SHAH ALAM - Orang ramai dinasihatkan berpada-pada dalam pengambilan kuantiti makanan semasa musim perayaan dan memilih makanan supaya tidak makan berlebihan.
Selebriti Kesihatan, Hanif Loid berkata, setelah dua tahun rakyat Malaysia dapat menyambut Aidilfitri dengan meriahnya dan boleh pulang ke kampung halaman masing-masing.
"Namun dalam kegembiraan menyambut hari raya perlu diingatkan supaya sentiasa bersederhana dalam pengambilan makanan.
"Jadikan bulan Ramadan yang lepas sebagai satu batu loncatan untuk permulaan bagi sentiasa berdisiplin dalam menjaga makan.
"Antara soalan yang kerap saya terima juga adalah bagaimana untuk ada motivasi dalam menjaga pemakanan dan sentiasa bersenam secara konsisten jadi jawapannya adalah, ia bermula dengan disiplin pengambilan makanan,” katanya selaku panelis pada Wacana Sinar Edisi Raya bertajuk 'Raya Sihat Macam Mana?' yang disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian pada Jumaat.
Hanif berkata, beliau mula menjaga badan ketika usia 22 tahun dengan memulakan dengan senaman yang ringkas seperti berlari, lompang bintang dan sebagainya.
Jelasnya, selepas enam bulan melakukan senaman ringkas badan mula menerima dan lebih kuat untuk melakukan senaman yang lebih lagi dari biasa.
"Selepas badan dapat menerima senaman yang ringkas, maka kita boleh melakukan senaman yang lebih berat sedikit.
"Selain itu, untuk lebih bersemangat sila ikuti berkongsian mengenai tips kesihatan, tips pemakanan, cara penjagaan badan, belajar cara mengawal kuantiti makanan di sosial media.
"Kepada yang ingin memulakan gaya hidup baru selepas raya boleh mulakan dengan menjaga pengambilan kuantiti makanan dan amalkan gaya hidup yang sihat terlebih dahulu.
"Ketika perayaan memang tidak dinafikan kita dihidangkan dengan pelbagai jenis juadah yang berminyak dan berlemak namun selepas tamat cuti raya kita boleh kembali memulakan hidup yang lebih sihat,” ujarnya.
Katanya, semuanya bergantung kepada matlamat masing-masing untuk kurus, sihat atau bertenaga.
Klik di sini untuk terus membaca