UMAT Islam di Arab Saudi menyambut Hari Raya Aidilfitri pada Isnin selepas anak bulan Syawal tidak kelihatan pada Sabtu menyebabkan mereka berpuasa selama 30 hari dalam bulan Ramadan. Seperti negara-negara yang mempunyai majoriti penduduk... Klik di sini untuk terus membaca

UMAT Islam di Arab Saudi menyambut Hari Raya Aidilfitri pada Isnin selepas anak bulan Syawal tidak kelihatan pada Sabtu menyebabkan mereka berpuasa selama 30 hari dalam bulan Ramadan.

Seperti negara-negara yang mempunyai majoriti penduduk Muslim, Riyadh tidak terkecuali daripada menyambutnya dalam suasana yang bebas daripada langkah-langkah penjarakan sosial dan sekatan perjalanan buat kali pertama sejak tahun 2019.

Pada 6 Mac lalu, pihak berkuasa Arab Saudi telah mengumumkan pemansuhan kebanyakan langkah yang menyekat kebebasan orang ramai di tempat-tempat awam berikutan pandemik Covid-19.

Berikutan itu, lebih 3.5 juta umat Islam menunaikan solat sunat Hari Raya Aidilfitri di Masjidil Haram, Makkah dan Masjid Nabawi yang terletak di Madinah.

Hari Raya Aidilfitri disambut pada hari pertama Syawal yang merupakan bulan ke-10 dalam kalendar Islam dan ia menyatukan keluarga dan masyarakat Arab Saudi.

Hari-hari menjelang cuti perayaan hari raya itu sentiasa sibuk dengan kaum keluarga bergegas untuk mendapatkan pakaian yang terbaik dan wangian, rumah mereka dihiasi tanglung berwarna-warni, coklat, kurma, manisan atau gula-gula disimpan untuk dihidangkan kepada para tetamu.

Sudah menjadi tradisi setiap kali menjelang Hari Raya Aidilfitri, pusat beli-belah di kebanyakan bandar besar di negara tersebut dibuka selama 24 jam sehari dengan umat Islam membeli-belah antara yang dibeli ialah pakaian dan kasut baharu.

Kedai gunting rambut juga penuh sesak dengan pelanggan yang mahu penampilan wajah mereka kelihatan lebih menarik pada hari perayaan tersebut.

RESIPI BERUSIA 50 TAHUN

Di wilayah Hijaz, saudara-mara berkumpul di meja besar dengan hidangan ta’teema iaitu campuran makanan manisan, makanan yang diambil dengan tangan dan sarapan tradisional.

Sameera Hammad iaitu seorang penyedia makanan dari Jeddah yang pakar hidangan tradisional telah menyediakan makanan seumpama itu kepada penduduk selama lebih 20 tahun.

"Saya belajar segala-galanya daripada ibu saya. Resipi ini berusia lebih daripada 50 tahun,” katanya kepada Arab News.

Antara hidangan yang disediakan oleh Sameera ialah pelbagai jenis roti bersama dengan kacang fava, falafel, hidangan manis seperti masoob, labaniya, jem, keju dan shakshouka.

"Salah satu ciri terpenting pada hari raya ialah mengekalkan tradisi dengan mengamalkannya bersama keluarga ketika bersarapan, mengambil masa berhari-hari untuk menyediakan dan berhimpun sama seperti bagaimana nenek moyang kita lakukan. Saya masih menggunakan periuk tanah untuk menghidangkan ta'teema saya seperti yang ibu saya lakukan. Itulah tradisi yang akan terus hidup," ujarnya kepada Arab News.

Kanak-kanak juga meraikan hari raya dengan gembira dengan menjangkakan hadiah berupa wang dan gula-gula di wilayah timur Arab Saudi.

Kaum lelaki pula akan membuat kunjungan ke rumah ibu bapa keluarga mereka dan makan sarapan gandum tumbuk bersama biri-biri segar yang dimasak dalam periuk tanah liat.

Bagi keluarga yang tinggal di utara negara itu, makanan bukanlah satu-satunya tradisi yang membawa isi rumah bersama di hari raya apabila tarian rakyat yang dikenali sebagai Al-Deheyeh ditarikan sempena perayaan tersebut.

Dalam pada itu, di kawasan-kawasan kejiranan, hidangan kolektif disediakan dan makanan kegemaran dihidangkan di atas meja yang terbentang di sepanjang jalan.

Antara makanan kegemaran tempatan ialah bendi rebus, roti, ikan tenggiri masin yang berasal dari Laut Merah, stew bebiri dengan kentang, pisang lecek yang dimasak dengan minyak sapi, madu dan kepingan roti.

PERARAKAN BERKUDA

Nahlah Zamim iaitu seorang penduduk di Jazan, barat Laut Arab Saudi memberitahu Arab News bahawa anak-anak tempatan akan mengunjungi rumah dari rumah untuk mengutip hadiah hari raya berupa kandi dan wang.

Cawangan wilayah Sempadan Utara Kementerian Sumber Manusia dan Pembangunan Sosial pula menganjurkan perarakan kuda Arab di bandar Arar sebagai sebahagian daripada sambutan Aidilfitri.

Perarakan berkuda yang diserati oleh pasukan peronda keselamatan dan cawangan tempatan Pihak Berkuasa Bulan Sabit Merah Arab Saudi turut diadakan sempena perayaan Hari Raya Aidilfitri bagi menggalakkan dan menyokong hobi asli penduduk Arab itu.

Perarakan berkuda diadakan sempena Hari Raya Aidilfitri di Arar, Arab Saudi. - Foto SPA

Khaled Al-Rumaikhani yang merupakan Pengarah cawangan Kementerian Sumber Manusia dan Pembangunan Sosial di wilayah itu, berkata, acara tersebut dapat membantu menyemai identiti nasional dan mempromosikan nilai warisan popular dalam kalangan generasi yang berbangga dengan tradisi kebangsaannya yang asli.

Setiap wilayah di Arab Saudi mempunyai tradisi tersendiri bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri. - Agensi

Klik di sini untuk terus membaca