AIDILFITRI 1 Syawal 1392 Hijrah ialah pada awal November 1972; musim sejuk di Mesir. Ia merupakan Syawal pertama di Mesir bagi kami lima orang pelajar grup pertama pelajar perubatan Universiti Kaherah yang ditaja oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) Malaysia.
Alhamdulillah, kami semua menjadi doktor perubatan; walaupun pada berlainan masa menurut kemampuan masing-masing serta apa yang telah ditakdirkan oleh ALLAH SWT.
Pada beberapa dasawarsa yang berikutnya kami terlibat dalam pelbagai bidang profesional dan akademik-kepakaran serta perkhidmatan kepada masyarakat di dalam dan di luar negara.
Dari 1970 hingga 1978, terdapat sekitar 235 pelajar Malaysia tajaan JPA dan MARA di Mesir, yakni 204 dalam bidang perubatan dan selebihnya di bidang pergigian dan farmasi.
Solat Aidilfitri didirikan di semua masjid dan surau serta juga sebuah tanah lapang di hadapan Istana 'Abidin di Kaherah. Takbir Aidilfitri dan Aidiladha adalah sama di seluruh dunia sejak zaman Rasullah SAW. Namun, cara ia dialunkan di Mesir berbeza sedikit dibandingkan dengan di Malaysia.
Pelbagai masakan Mesir yang diwarisi dari zaman ke zaman menjadi juadah sewaktu hari keramaian termasuk Aidilfitri dan Aidiladha. Bagi kami rakyat Malaysia, dua masakan tetap lazat. Masakan ful dari kacang fava bersekali dengan pelbagai ramuannya yang khas, dan ta'miyah yakni kacang fava yang dihancurkan dan digoreng.
Saya pernah makan ful dan ta'miyah masakan orang kita di Malaysia. Bagaimana rasanya? Macam orang Barat di Britain atau di Belgium yang cuba masak nasi lemak atau bakar sate dengan ramuan sendiri. Tidak enak!
RUMAH MELAYU DI MESIR
Pada Syawal 1392, untuk kami sekitar 20 pelajar perubatan Malaysia di Kaherah yang kepingin masakan Malaysia, kami terpaksa berkunjung ke rumah yang disewa oleh para asatizah (jamak bagi ustaz dan ustazah) Malaysia yang belajar di Universiti al-Azhar.
Atau kami ke asrama rakyat Malaysia yang dinamakan sebagai Rumah Melayu yang kini dikenali sebagai Dewan Malaysia Abassiah Kaherah.
Pada sekitar tahun 1973-1974, sebahagian daripada grup pelajar perubatan yang kehausan jiwanya bergabung dengan para asatizah dalam halakah zikir Tariqah Ahmadiyyah Idrisiyyah Syadziliyyah di Mesir.
Dalam kalangan mereka ada yang mula mendalami fikrah dan amalan harakah Ikhwan Muslimin yang berdasarkan lapan ciri utama. Hakikat Kesufian (Haqiqah Sufiyyah) ialah antaranya.
Hanya Tuhan sahaja yang mengetahui bahawa Syawal 1392 itu adalah yang terakhir bagi lebih daripada 5,000 umat Islam dalam tentera darat, udara dan laut Mesir yang dianggotai oleh umat Islam dan umat Kristian Qibti.
Saf wira ini akan gugur sewaktu Perang Ramadan 6 Oktober 1973 yang berakhir pada 25 Oktober; 28 Ramadan 1393.
Ia juga dikenali sebagai Perang Yom Kippur dalam bahasa Ibrani.
Presiden Anwar Sadat menjadi wira Arab yang empunya strategi brilliant apabila tenteranya memusnahkan Garisan Kubu Bar Lev, lantas menumpaskan tentera Zionis.
Laungan perangnya: Allahu Akbar! Apabila Sadat menandatangani perjanjian damai Mesir-Israel di Washington DC pada 26 Mac 1979, beliau ditentang oleh ramai rakyat Mesir.
Barisan penentang termasuklah pelbagai kumpulan Islam. Daripada golongan takfiri yang mudah mengkafirkan orang yang tidak sehaluan dengannya hinggalah kelompok demokrat Muslim seperti Ikhwan Muslimin.
Setelah Sadat dibunuh oleh askarnya sendiri pada 6 Oktober 1981, Presiden Husni Mubarak mengambil alih dengan sikap yang lebih tasamuh (toleransi).
Walaupun Ikhwan tetap diharamkan, ia mempunyai pejabat kutlah (grup) ahli Parlimennya dan pejabat dakwahnya pada zaman itu.
* Datuk Dr Mohamed Hatta Shaharom ialah Profesor Psikiatri dan aktivis masyarakat
Klik di sini untuk terus membaca