JIKA anak kepada bekas pemimpin diktator, Ferdinand Marcos memenangi Pilihan Raya Presiden Filipina pada 9 Mei nanti, beliau tidak akan menjadi satu-satunya ahli keluarga Marcos yang memegang tampuk kuasa dan tidak akan menjadi pewaris terakhir.
Keluarga elit telah sekian lama memerintah negara miskin itu daripada satu generasi kepada satu generasi dengan cara memberi bantuan, membeli undi atau menggunakan kekerasan.
Penganalisis mendakwa sistem itu menjadi lebih meluas dalam tempoh beberapa dekad sejak revolusi kebangkitan rakyat yang menggulingkan Marcos dan memaksa keluarganya hidup dalam buangan.
Dinasti baharu telah berakar umbi dalam politik di Filipina, menyekat persaingan dalam pilihan raya, membantutkan pembangunan ekonomi dan menyebabkan ketidaksamaan yang semakin teruk.
"Kuasa melahirkan kuasa, semakin mereka kekal berkuasa, semakin banyak mereka memegang kuasa,” kata Profesor Julio Teehankee di De La Salle University di Manila.
Menurutnya, negara kepulauan itu telah melahirkan kira-kira 319 keluarga dinasti sejak ia menjadi jajahan Amerika Syarikat (AS) pada separuh pertama abad ke-20.
Pada tahun 2019, kira-kira 234 ahli keluarga memenangi jawatan pada pilihan raya pertengahan penggal dan berkembang dalam demokrasi feudal yang menyaksikan parti-parti adalah lemah, berpecah-belah mengikut garis keturunan dan dibelenggu pembelotan.
Kuasa juga tidak statik kerana ‘keluarga politik’ masih boleh menang dan kalah serta membuat kemunculan semula.
Selepas Marcos meninggal dunia pada tahun 1989, ahli keluarga beliau kembali ke kubu kuat mereka di Ilocos Norte dan mula mengambil kesempatan terhadap sokongan penduduk setempat untuk dipilih memegang jawatan yang lebih tinggi.
Pada 2022, Ferdinand ‘Bongbong’ Marcos Jr, 64, akhirnya bersaing untuk merebut jawatan tertinggi dalam negara dan keluarga itu juga berhasrat untuk menyapu bersih jawatan teratas di kubu kuat mereka.
PEMONOPOLI
Dinasti Marcos pada kali ini menyaksikan anak sulung beliau bertanding buat pertama kali untuk merebut salah sebuah daripada dua kerusi Kongres selain anak saudaranya bersaing untuk pemilihan semula gabenor manakala balu sepupunya adalah penyandang naib gabenor.
Marcos Jr menafikan wujud dinasti politik, namun sepupunya, Michael Marcos Keon yang bertanding jawatan Datuk Bandar Laoag untuk penggal kedua tidak sependapat dengan beliau.
"Ini semua dinasti. Saya tidak akan berada di sini jika bukan kerana Marcos,” kata Keon, 67, yang memegang jawatan gabenor selepas Marcos Jr mencapai had tiga penggal yang dibenarkan iaitu taktik yang sering digunakan untuk mengekalkan kedudukan ahli keluarga dalam politik.
Difahamkan, pengaruh keluarga Marcos di Ilocos Norte dikatakan semakin berkembang.
Ketika ini, Presiden Rodrigo Duterte juga menarik nafas lega dan menyifatkan tugasnya telah ‘selesai’ selepas anak perempuannya, Sara Duterte-Carpio bertanding untuk jawatan kedua tertinggi dalam negara.
"Saya mempunyai anak perempuan yang bertanding untuk jawatan naib presiden, anak lelaki untuk jawatan ahli Kongres dan seorang lagi mahu merebut jawatan datuk bandar. Saya amat berpuas hati dengan penglibatan mereka dalam politik,” ujarnya.
Kaedah memancing undi seperti mengagihkan wang kepada pengundi dan menggunakan kekerasan untuk tujuan menakut-nakutkan atau menghapuskan pesaing telah sekian lama menjadi masalah dalam pilihan raya di negara itu.
Hal ini kerana segelintir calon sanggup menggunakan kaedah yang melanggar undang-undang demi untuk meraih kemenangan.
Walaupun dinasti politik juga wujud di negara lain, kadar di Manila adalah antara yang tertinggi di dunia.
Persediaan generasi akan datang untuk politik adalah penting bagi ‘kelangsungan hidup’ dinasti politik.
Penganalisis, Mark Thompson turut menyamakan dinasti politik dengan kelab bola sepak.
"Jika anda Barcelona atau Paris Saint-Germain (PSG) dalam politik Filipina, mengapa tidak melatih generasi akan datang juga,” ujarnya yang merupakan Pengarah Pusat Penyelidikan Asia Tenggara di City University of Hong Kong.
Usaha untuk mengekang pengaruh keluarga dalam politik dikatakan sia-sia walaupun Perlembagaan pada 1987 memberi mandat kepada Kongres untuk melarang penglibatan ahli keluarga.
"Anda tidak boleh mengharapkan sebuah dinasti politik untuk meluluskan undang-undang anti dinasti. Ia seperti meminta Dracula untuk menjaga bank darah,” selorohnya.
Keon juga mengakui sistem itu sebagai tidak demokratik dan tidak mungkin akan berubah.
"Beginilah keadaan politik di sini. Keluarga adalah yang paling utama dan akan kekal berkuasa,” jelasnya. - AFP
Kira-kira 80 peratus adalah fat dynasty atau beberapa ahli keluarga memegang kuasa pada masa yang sama berbanding 57 peratus pada 2004.
Keluarga politik memegang 67 peratus kerusi di Dewan Rakyat berbanding 48 peratus pada 2004 dengan 53 peratus berkhidmat sebagai datuk bandar.
Tiga daripada calon untuk merebut 12 kerusi Senat yang dipertandingkan mempunyai hubungan kekeluargaan di dewan berkenaan.
Sistem senarai parti yang bertujuan untuk memberikan perwakilan kepada rakyat daripada kumpulan terpinggir juga telah didominasi oleh segelintir nama keluarga.
Klik di sini untuk terus membaca