SHAH ALAM - Debat secara langsung membabitkan calon Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang akan diadakan pada 11 Mei ini, diharapkan dapat memberi peluang bagi memperjelas dan menghuraikan beberapa perkara. Calon Timbalan... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Debat secara langsung membabitkan calon Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang akan diadakan pada 11 Mei ini, diharapkan dapat memberi peluang bagi memperjelas dan menghuraikan beberapa perkara.

Calon Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, perkara itu adalah tentang pemilihan parti dan perkembangan politik negara.

"Pertamanya ahli parti khususnya berpeluang mengenali lebih dekat dua personaliti yang bersaing untuk jawatan nombor dua.

Saifuddin Nasution

"Ahli parti juga berpeluang mendengar untuk menilai jalur pemikiran kedua-dua calon.

"Yang ketiga, ahli parti berpeluang mendengar sendiri daripada sumber sebenar membabitkan dua calon ini,” katanya kepada pemberita pada Jumaat.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan peminat politik tanah air dan pengikut PKR akan berpeluang mengikuti debat secara langsung membabitkan dua calon Timbalan Presiden PKR iaitu Saifuddin dan Rafizi Ramli pada 11 Mei ini dari Studio F, Kumpulan Karangkraf pada jam 3 petang.

Ketua Pengarang Kumpulan merangkap Ketua Pegawai Pengisian Sinar Harian, Rozaid Rahman dalam satu kenyataan berkata, program ‘Berani Semuka: Siapa Layak Bersama Anwar?’ itu akan berlangsung selama satu jam 30 minit.

Mengulas lanjut, Saifuddin yang juga merupakan Setiausaha Agung PKR menambah, dengan adanya debat ini, ahli parti berpeluang mendengar sendiri kupasan atau pandangan bersabit tentang hal-hal berbangkit sepanjang kempen pemilihan.

Jelasnya, kupasan atau pandangan tersebut adalah berkaitan kedudukan parti, Pakatan Harapan (PH) dan bagaimana PKR memposisikan diri menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

"Kadang-kadang sumber tentang sesuatu perkara itu bersimpang siur dan datang daripada macam-macam sumber.

"Daripada media sosial yang kadang-kadang tidak diungkap oleh mana-mana calon tetapi diberikan gambaran seolah-olah datang daripada calon itu (sendiri),” jelasnya.

Disebabkan itu katanya, ia merupakan peluang terbaik bagi ahli parti mendengar sendiri apa yang diperkatakan dan selepas itu membolehkan mereka membuat keputusan berasaskan kepada fakta yang tepat dan sahih.

Klik di sini untuk terus membaca