada hari tersebut selepas proses melihat anak bulan dilakukan di 99 buah lokasi di negara... Klik di sini untuk terus membaca

UMAT Islam di Indonesia menyambut Hari Raya Aidilfitri pada Isnin lalu selepas pemerintah negara itu mengumumkan bahawa 1 Syawal 1443 Hijrah jatuh pada hari tersebut selepas proses melihat anak bulan dilakukan di 99 buah lokasi di negara berkenaan.

Pengumuman tarikh itu dibuat oleh Menteri Agama, Yaqut Cholil Qoumas menerusi satu siaran langsung yang disiarkan di televisyen pada malam Ahad lalu setelah Sidang Isbat dibuat secara muafakat bagi menentukan tarikh hari raya tersebut.

Sidang Isbat dihadiri oleh perwakilan Majlis Ulama Indonesia (MUI), Suruhanjaya VIII Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) serta sejumlah duta besar negara sahabat Indonesia dan organisasi-organisasi Islam.

Ketika menjelaskan tentang tarikh itu, Menteri Agama berkenaan menyatakan penetapan Hari Raya Aidilfitri dibuat berdasarkan hasil hisab dan rukyatul hilal.

Ia juga dibuat berdasarkan kepada hisab posisi yang mendapati anak bulan di seluruh Indonesia sudah berada di atas ufuk selain terdapat laporan bahawa anak bulan sudah dilihat di negara tersebut.

Justeru, sambutan Hari Raya Aidilfitri kali ini yang jatuh pada hari Isnin telah menyebabkan berjuta-juta penduduk mengambil keputusan untuk balik ke kampung halaman masing-masing selepas dua tahun kerana pihak pemerintah tidak membenarkan mereka berbuat demikian kerana pandemik Covid-19 ketika itu.

Selepas program vaksinasi dilakukan di Indonesia dan kes-kes Covid-19 yang semakin reda, kemeriahan dan kegirangan terpancar pada sebahagian wajah penduduk Indonesia kerana dapat menyambut Hari Lebaran bersama anak-anak, saudara-mara dan para sahabat serta jiran- jiran.

Sudah menjadi kebiasaan di Indonesia yang mempunyai populasi Islam terbesar dunia, penduduk yang tinggal di bandar-bandar besar akan pulang ke kampung halaman selama beberapa hari untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri yang menandakan berakhirnya bulan Ramadan.

TRADISI MUDIK

Tradisi tempatan itu dikenali sebagai mudik. Ia juga menyebabkan ibu negara Indonesia, Jakarta menjadi amat lengang.

Seorang penduduk yang tinggal di Tangerang Selatan di bandar raya tersebut, Permadi telah merakamkan gambar bagi menunjukkan detik-detik ibu kota tersebut sunyi sepi pada hari pertama sambutan Hari Raya Aidilfitri.

"Kami datang ke sini (Jakarta) untuk mengabadikan detik-detik Jakarta sunyi memandangkan kami hanya boleh mengalami situasi ini setahun sekali. Ia menarik kerana kami boleh berseronok-seronok di jalan raya yang biasanya sibuk dengan orang ramai dan kenderaan," kata pemuda yang berusia 25 tahun itu kepada agensi berita Xinhua.

Sebahagian daripada penduduk Islam di Jakarta yang tidak pulang ke kampung halaman atas sebab-sebab tertentu meraikan Hari Raya Aidilfitri dengan merasai kesunyian di bandar raya tersebut yang menempatkan kira-kira 10 juta penduduk.

Salah seorang daripadanya ialah Erwin Syahputra, 45, yang berkata, dia tidak dapat pulang ke kampung halamannya di Palembang, Sumatera atas alasan bekerja.

Selepas menunaikan solat hari raya di luar Stadium Antarabangsa Jakarta yang baru dibina di bahagian utara ibu kota, Syahputra dan rakan sekerjanya memutuskan untuk bersiar-siar di sekitar pusat bandar Jakarta dan mengambil beberapa gambar swafoto untuk merasai kesunyian kota itu.

Penduduk Indonesia meraikan Hari Raya Aidilfitri bersama-sama keluarga, sanak saudara, jiran dan sahabat pada tahun ini. - Foto Xinhua

"Ini kali pertama saya melihat Jakarta kosong," kata Syahputra yang sudah tiga tahun menetap di ibu negara tersebut.

Ketupat, opor ayam, rendang, sambal goreng hati dan soto ayam wajib menjadi hidangan di atas meja pada hari raya.

Opor ayam ialah sejenis gulai yang mana ayamnya direbus.

"Kami membuat tidak kurang daripada 50 ketupat untuk mengalu-alukan semua ahli keluarga dan rakan-rakan yang datang dari bandar lain,” kata seorang wanita Muslim, Kartika kepada Xinhua..

Rendang adalah makanan yang terkenal di dunia yang terkenal dengan kelazatannya.

POPULARITI RENDANG

Menurut tinjauan CNN International untuk 50 Makanan Sedap Dunia pada tahun 2021, rendang berada di kedudukan ke-11.

"Sejak dua tahun lalu, saya tidak dapat pulang (ke kampung). Saya menghabiskan masa berhari raya di Jakarta seorang diri, makan ketupat yang saya terima daripada rakan warga Jakarta," kata Kartika yang bekerja di Jakarta sebagai pekerja swasta.

Seorang lagi wanita Muslim, Lina yang berusia 32 tahun akhirnya dapat pulang ke Cirebon, Jawa Barat selepas tiga tahun tidak bertemu dengan keluarga besarnya.

"Saya bangun awal pagi untuk ke pasar tradisional bagi membeli enam kilogram ayam untuk memasak opor ayam dan empat kilogram daging lembu untuk memasak sambal goreng hati dan bakso (bebola daging),” kata Lina kepada Xinhua.

Sempena dengan sambutan Hari Raya Aidilfitri, pada kebiasaanya, terdapat penduduk Indonesia meraikannya bersama-sama dengan tradisi unik antaranya seperti Grebeg Syawal, Ngejot, Baraan dan Nyembah Belari.

Grebeg Syawal merupakan tradisi yang dilakukan di Yogyakarta sampai ke Solo dan ia memerlukan berbagai hasil bumi seperti sayur-sayuran dan buah-buahan diarak pada 1 Syawal dan ia menjadi simbol sedekah sultan kepada rakyatnya pada masa lalu.

Ngejot pula merupakan tradisi berbagi makanan, minuman, dan buah-buahan sebagai tanda terima kasih kepada jiran-jiran.

Tradisi Baraan adalah kegiatan mengunjungi tetangga secara beramai-ramai saat memasuki bulan Syawal.

Nyambah Belari pula ialah tradisi mengunjungi rumah jiran-jiran dengan tujuan untuk merapatkan silaturahim tetapi tidak memasuki rumah hanya sekadar berada di depan rumah sahaja manakala tuan rumah akan memberikan barangan sebagai saguhati. - Agensi

Klik di sini untuk terus membaca