AWANG faham mengapa banyak pihak yang kecewa dengan keputusan Kementerian Kewangan Malaysia dalam isu pemberian lesen bank digital.
Ada yang bertanya, apakah sebenarnya kriteria yang membolehkan lima konsortium yang berjaya itu mendapat lesen tersebut? Menurut Tuk Seri Saifuddin Nasution, ada syarikat yang berjaya berpejabat di negara lain dan tersenarai di bursa luar.
Salah sebuah syarikat yang berjaya punya rekod memberikan perkhidmatan wifi sekolah yang tidak memuaskan.
Sebuah konsortium yang berjaya dikaitkan dengan syarikat yang ada masalah dengan kedudukan kewangan di Bursa Malaysia. Sedangkan kriteria Bank Negara Malaysia yang penting adalah kewibawaan, integriti dan kecukupan sumber kewangan.
Salah sebuah syarikat Melayu yang turut memohon tetapi gagal khabarnya ada kapasiti dengan 11 lesen kewangan lain di bawah BNM dan Suruhanjaya Sekuriti.
Orang juga bertanya, mengapa syarikat yang sudah ada nama dan pengalaman macam ManagePay System Berhad (MPay) gagal? Khabarnya selain MPay, ada lagi syarikat milik Bumiputera yang sudah punya infra yang cukup untuk bergerak cepat. Tapi gagal juga. Timbullah soal ke mana agenda Bumiputera dalam hal ini.
Awang harap Datuk Hassan Mad dari Majlis Perundingan Melayu (MPM) kenalah bersuara dalam hal ini. Tak usahlah nak jaga hati pemimpin politik Melayu sangat. Cukup-cukuplah kita digula-gulakan dengan janji dan harapan selama ini. Baik siapapun yang memerintah, agenda Bumiputera makin lama makin terabai.
Klik di sini untuk terus membaca