SHAH ALAM - Semua rakyat Malaysia lebih bersemangat menyambut Hari Raya Aidilfitri setelah dua tahun tidak boleh pulang ke kampung kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Lebih bermakna apabila kerajaan melonggarkan prosedur operasi standard (SOP) dengan membenarkan orang ramai merentas negeri dan mereka mengambil kesempatan itu dengan membeli tiket penerbangan sejak awal bagi menyambut Aidilfitri bersama keluarga tercinta.
Menurut jurucakap AirAsia, terdapat lima laluan domestik yang menjadi tumpuan orang ramai dan tiket penerbangan ini laris bak pisang goreng panas sempena musim perayaan.
Destinasi ‘panas’ tersebut adalah Kuala Lumpur ke Kota Bharu, Kota Kinabalu, Kuching, Kuala Terengganu dan Alor Setar.
Umum mengetahui setiap kali musim perayaan, trafik lalu lintas ke pantai timur seperti Kelantan dan Terengganu sesak.
Ada yang mengambil masa sehingga 17 ke 22 jam untuk sampai ke destinasi yang mungkin menjadi salah satu faktor mengapa masyarakat memilih menaiki pesawat untuk pulang beraya.
Bagi mereka di Sabah dan Sarawak dan merindukan suasana kampung, semestinya perlu menaiki pesawat untuk pulang sehingga menjadikan laluan domestik itu sebagai destinasi teratas setiap kali menjelang musim perayaan.
Menurut jurucakap Malaysia Airlines, terdapat peningkatan ketara terhadap penjualan tiket yang melebihi 100 peratus.
Antara destinasi merekodkan muatan lebih 90 peratus ialah Kuching, Sarawak, Kota Bharu, Kelantan dan Kota Kinabalu, Sandakan serta Tawau di Sabah.
Walaupun wujud dakwaan syarikat penerbangan menaikkan harga tiket di musim perayaan, itu tidak mematahkan semangat rakyat Malaysia untuk pulang beraya di kampung dengan menaiki pesawat setelah dua tahun ‘dikurung’ pandemik.
Klik di sini untuk terus membaca