MANIS berbaju kebaya kuning dengan kain hitam bercorak bunga, tidak dapat dinafikan sosok bernama Marina Ibrahim memiliki penampilan menawan apatah lagi saat berdepan empat mata dengannya. Namun Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Skudai itu... Klik di sini untuk terus membaca

MANIS berbaju kebaya kuning dengan kain hitam bercorak bunga, tidak dapat dinafikan sosok bernama Marina Ibrahim memiliki penampilan menawan apatah lagi saat berdepan empat mata dengannya.

Namun Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Skudai itu bukan sekadar memiliki penampilan menarik, bahkan anak kelahiran Kluang yang sering dilabel eye candy atau penyedap mata parti DAP itu mempunyai misi tersendiri dalam melaksanakan tugas yang diamanahkan oleh pengundinya.

Sebagai pemimpin muda dengan idea baharu dan segar, Marina tekad untuk merancang serta membawa perubahan yang bakal memberi manfaat dan kebaikan bukan sahaja kepada penduduk di Skudai tetapi juga semua rakyat Johor secara keseluruhan.

Bagaimanapun, pilihan Marina menceburi karier politik di bawah naungan parti DAP yang sinonim dengan persepsi sebagai parti milik kaum Cina sudah pasti memberi pelbagai cabaran buat wanita berusia 35 tahun itu.

Namun, Marina belajar untuk tidak cepat melatah dan menjadikan kata-kata azimat ibu tercinta sebagai pembakar semangat untuk dirinya meneruskan perjuangan membela nasib rakyat."Sewaktu awal kemasukan dalam parti DAP, memang tidak dinafikan ada orang cakap saya pengkhianat bangsa, pengkhianat Melayu malah ada juga kaum keluarga yang marah dan menyisihkan kerana kita tahu parti DAP sering dikaitkan dengan komunis dan pelbagai persepsi lain yang tidak benar.

"Tetapi ibu saya berpesan, sekiranya yakin dan percaya keputusan yang saya buat itu adalah betul maka teruskan selagi tidak mengkhianati orang, tidak buat perkara salah dan tahu niat diri sendiri,” kongsinya dalam sesi temuramah eksklusif bersama Sinar Premium baru-baru ini.

Marina yakin DAP mampu mempamer prestasi terbaik dan memenangi lebih banyak kerusi dalam persaingan Pilihan Raya Umum ke-15 kelak sekiranya semua pihak bekerja keras untuk kepentingan parti.

Kata Marina yang juga pemegang diploma pemasaran dari Politeknik Merlimau, apabila menyertai DAP beliau mula menyedari ia bukanlah sebuah parti perkauman seperti yang didakwa oleh kebanyakan orang.

"Rakan-rakan Cina saya dalam DAP boleh bergaul dengan baik dengan kaum lain. Persepsi yang dimainkan pihak di luar sana yang sebenarnya tidak tahu tentang DAP adalah sangat tidak benar.

"Bagi saya, kalau kita kata DAP ini parti perkauman maka apa sebenarnya perubahan yang boleh dilakukan untuk menepis stigma atau persepsi tersebut,” ujar Marina yang mula berkecimpung dalam dunia politik sejak tahun 2016.

Katanya lagi, secara peribadi dirinya berkawan baik dengan semua orang tanpa mengira parti dan itu antara sikapnya yang disenangi ramai orang.

KEMENANGAN BUKIT TIKET BERSERONOK

Mengisahkan momen ketika melalui detik Pilihan Raya Negeri Johor yang berlangsung pada 12 Mac lalu, Marina yang juga Penolong Setiausaha Publisiti DAP Johor mengakui berasa gementar ketika mula-mula mengetahui dirinya dipilih sebagai calon Pakatan Harapan (PH) di N.48 Skudai.

Pelbagai persoalan bermain di fikiran Marina ketika itu, antaranya adakah para pengundi di Skudai dapat menerima dirinya, seorang calon wanita berbangsa Melayu bertanding di kawasan yang majoritinya penduduk berbangsa Cina.

"Tetapi saya cabar diri sendiri dan berbekalkan pengalaman ketika berkhidmat sebagai penyelaras di Senai dan Layang-Layang sebelum ini saya masuk ke Skudai dengan memegang satu harapan besar.

