SHAH ALAM - Semua pihak perlu berhenti mengelirukan rakyat berhubung kes salah laku jenayah dilakukan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan siasatan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang sedang dijalankan oleh... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Semua pihak perlu berhenti mengelirukan rakyat berhubung kes salah laku jenayah dilakukan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan siasatan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang sedang dijalankan oleh Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat (AS) sekarang.

Ini kerana menurut pandangan, Peguam kanan, Haniff Khatri Abdulla, kes 1MDB sedang disiasat DoJ di AS sekarang tiada kaitan perundangan langsung perbicaraan kes jenayah dihadapi Najib di mahkamah Malaysia.

Najib dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta oleh Mahkamah Tinggi pada Julai 2020, sebelum Mahkamah Rayuan turut menolak rayuan Najib serta mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi pada Disember tahun lalu.

Tambahan pula, kata Haniff Khatri, setiap negara mempunyai sistem perundangan dan kehakiman tersendiri serta bertanggungjawab menyiasat kesalahan jenayah yang berlaku dalam bidang kuasa masing-masing.

Beliau berkata, apa sahaja disiasat DoJ sejak 2016 adalah kesalahan membabitkan sesiapa sahaja berkaitan dengan kesalahan di bawah undang-undang kewangan di Amerika Syarikat.

"Jika mereka tidak jumpa kesalahan jenayah kewangan terhadap Najib adalah kerana wang yang masuk-keluar ke AS bersabit dengan kes 1MDB adalah tidak disumbangkan secara terus melalui tindakan Najib.

"Ini kerana perbuatan itu dilakukan oleh penjenayah lain terbabit pengeluaran wang secara salah oleh individu seperti Jho Low (ahli perniagaan dalam buruan polis), Roger Ng (bekas pegawai bank Goldman Sachs), Pengarah Petrosaudi International Ltd (PSI), Tarek Obaid dan ramai lagi pegawai bank dari AS, dan termasuk pemberian sejumlah wang untuk terbitam filem kepada anak tiri Najib iaitu Riza Shahriz Abdul Aziz dan sebagainya.

"Manakala, siasatan terhadap Najib di negara ini adalah berkaitan dengan kes jenayah kewangan dilakukan di Malaysia iaitu sama ada 1MDB sudah kehilangan duit atau dana. Malah, setakat ini Najib didapati bersalah dan sudah jatuhkan hukuman oleh Mahkamah Tinggi di Malaysia berhubung kes SRC International Sdn Bhd (SRC) dan bicara pertuduhan jenayah kes 1MDB masih berjalan," katanya kepada Sinar Premium.

Mengulas lanjut, Haniff Khatri berkata, Najib tidak boleh dituduh di mahkamah di AS kerana Ahli Parlimen Pekan dan bekas Presiden UMNO itu tidak melakukan sebarang kesalahan berkaitan kes rasuah dan pecah amanah dana 1MDB di AS sebaliknya ia berlaku di Malaysia.

Haniff Khatri berkata, biarpun difahamkan DoJ sedang menyiasat bekas Peguam Negara Amerika, Loretta Lynch yang dikatakan bersubahat dengan individu berniat jahat untuk menjatuhkan Najib, maka negara itu bertanggungjawab melakukan siasatan dan mengambil tindakan kepada pihak berkenaan.ANALOGI LANGGAR LAMPU ISYARAT

Beliau berkata, jika ada pun siasatan dan tindakan lanjut terhadap Loretta oleh pihak berkuasa di AS maka ia tidak menjejaskan kes jenayah membabitkan Najib yang sedang dibicarakan di mahkamah di Malaysia ketika ini.

Bekas Peguam Negara Amerika, Lorreta Lynch

"Umpama awak dan saya bawa kereta berasingan dan melanggar lampu isyarat, kemudian ada tiga anggota polis yang memang tidak suka dengan muka saya.

"Jadi mereka naik motor kejar dan tahan saya, serta membiarkan awak pergi begitu sahaja. Adakah tindakan anggota polis berkenaan membiarkan awak pergi boleh menjadi alasan pembelaan terhadap saya di mahkamah? Jawapannya tidak sama sekali.

"Begitu juga dalam kes Najib sama ada DoJ menyiasat beliau atau sebaliknya tidak boleh menjadi pembelaan kepada kes bekas Perdana Menteri itu di mahkamah Malaysia kerana beliau dituduh berkaitan kesalahan yang berlaku di sini.

"Jadi rakyat kena faham bahawa orang memetik sedikit atau 0.01 peratus bersandarkan laporan dan fakta siasatan DoJ berkenaan adalah mungkin berniat jahat dan tidak faham undang-undang," katanya.

Justeru itu, Haniff Khatri berkata, rakyat kena faham bahawa siasatan dilakukan DoJ adalah berlainan dengan kes jenayah dihadapi Najib di mahkamah di Malaysia sekarang.

"Jika DoJ mahu meneruskan siasatan terhadap Lorreta Lynch atau mana-mana ahli politik Malaysia yang dikatakan berniat jahat terhadap Najib maka mereka patut teruskan tetapi ia tidak berkaitan langsung dengan kes salah laku jenayah berkaitan SRC International mahupun 1MDB yang sedang dibicarakan di mahkamah di Malaysia," katanya.

Terdahulu, sebuah portal mendakwa kes mahkamah membabit Najib bakal digugurkan susulan maklumat dari DoJ telah menemui bukti terdapat pembabitan Lorreta Lynch yang didapati bersekongkol dengan beberapa individu penting dari Malaysia untuk hanya menjatuhkan Najib berkaitan tuduhan 1MDB.

Portal berkenaan juga menyebut perkara itu diperkuatkan lagi dengan pembabitan NGO berprofil tinggi di AS milik George Soros Open Society dan Clinton Global Foundation.

"Komplot ini telah dirancang sebelum PRU14 lagi bagi memastikan Najib Razak dan kerajaan Barisan Nasional tewas pada PRU14 lalu lalu dan seterusnya membuka jalan untuk mengheret bekas PM itu ke mahkamah sebagaimana yang telah dirancang.

"Namun demikian, DoJ Amerika Syarikat gagal menemui sebarang bentuk bukti untuk mensabitkan Najib berkaitan isu kontroversi 1MDB sehinggalah mereka melakukan siasatan dalaman dan menemui terdapat penglibatan secara langsung oleh Lorreta Lynch dengan orang kenamaan (VVIP) dari Malaysia yang dipercayai daripada parti pembangkang semasa PRU14 dengan menyasarkan tuduhan palsu untuk menjatuhkan Najib," dakwa portal berkenaan.

Klik di sini untuk terus membaca