SHAH ALAM - Pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyambut baik debat secara langsung membabitkan dua calon Timbalan Presiden parti itu iaitu Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Rafizi Ramli yang diadakan pada 11 Mei ini.
Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid berkata, ia disebabkan melalui debat itu, masing-masing akan dapat mengeluarkan ‘peluru’ atau idea untuk masa depan parti.
"Idea untuk pemerkasaan parti itu penting. Pemerkasaan itu memerlukan komitmen dan kesetiaan dalam kita nak membentuk ke arah mana parti ini,” katanya ketika dihubungi pemberita pada Khamis.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan peminat politik tanah air dan pengikut PKR akan berpeluang mengikuti debat secara langsung antara Saifuddin dan Rafizi pada 11 Mei ini dari Studio F, Kumpulan Karangkraf pada jam 3 petang.
Ketua Pengarang Kumpulan merangkap Ketua Pegawai Pengisian Sinar Harian, Rozaid Rahman dalam satu kenyataan berkata, program ‘Berani Semuka: Siapa Layak Bersama Anwar?’ itu akan berlangsung selama satu jam 30 minit.
Abdullah Sani yang merupakan Ahli Parlimen Kapar berkata, kebanyakan ahli PKR adalah muda dan menerusi debat tersebut juga membolehkan mereka mengetahui hasilnya.
"Kebanyakan ahli yang kita ada adalah ahli muda. Ahli muda ini lebih cenderung untuk melihat ke arah mana dia boleh dapatkan hasil kebaikan daripada kepimpinan,” ujarnya.
SAMPAIKAN AGENDA
Ketua Setiausaha Pengelola PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad pula berkata, debat calon Timbalan Presiden itu adalah perkembangan yang sihat dan budaya terbabit dimulakan di peringkat Angkatan Muda Keadilan (AMK) sejak tahun 2010 membabitkan calon yang bertanding.
"Penting supaya ahli parti dapat menilai secara langsung, bukan melalui ketua cabang dan sebagainya tetapi melalui penilaian mereka tentang keupayaan serta agenda setiap calon,” katanya.
Ahli Parlimen Setiawangsa itu berkata, melalui debat tersebut juga kedua-dua calon dapat menyampaikan secara langsung agenda mereka dalam pemilihan parti yang berlangsung tahun ini.
"Mungkin selama ini ada kenyataan atau ucapan sewaktu kempen tetapi ia tidak secara berdebat. Jadi, bila secara berdebat ini kita dapat menilai.
"Andai ada tuduhan kepada calon dan sebagainya, ia dapat dijawab secara terus dan masing-masing mengutarakan hujah mereka,” jelasnya.
Klik di sini untuk terus membaca