SHAH ALAM - Kerajaan harus tegas dalam menyelesaikan isu pemberian Kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) kepada pelarian etnik Rohingya dengan menarik balik pengiktirafan semua kad yang telah... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Kerajaan harus tegas dalam menyelesaikan isu pemberian Kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) kepada pelarian etnik Rohingya dengan menarik balik pengiktirafan semua kad yang telah dikeluarkan.

Peguam, Norman Fernandez berkata, kerajaan perlu menjadi satu-satunya pihak yang bertanggungjawab mengeluarkan apa-apa kad pelarian atau dokumen dan bukannya agensi atau persatuan lain.

"Kerajaan perlu mengarahkan badan UNHCR untuk tidak mengeluarkan sebarang kad UNHCR atau memberi apa-apa keizinan kepada mereka. Kad itu juga sepatutnya dikeluarkan selepas proses semakan yang telus daripada kerajaan.

"Seterusnya, kerajaan juga perlu menyimpan semua data penuh seperti gambar dan cap jari sebelum membenarkan semua pelarian warga Rohingya dan pendatang asing tanpa izin (PATI) mempunyai dokumen,” katanya kepada Sinar Premium.

Tambahnya, kerajaan harus membuat penilaian sama ada badan UNHCR masih diperlukan di Malaysia atau tidak kerana fungsi UNHCR seperti sudah menyimpang jauh daripada peranan sebenar mereka.

"UNHCR telah bertukar tanggungjawab mereka dan bertindak seolah-olah Kementerian Dalam Negeri untuk Rohingya. Oleh itu, kerajaan perlu meneliti adakah mereka memainkan peranan atau menyimpang daripada matlamat sebenar.

"Kerajaan juga perlu memantau badan-badan hak asasi manusia atau persatuan yang bersekongkol dengan UNHCR,” katanya.

Isu pemilikan kad UNHCR Rohingya di negara ini yang seolah-olah setaraf dengan Kad Pemastautin Tetap (MyPR) telah menyebabkan pemilik kad ini berasa kebal serta merupakan salah satu faktor tercetusnya ratusan tahanan etnik yang melarikan diri dari Depot Tahanan Imigresen Sungai Bakap dekat Bandar Baharu, Rabu lalu.

Bulan lalu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin memaklumkan, kerajaan akan mengkaji semula pengeluaran kad UNHCR untuk pelarian etnik Rohingya bagi mengelakkan mereka mudah memasuki negara tanpa dokumen.

BEBAN KEPADA MALAYSIA

Norman Fernandez menyokong penuh pengumuman Hamzah Zainudin serta menegaskan bahawa tugas badan UNHCR adalah untuk memastikan penempatan di negara ketiga dan bukan menjadi penyelaras kebajikan serta keselamatan warga Rohingya dengan memberikan kad UNHCR sewenang-wenangnya sehingga menjadi kebal.

"Sebenarnya Malaysia tidak mengiktiraf kad UNHCR dan Malaysia bukan negara yang menandatangani apa-apa undang-undang untuk membenarkan mereka tinggal di sini. Kerajaan juga tidak meratifikasi konvensyen terima pelarian dari negara ketiga.

"Namun, kad UNHCR menjadi satu kad pengenalan diri dan orang Rohingya menganggap dengan kad ini, mereka sudah menjadi kebal lalu menggunakannya untuk membawa kapal berlesen dan sekiranya ditahan, tiada apa-apa tindakan akan diambil," katanya.

Tambahnya, setakat ini, anggaran warga Rohingya yang berdaftar dan tidak berdaftar di negara ini telah mencecah 200,000 orang dan angka itu sangat membimbangkan serta menjadi beban kepada negara Malaysia.

"Mereka tahu tidak ada satu pun negara yang bersedia menerima atau memberi penempatan negara ketiga termasuk 57 negara Islam lain. Kebanyakan negara barat pula mempunyai perasaan Islamophobia yang mempengaruhi pengambilan orang Rohingya di sana.

"Peningkatan penduduk Rohingya naik mendadak di Malaysia pula kerana keluarga mereka mempunyai kelahiran anak yang lebih tinggi daripada Melayu. Mereka tahu sekiranya mereka mempunyai anak, mereka tidak boleh dikembalikan dan ini merupakan undang-undang antarabangsa,” katanya.

Bagaimanapun, Norman Fernandez berkata, itu bukan satu kunci untuk kita membuka satu negara kepada pelarian Rohingya untuk berkeliaran bebas.

"Kita harus bijak membezakan mereka yang datang ke negara kerana ditindas seperti Myanmar atau mereka yang lari dari kem-kem Bangladesh ke Malaysia.

"Mereka yang datang kerana penindasan dikira sebagai suaka namun pelarian Rohingya yang datang ke Malaysia dari Bangladesh tidak dikira sebagai pencari suaka tetapi migran ekonomi,” katanya.

Sebelum ini, Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah pernah menegaskan, pengusiran mana-mana populasi secara paksa tersenarai sebagai salah satu jenayah kemanusiaan dalam undang-undang antarabangsa, khususnya Statut Rom berkenaan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) dan konvensyen mengenai pencegahan dan hukuman ke atas genosid.

INFO

Lima pendekatan segera untuk kerajaan tangani isu kad UNHCR Rohingya:

1. Tidak mengiktiraf semua kad UNHCR

2. Kerajaan tidak memberi apa-apa keizinan dan mengarahkan UNHCR tidak mengeluarkan sebarang kad

3. Semua dokumen pengenalan diri hanya dikeluarkan kerajaan Malaysia

4. Kerajaan perlu menyimpan data penuh semua pelarian Rohingya dan PATI

5. Kerajaan harus meneliti jika UNHCR masih memainkan peranan seperti yang sepatutnya atau telah menyimpang daripada matlamat dan fungsi sehingga sudah menjadi Kementerian Dalam Negeri bagi Rohingya

Empat sebab utama anggaran warga Rohingya yang berdaftar dan tidak berdaftar di negara ini telah mencecah 200,000 orang:

1. Mereka tahu bahawa tidak ada satu pun negara lain yang memberi penempatan kepada negara ketiga termasuk 57 negara Islam lain

2. Negara-negara barat pula mempunyai perasaan Islamophobia yang mempengaruhi pengambilan negara Rohingya

3. Populasi warga Rohingya naik mendadak di Malaysia kerana kadar kelahiran tinggi daripada Melayu

4. Sekiranya mereka mempunyai anak, mereka tidak boleh dikembalikan dan ini merupakan undang-undang antarabangsa. Oleh itu, anak merupakan ‘passport’ untuk tinggal di negara ini

Klik di sini untuk terus membaca