SHAH ALAM - Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menegur tindakan segelintir ahli farmasi yang didakwa membuka kaunter dan menjadikan premis mereka tempat bagi orang ramai mendapatkan konsultasi mengenai penyakit yang dihidapi. Presiden MMA,... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menegur tindakan segelintir ahli farmasi yang didakwa membuka kaunter dan menjadikan premis mereka tempat bagi orang ramai mendapatkan konsultasi mengenai penyakit yang dihidapi.

Presiden MMA, Dr Koh Kar Chai berkata, ini kerana ahli farmasi komuniti hanya dibenarkan memberi nasihat tentang kesihatan dan melakukan saringan darah asas, contohnya pemeriksaan paras glukosa darah.

"Mereka tidak seharusnya melakukan ujian saringan kesihatan yang menyeluruh dan kemudian memberikan diagnosis kepada pesakit serta menetapkan rawatan berdasarkan laporan tersebut.

"Adalah tidak digalakkan bagi ahli farmasi untuk memulakan atau menetapkan rawatan kepada pesakit berdasarkan keputusan saringan darah tanpa pesakit berunding dengan doktor terlebih dahulu,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

Sebelum ini, Pakar Perubatan Keluarga, Dr Suhazeli Abdullah pada Rabu mendedahkan di Facebook beliau bahawa berlaku trend yang membimbangkan apabila segelintir kedai farmasi membuka kaunter dan menjadikan kedai mereka tempat bagi orang ramai mendapatkan konsultasi mengenai penyakit yang dialami.

Ia bermula dengan saringan kesihatan kemudian konsultasi kesihatan yang tak sepatutnya diberikan kepada orang ramai mengenai pengambilan ubat-ubatan mahu pun suplemen yang mereka jual.

Mengulas lanjut, Dr Kar Chai menjelaskan, sesetengah ubat memerlukan preskripsi daripada doktor perubatan sebelum ahli farmasi boleh mengeluarkan ubat terbabit kepada pesakit.

Menurut beliau, walaupun seseorang pesakit mungkin boleh mendapatkan preskripsi mereka di farmasi namun mereka terlebih dahulu perlu berjumpa doktor.

"Orang ramai atau pesakit masih perlu berjumpa doktor mereka secara berkala jika mereka mengambil ubat untuk penyakit tidak berjangkit atau sebarang penyakit lain yang memerlukan rawatan susulan,” tegasnya.

BERI NASIHAT, BUKAN DIAGNOS PENYAKIT

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Farmasi Malaysia, Amrahi Buang berkata, ahli farmasi termasuk ahli farmasi komuniti berperanan menjalankan ujian kesihatan kendiri (point of care testing) yang bukan bersifat diagnostik.

Katanya, ia termasuklah ujian untuk kandungan gula (diabetes), kolesterol (hiperlipidimia) dan asid urik untuk gout.

Menurutnya, ahli farmasi tidak berfungsi sekadar menjual ubat atau produk semata-mata.

"Ahli-ahli farmasi memberi nasihat, bukan untuk tujuan mendiagnos. Lazimnya ada dua sebab orang pergi ke farmasi komuniti iaitu mereka yang dalam rawatan.

"Selalunya kalau ada penyakit kronik seperti diabetes atau hipertensi, dia ambil ubat daripada doktor, tetapi dia tidak boleh buat ujian sendiri, mungkin setahun akan datang baru boleh jumpa doktor.

"Tetapi, dalam tempoh itu macam mana? Dia kena buat rawatan kendiri, pantau sendiri. Jadi, bila nak tahu keadaan diri, dia boleh cari ahli farmasi dan kita bagi perkhidmatan profesional untuk buat ujian.

"Inilah peranan yang perlu dimainkan oleh ahli farmasi, kita bukan nak jadi doktor,” katanya.

Mengulas lanjut, Amrahi berkata, sekiranya keputusan ujian yang dibuat di mana-mana farmasi menunjukkan hasil yang tidak baik, mereka akan diberi surat untuk dirujuk kepada pakar perubatan.

"Jika misalnya, kandungan gula dalam badan individu tersebut menunjukkan bacaan tinggi atau tidak terkawal, dia boleh meminta ahli farmasi membuat surat rujukan kepada doktor.

"Jadi, apabila doktor dapat rujukan ini, dia tahulah bahawa ujian telah dilakukan oleh ahli farmasi. Kemudian, doktor akan diagnos,” jelas beliau.

Klik di sini untuk terus membaca