HARI raya sudah masuk hari kelima, namun demam makan lemang mungkin hanya akan berakhir pada penghujung Syawal nanti. Sambutan terhadap juadah tradisi Aidilfitri itu membayangkan betapa meriahnya raya tahun ini, setelah dua tahun 'terkurung' akibat PKP.
Tauke buluh lemang kembali buat duit tahun ini. Seorang pembekal dan penanam buluh lemang di Temerloh, Pahang dilaporkan menerima tempahan 40,000 ruas buluh lemang tahun ini berbanding 20,000 ruas sahaja tahun lalu.
Pengusaha Lemang 12 di Petaling Jaya, Selangor pula dapat menjual sebanyak 800 batang lemang sehari.
Berdasarkan reviu dan komen di media sosial, antara lemang popular di Lembah Klang ialah Lemang Daun Lerek Greenwood, Batu Caves; Lemang Bonda Subang, Shah Alam; Pak Ali Lemang Asli, Ulu Klang; Lan Lomang Al Azim, Taman Datuk Senu; dan Lemang 12, Petaling Jaya.
Rata-rata lemang di Lembah Klang dijual pada harga antara RM12 hingga RM20 sebatang.
Tahun ini permintaan lemang luar biasa. Bekalan buluh pula susah, jadi harga buluh naik. Di Shah Alam, ada peniaga memberitahu buluh lemang yang dibekalkan kepadanya naik 50 sen iaitu RM1.50 tahun ini berbanding RM1 tahun lalu.
Di Ipoh, seruas buluh lemang dijual RM1.20 dan RM2 jika siap dengan daun pisang.
Harga buluh yang biasanya lebih murah di Terengganu juga naik. Pengusaha lemang Kijal di Kemaman, misalnya perlu membayar RM10 untuk 10 ruas buluh kepada pembekal di Kuala Berang berbanding RM4 sebelum ini. Di Shoppe, seruas buluh lemang dijual sehingga RM2.20.
Kenaikan harga buluh lemang boleh difahami berdasarkan hukum penawaran dan permintaan.
Dahulu buluh boleh diambil di sekitar kampung, namun sekarang buluh semakin kurang kerana banyak kawasan sudah ditanam getah atau kelapa sawit.
Daripada cerita pencari buluh, mereka semakin sukar memenuhi permintaan kerana kawasan yang ditumbuhi buluh terletak jauh di dalam hutan.
Salah satu penyelesaiannya ialah kita perbanyakkan tanam buluh. Sebenarnya idea tanam buluh ini pernah dibangkitkan seorang menteri pada 2019.
Pada masa itu harga kelapa sawit jatuh teruk untuk tempoh yang lama, jadi alternatifnya ialah menggantikan sawit dengan tanaman buluh. Topik 'Tanam buluh, lupakan sawit' sempat menjadi viral dan menjadi perbahasan hangat rakyat khususnya di media sosial.
Dari segi prospek, saiz pasaran buluh global adalah sebesar AS$68 bilion (RM295 bilion) pada 2018. Buluh boleh digunakan untuk menghasilkan lidi sate, papan lapis, perabot, rebung sebagai makanan, fabrik, kraf tangan, pembinaan, arang dan tentunya lemang.
Di Malaysia, kerajaan menganggarkan tanaman buluh mampu menjana pendapatan bersih sebanyak RM36,000 sehektar. Tempoh matang buluh pula adalah singkat iaitu seawal dua tahun.
Selain buluh lemang, spesies buluh komersial di Malaysia ialah buluh semantan, buluh beti, buluh beting, buluh betong, buluh duri, buluh galah, buluh gading, buluh madu, buluh semeliang dan buluh kasap.
Bukan semua orang boleh tanam buluh lebih-lebih lagi kalau tiada tanah. Namun jika ada peluang, saya mungkin akan pilih untuk tanam serumpun dua buluh lemang (Schizostachyum brachycladum) dan buluh madu (Gigantochloa albociliata). Dengar cerita rebungnya sangat sedap.
Lemang besar ertinya kepada rakyat Malaysia. Ia lambang kemeriahan hari raya. Selain sebagai punca rezeki, usaha menanam buluh sedikit sebanyak membantu memastikan lemang sebagai hidangan tradisi dan warisan orang Melayu tidak lenyap begitu sahaja.
Tanam buluh idea yang bagus, tapi harga sawit pun cukup tinggi sekarang. Tanam kedua-duanya lebih untung.
Jadi tak payahlah tebang sawit, banyakkan tanam buluh di tepi-tepi ladang sawit. Kembali kepada alam besar manfaatnya.
* Zuki Pileh ialah Timbalan Pengarang Berita Sinar Harian
Klik di sini untuk terus membaca