"Rakyat sebenarnya mahukan pemimpin yang boleh bekerja dan sebagai pemimpin kita kena pandai menyesuaikan diri supaya boleh memberikan yang terbaik untuk rakyat,” ujarnya.

Katanya lagi, kejayaan manis meraih majoriti undi terbesar dalam persaingan PRN Johor lalu bukan tiket untuk berasa terlalu gembira apatah lagi mendabik dada kerana ia satu tanggungjawab besar dan amanah yang perlu dilaksanakan sebaik mungkin.

"Adakah dengan jawatan yang dimiliki itu kita telah melakukan yang terbaik untuk mereka yang percaya dan mengundi kita?

"Saya percaya amanah ini yang akan dipersoalkan apabila mati kelak,” katanya yang tidak lokek menguntum senyuman sepanjang temuramah yang diadakan di Hutan Bandar Majlis Bandaraya Iskandar Puteri itu.

Pada masa sama, Marina turut beraspirasi untuk menganjurkan lebih banyak program kemasyarakatan yang mampu membina hubungan lebih akrab antara kaum. Beliau juga percaya segala perbezaan pendapat perlu ditangani dengan cara berlembut dan bukannya beremosi.

Malah Marina tegas dengan prinsip sekiranya ikhlas mahu berkhidmat untuk rakyat tidak perlu membezakan parti sebaliknya tanggungjawab menyelesaikan isu rakyat itu yang perlu diutamakan.

PERNAH TINGGAL DI ESTET DENGAN NENEK

Menyingkap sisi lain Marina Ibrahim, beliau menceritakan pengalaman hidup dibesarkan oleh nenek di Estet Yong Peng sementara ibunya yang ketika itu telah berpisah dengan suami bekerja sebagai kerani polis di Kluang.

"Ibu bapa berpisah ketika saya masih bayi dan demi menyara keluarga, ibu bekerja sebagai kerani polis dengan gaji yang kecil pada ketika itu.

"Saya pula dijaga oleh nenek di kampung tetapi setiap hujung minggu, ibu pasti akan pulang menjenguk kami sekeluarga.

Marina turun padang membawa juadah raya kepada golongan wargas emas.

"Sudah besar sedikit, saya dan kakak dijaga pula oleh mak cik dan pak cik. Ibu akhirnya berkahwin lain ketika saya berusia enam tahun dan mendapat dua orang anak,” katanya.

Seperti kanak-kanak lain, Marina juga ada pengalaman sewaktu kecil yang tidak dapat dilupakan sehinggalah ke hari ini. Marina bercerita pernah dimarahi ibunya kerana cuba membantu membuat kuih raya ketika di bulan puasa.

"Kasihan melihat ibu yang penat bekerja sendiri untuk membesarkan saya dan kakak, saya ambil keputusan membuat kuih raya dengan harapan dapat meringankan bebannya.

"Tetapi bila ibu balik rumah melihat kami sedang menguli tepung, ibu marah dan menangis kerana semua bahan buat kuih telah kami gunakan, tambahan lagi waktu itu gaji ibu sangat kecil dan tiada wang untuk membeli bahan yang lain,” katanya dalam nada sebak.

TIDAK PERNAH BERUBAH

Benarlah kata orang, pengalaman itu menjadi guru yang mendewasakan dan bagi Marina sendiri, kenangan hidup susah sewaktu kecil banyak membentuk peribadi diri untuk mempunyai perasaan simpati dan empati terhadap kepayahan hidup orang lain.

Disebabkan itu juga, Marina tidak pernah berasa kekok untuk turun padang menyantuni masyarakat dan menyelami permasalahan rakyat tidak kira tua atau muda.

Tambahnya lagi, kemenangan dan jawatan Yang Berhormat (YB) yang dipegang sekarang juga bukan penghalang atau jurang bagi dirinya terus mendekati pelbagai lapisan rakyat yang berhasrat mengadu nasib dan masalah dengannya.

