SHAH ALAM - Syarikat penerbangan Firefly sudah membuka sayap apabila kesemua 12 pesawatnya kembali terbang di awan biru selepas hampir dua tahun ada yang tersadai akibat pandemik Covid-19.
Ketua Pegawai Eksekutif Firefly, Philip See berkata, semua pesawat Firefly kini kembali beroperasi seperti biasa dengan sembilan pesawat ATR 72-500 turbo-prop dan tiga Boeing 737-800 jet.
"Sebanyak 12 pesawat sudah beroperasi seperti biasa dan kami menyasarkan penambahan sebanyak lima Boeing 737-800 jet pada penghujung tahun 2022.
"Selain itu, terdapat banyak permintaan tinggi terutamanya bagi penerbangan ke Kota Bharu, Kuching, Kota Kinabalu, Johor Bharu dan Pulau Pinang dengan kapasiti penumpang mencecah 85 peratus,” katanya kepada Sinar Premium. Beliau berkata, Firefly telah menyambung semula penerbangan dengan memenuhi hampir 80 peratus kapasiti seperti pra-pandemik.
"Firefly mengurangkan kapasiti sehingga 80 peratus pada musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)
"Kini, Firefly telah menyambung semula penerbangan dengan memenuhi kapasiti seperti zaman pra-Covid-19.
"Kami juga telah memperkenalkan laluan baharu dari Pulau Pinang ke Johor Bharu, Kuching dan Kota Kinabalu serta penerbangan semula ke destinasi luar seperti Singapura, Indonesia, Thailand serta pelbagai lagi destinasi pada masa akan datang,” katanya.
Philip See juga berpendapat bahawa industri penerbangan akan beransur pulih pada keadaan asalnya seperti pra-pandemik Covid-19 menjelang penghujung 2022 seperti yang diramalkan untuk pasaran domestik dan ASEAN, manakala pasaran antarabangsa atau antara benua pulih pada 2024.
"Syarikat akan terus menyokong inisiatif kerajaan dan menjadi salah satu pemain utama untuk menggalakkan percutian domestik melalui promosi berterusan.
"Kerjasama daripada semua pihak berkaitan adalah amat penting untuk mencari penyelesaian pantas yang saksama demi memulih serta menstabilkan kembali sektor penerbangan, pelancongan dan ekonomi negara,” katanya.
Untuk rekod, Firefly telah meningkatkan kapasiti ke destinasi domestik dan antarabangsa kerana permintaan perjalanan untuk perjalanan antarabangsa dijangka meningkat dengan pembukaan lebih banyak sempadan negara untuk pengembara luar.
"Kami menjangkakan orang ramai akan menyambung semula perancangan untuk melancong atau terbang atas urusan perniagaan selepas pembukaan sempadan negara pada tahun ini memandangkan banyak rancangan asal telah tergendala akibat pandemik Covid-19.
"Harapan kami agar kesemua pemain utama dalam industri penerbangan termasuk pihak berkuasa dapat bersatu dalam menangani apa-apa krisis yang akan datang dan mencari jalan penyelesaian secara pantas dan saksama demi memulih dan menstabilkan kembali sektor penerbangan pelancongan dan ekonomi negara,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca