AIDILFITRI 2022 pasti jadi kenangan buat umat Islam di negara ini.
Buat pertama kalinya penentuan Aidilfitri menimbulkan perasaan huru-hura dalam kalangan umat Islam yang tersentak dengan pengumuman dibuat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja.
Umat Islam di Malaysia menjangkakan Aidilfitri 2022 akan disambut pada 3 Mei 2022.
Penulis tidak terkecuali turut terkesan dengan pengumuman Aidilfitri tersebut. Anak-anak dan menantu masih di jalan ketika pengumuman Aidilfitri 2022 dibuat. Juadah lemang, rendang dan kuah kacang belum siap.
Senario ini menyebabkan ramai meluahkan perasaan terkejut, marah dan keliru menerusi saluran sosial khususnya WhatsApp, Tiktok dan Facebook.
Pelbagai ulasan tersebar luas sehingga menimbulkan kecelaruan dalam kalangan masyarakat. Ada yang mengimbas kembali nostalgia Aidilfitri 1984 apabila hanya Johor dan Perak menyambut raya awal sehari daripada negeri-negeri lain di Malaysia.
Penulis percaya faktor utama berlaku kecelaruan dalam kalangan masyarakat ialah kerana ramai tidak memahami proses penentuan permulaan Ramadan dan Aidilfitri.
Tarikh penting dalam takwim Islam sebenarnya menggunakan kaedah rukyah dan falak. Ia telah mula digunakan di negara ini sejak 1955 lagi.
Rukyah merujuk kepada syarat kenampakan hilal (anak bulan) pada 29 tempat cerapan ditetapkan Jawatankuasa Rukyah Hilal (JKRH).
Manakala falak (matematik) membuat perhitungan bagi menentukan sama ada anak bulan boleh kelihatan atau tidak, pada hari merukyah.
Kaedah penetapan ini disebut sebagai kaedah imkanurukyah (visibility criterion) iaitu kebolehnampakan anak bulan dan matematik.
KEBOLEHNAMPAKAN ANAK BULAN
Perkara ini telah disebut ALLAH SWT dalam Surah al-Baqarah [2:189] memberi maksud: "Mereka bertanya kepadamu (Muhammad) tentang anak bulan.
Katakanlah: anak bulan itu adalah tanda-tanda waktu bagi manusia dan (bagi ibadah) haji; Dan bukanlah kebajikan memasuki rumah-rumah daripada belakangnya, akan tetapi kebajikan itu ialah kebajikan orang yang bertakwa. Dan masuklah ke rumah-rumah itu daripada pintunya; dan bertakwalah kepada ALLAH agar kamu beruntung.”
Kriteria baharu kaedah kebolehnampakan hilal telah ditetapkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI).
Ia diterima pakai bagi menentukan kebolehnampakan anak bulan pada sudut ketinggian ufuk 3 darjah menegak dengan sudut pisahan 6.4 darjah melengkung.
Daripada perspektif matematik sukar untuk melihat anak bulan walaupun ia telah wujud.
Proses ini merujuk kepada geometri hilal pada waktu matahari terbenam pada hari rukyah. Ada dua parameter, iaitu ketinggian hilal di atas ufuk (horizon altitude) dan juga sudut pisahan atau sudut pemanjangan (elongation angle) antara bulan dan matahari.
Apa yang berlaku pada lewat 1 Mei ialah anak bulan kelihatan di Pusat Falah Sheikh Tahir, Pantai Acheh di Balik Pulau, Pulau Pinang.
Umur anak bulan pada petang 1 Mei lalu berusia 14 jam meskipun anak bulan tidak diambil kira dengan kaedah baharu.
Kekeliruan timbul apabila tempoh saiz jarak lengkung hilal dengan sudut ketinggian ufuk pada altitud 5.25 darjah melebihi ketetapan altitud 3 darjah dan sudut pisahan ialah 5.46 darjah sedangkan syarat baharu ialah 6.4 darjah.
Sekiranya hilal tidak kelihatan apabila dirukyah, kaedah matematik diambil kira. Persoalannya kenapa masyarakat menjadi ‘panik’ apabila pengumuman raya dilakukan?
Walhal perkara penting ialah lokasi kita berada. Kalau kita berada di Malaysia, ikutlah laporan data rukyah dan matematik atau Imkanurrukyah dihasilkan pihak berkuasa Malaysia.
Kesimpulannya, kecelaruan dan perasaan panik umat Islam di Malaysia boleh dielakkan jika kita peka seperti cendekiawan Islam terdahulu.
Al-Khawarizmi dianggap pelopor dunia matematik dunia. Seharusnya lebih ramai pakar matematik Islam dilahirkan bagi mengikut jejak langkah Al-Khawarizmi.
* Profesor Muhidin Arifin ialah Ketua Pegawai Operasi Selangor Technical Skills Development Centre
Klik di sini untuk terus membaca