Namun, Marina terpaksa mengakui masanya untuk bersama masyarakat di kawasan lain agak terhad buat masa ini berikutan tuntutan tugas yang memerlukan dirinya banyak tertumpu di kawasan pengundi beliau di Skudai.

"Apabila saya menang tempoh hari, ada seorang pak cik di Mersing bertanya kepada rakan saya, Marina sudah jadi YB mahukah dia duduk dengan kita lagi? Mahukah makan bersama kita lagi?

"Sebenarnya kalau boleh saya mahu cari masa untuk menemui mereka yang saya sudah anggap seperti keluarga sendiri terutama golongan warga emas dan memberitahu bahawa saya sentiasa dekat dengan mereka walau di manapun saya ditempatkan,” cerita Marina sambil menahan air mata.

Menariknya, selain sibuk dengan karier sebagai ADUN, Marina juga kini sedang menyambung pelajaran di peringkat ijazah dalam jurusan pengurusan pelancongan di Open University.

"Saya mengambil jurusan pengurusan pelancongan disebabkan pengalaman sewaktu menjadi ahli majlis, ketika itu saya mahu membuat pembaharuan di Lorong Ismail, Kulai selain merancang meningkatkan eko-pelancongan di Kulai kerana kedudukannya yang berdekatan lapangan terbang tetapi malangnya tidak berkesempatan susulan kejatuhan kerajaan PH,” katanya.

Sehubungan itu, Marina turut menyatakan harapan dan keyakinan DAP mampu mempamer prestasi terbaik dan memenangi lebih banyak kerusi dalam persaingan Pilihan Raya Umum ke-15 kelak sekiranya semua pihak bekerja keras untuk kepentingan parti.

Berbicara tentang sambutan Aidilfitri selepas bergelar wakil rakyat, Marina berkata, hari raya tetap sama kerana paling penting adalah meraikannya dalam keserderhanaan bersama famili tercinta.

"Tiada beza ketara, saya masih rasa sama seperti sebelum menjadi YB cuma kali ini mungkin saya lebih dikenali,” katanya yang merayakan Aidilfitri di Kluang.

Untuk juadah kegemaran di pagi raya, Marina memilih ketupat dan sate goreng air tangan ibunya sebagai hidangan wajib di pagi raya.

UTAMAKAN WANITA, WARGA EMAS, KANAK-KANAK MISKIN

Di hujung temuramah, kami sempat bertanyakan Marina apa profesion pilihan sekiranya tidak bergelar ahli politik, beliau dengan pantas menjawab dirinya selesa terlibat dengan kerja-kerja NGO.

Malah bagi Marina, golongan wanita, ibu tunggal, warga emas dan kanak-kanak miskin serta kurang bernasib baik amat dekat di hati sekali gus menjadi passion utama bagi dirinya dalam menghulurkan bantuan.

Bagi Marina, golongan wanita, ibu tunggal, warga emas dan kanak-kanak miskin serta kurang bernasib baik amat dekat di hati sekali gus menjadi semangat utama bagi dirinya dalam menghulurkan bantuan.

Mengambil contoh kanak-kanak miskin dan kurang bernasib baik, Marina berkata, golongan ini perlu diberi bimbingan, tunjuk ajar dan semangat untuk lebih berjaya.

"Kadangkala orang dewasa lebih menumpukan kepada kanak-kanak dengan keputusan cemerlang dan tanpa disedari mengabaikan dan mengguris hati kanak-kanak yang kurang cemerlang dalam pelajaran.

"Mereka perlu tahu sekiranya kurang berjaya dalam pelajaran masih ada kemahiran yang boleh dipelajari dan ini membolehkan mereka lebih berfikiran terbuka.

"Kanak-kanak ini tidak tahu realiti sebenar dunia di luar sana dan sekiranya tiada pihak yang mendekati kehidupan mereka akan terus susah,” katanya lagi.

Lima perkara tentang Marina Ibrahim yang orang tidak tahu

1. Suka makan terutamanya nasi kandar

2. Selalu dianggap garang sedangkan dirinya seorang yang peramah

3. Jarang tidur dalam kereta sebaliknya suka berborak

4. Menggemari yoga

5. Mudah tersentuh dan menangis

Klik di sini untuk terus membaca