SHAH ALAM - Suasana politik tanah air kini sudah terbuka menyebabkan kerjasama antara parti politik bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang bakal berlaku dalam masa terdekat bukan sesuatu yang mustahil. Pensyarah Undang-Undang... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Suasana politik tanah air kini sudah terbuka menyebabkan kerjasama antara parti politik bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang bakal berlaku dalam masa terdekat bukan sesuatu yang mustahil.

Pensyarah Undang-Undang dan Polisi Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Madya Dr Muhammad Fathi Yusof berkata, beliau percaya proses rundingan bagi membentuk sebarang kerjasama sememangnya berlaku ketika ini.

Menurutnya, kerjasama politik antara parti-parti politik dalam negara juga sangat dinamik kerana setiap parti pernah menjadi kawan dan lawan.

"Kalau kita perhatikan hampir setiap parti mereka pernah berkawan dan pernah berlawan dalam tempoh 10 tahun yang kita hadapi ini.

"Dalam situasi PRU15 yang akan berlaku dalam tempoh terdekat, proses perundingan proses kerjasama, perbincangan antara parti-parti politik ini saya percaya memang berlaku.

"Situasi yang kita ada sekarang ini sangat terbuka, parti-parti politik ini boleh berbincang, mewujudkan kerjasama politik dengan bermacam-macam istilah seperti muafalat atau khemah besar untuk mereka mengembangkan lagi sokongan tapi dalam masa sama mereka perlu mengambil kira pandangan akar umbi," katanya ketika Program Sinar Live disiarkan di semua platform digital Sinar Harian pada Khamis.

Program dikendalikan oleh Hazwan Mokhtar itu membincangkan tajuk 'PRU15: Jangan Terburu-buru, Raya Dulu'.

Dalam pada itu, Muhammad Fathi menambah, kerjasama politik boleh direalisasikan berteraskan hubungan peribadi yang baik antara pemimpin-pemimpin politik.

Katanya, ciri-ciri berkenaan sangat penting kerana pemimpin politik mesti mempunyai kewibawaan dan keterampilan sehingga boleh diterima oleh rakan parti lain.

"Ciri kedua adalah kebersamaan daripada sudut ideologi kerana ada sesetengan parti mempunyai pertembungan ideologi yang sengat ketara yang mustahil untuk mengadakan kerjasama.

"Ketiga, dari sudut kebersamaan dalam konteks kepentingan,umpamanya kita perhatikan apabila parti-parti ini berdepan dengan musuh yang sama mereka boleh bersatu. Ini elemen yang penting juga dalam konteks politik," katanya.

Klik di sini untuk terus membaca