MENJELANG Pilihan Raya Umum (PRU), sering dibincangkan penubuhan ‘gabungan-gabungan parti-parti politik’. Matlamat masing-masing gabungan ialah memenangi PRU. Dalam konteks ini, adalah baik sekiranya satu lagi matlamat turut... Klik di sini untuk terus membaca

MENJELANG Pilihan Raya Umum (PRU), sering dibincangkan penubuhan ‘gabungan-gabungan parti-parti politik’. Matlamat masing-masing gabungan ialah memenangi PRU.

Dalam konteks ini, adalah baik sekiranya satu lagi matlamat turut dibincangkan, iaitu pembinaan demokrasi Malaysia yang pelbagai kaum dan moderat.

Saya membicarakan perkara ini sejak dulu, termasuk dalam buku terakhir saya (2017) New Politics 2.0: Multiracial and Moderate Malaysian Democracy.

Dari satu segi, ia bertujuan menggantikan konfigurasi politik consociationalism ala Barisan Nasional yang tidak mampu menangani isu-isu politik perkauman di samping bertujuan membina demokrasi Malaysia yang lebih inklusif – centripetalism (Reilly), yang pernah digerakkan Pakatan Harapan.

Centripetalism ialah seruan kepada parti-parti politik untuk bergerak ke arah dasar-dasar yang moderat serta meneroka dan memperkukuh ‘pertengahan’ (centre) dalam situasi politik yang berpecah-belah.

Ia menekankan kepentingan institusi-institusi yang menggalakkan integrasi merentas perbezaan kaum/agama.

Ia memerlukan reformasi undang-undang, sistem dan amalan politik.

Ia adalah sistem atau strategi politik yang direka untuk memfokuskan pada pertandingan ‘di pertengahan yang moderat’ dan bukannya pertandingan ‘di hujung yang ekstrem’.

KONFIGURASI POLITIK

Bagi merealisasikan konfigurasi politik ini, ia memerlukan tiga komponen: Pertama, insentif politik supaya ahli-ahli politik berkempen di luar daripada kepentingan golongan yang sebangsa/seagama sahaja, yang akan menyebabkan beliau bersikap moderat dan mempunyai dasar-dasar yang lebih meluas dan inklusif.

Satu caranya ialah supaya kita mempunyai lebih banyak kawasan pilihan raya yang komposisi pengundinya, dari segi kaum/agama, adalah lebih bercampur.

Kedua, platform perundingan di parlimen dan sebagainya, di mana ahli-ahli politik daripada pelbagai latar belakang berbincang isu-isu yang merentasi batas-batas kaum/agama dan menggubal dasar-dasar yang lebih substantif.

Penubuhan lebih banyak Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen dan Kumpulan Ahli-ahli Parlimen Rentas-Parti, yang bekerjasama erat dengan CSO, seperti yang berlaku kini, adalah perkembangan yang baik.

Dan ketiga, parti politik pelbagai kaum dan moderat atau gabungan parti-parti politik yang sedemikian, yang dapat menarik imaginasi rentas kaum/agama dan menawarkan pakej dasar-dasar yang komprehensif dan seimbang untuk semua rakyat.

Kini, terdapat parti yang dianggap mewakili kaum tertentu yang telah meletakkan calon-calon pelbagai kaum dalam pilihan raya-pilihan raya lalu, manakala terdapat parti yang asalnya dianggotai oleh kaum tertentu sahaja tetapi telah membuka sayap khas untuk anggota daripada kaum lain dan telah meletakkan calon-calon pelbagai kaum dalam beberapa pilihan raya.

Gerakan demokrasi yang lebih matang ini mesti diteruskan.

* Datuk Seri Saifuddin Abdullah ialah Menteri Luar Negeri dan Ahli Parlimen Indera Mahkota. Beliau aktif di twitter: @saifuddinabd

Klik di sini untuk terus membaca