SAYA lebih suka mengelak daripada mengambil risiko berbuka puasa dalam kereta, jadi sepanjang Ramadan (apabila tidak bersama keluarga) saya berbuka puasa di rumah dan menikmati makan malam pada jam 8. Syukur kerana kebanyakan rakan dan teman sekerja saya bersetuju dengan logik ini.
Saya terlewat sedikit pada hari Ahad, ketika Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja membuat pengisytiharan seperti kebiasaannya di corong radio, saya masih meletakkan kereta di ruang parkir pada jam 8 malam. Saya menghargai upacara ini yang menggunakan perkataan dan frasa tradisional. Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja menggunakan istilah Hari Raya Puasa berbanding Aidilfitri untuk hari pertama bulan Syawal, tidak seperti kebiasaan rakyat Malaysia beragama Islam dalam ucapan selamat di WhatsApp.
Penggunaan frasa ‘bagi negeri-negeri seluruh Malaysia’ berbanding ’di Malaysia’ meletakkan negeri sebagai pusat tumpuan, mengiktiraf bahawa agama Islam tertakluk kepada negeri di bawah bidang kuasa Sultan/Raja. Sebahagian pembaca mungkin teringat kembali bahawa pada tahun 1983, negeri Perak dan Johor telah menyambut hari raya sehari lebih awal berbanding negeri-negeri lain setelah dititahkan oleh Sultan Perak dan Johor berdasarkan kepada anak bulan yang telah dilihat oleh nelayan di laut.
Episod bersejarah ini diimbau kembali oleh orang ramai sejak beberapa hari ini kerana Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja telah mengisytiharkan ‘Isnin, 2 Mei’ dan bukannya ‘Selasa, 3 Mei’ seperti yang dijangka. Saya juga terkejut, maka saya menunggu segmen berita selepas itu untuk mendapatkan pengesahan. Namun, pembaca berita tidak menyebut apa-apa mengenai tarikh hari raya. Sebaliknya, di Twitter telah kecoh dengan ciapan semula pengisytiharan rasmi tersebut. Jelas sekali, meja berita tidak menyedari hal ini serta tidak berkesempatan menyunting buletin mereka. Ada juga yang bertanya adakah saya mengetahui lebih awal mengenai hari raya ‘kalut’ ini, kerana seorang kerabat diraja yang senior telah terlebih dahulu membuat hantaran ‘Selamat Tinggal Ramadan’ di media sosial pada hari Ahad, tetapi lebih-lebih lagi disebabkan ayat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja yang dimulakan dengan "Bagi menyempurnakan titah perintah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, setelah diperkenankan oleh Duli Yang Maha Mulia Raja-raja”. Adakah pihak Istana telah mengetahuinya lebih awal?
Kita hanya dapat mengatakan bahawa kelewatan dalam komunikasi berlaku di mana-mana sahaja tanpa mengira tempat.
Pelbagai teori konspirasi juga mulai timbul, seperti kebiasaan apabila terjadi sesuatu perkara yang tidak dijangka. Terdapat satu tanggapan bahawa berlaku perselisihan faham antara pihak berkuasa agama (terutamanya setelah pertelingkahan mengenai pengiktirafan sebuah tarekat Sufi yang telah saya sebut dalam artikel sebelum ini), atau keluarga diraja dengan pihak kerajaan, atau pihak berkuasa cuba menimbulkan kekecohan dalam kalangan rakyat, malah satu-satunya ahli falak (daripada keseluruhan 29 ahli falak) yang melihat anak bulan itu berada di bawah ‘pengaruh’ tertentu.
RAMALAN
Lebih mudah untuk melontarkan tohmahan sebegini berbanding cuba memahami kriteria sebenar dalam menentukan tarikh hari raya iaitu kaedah rukyah dan hisab yang digunakan di Malaysia.
Rukyah dan hisab merupakan kaedah pencerapan anak bulan dan menghitung bilangan hari, melibatkan ilmu astronomi seperti elongasi bulan (sudut yang memisahkan antara garis penglihatan bumi dan matahari, serta antara bumi dan bulan).
Satu persoalan yang lebih berkait setelah kekacauan yang berlaku adalah, "bukankah lebih baik jika tarikh-tarikh ini ditetapkan terlebih dahulu agar berjuta-juta rakyat tidak akan terkesan?”.
Sekian lama kita telah mengabaikan tanda bintang pada kalendar dan nota kaki ‘tertakluk kepada perubahan’. Mungkin tuntutan dunia hari ini memerlukan kebolehramalan, tetapi sebarang evolusi permasalahan ini harus dicapai melalui muafakat, sebagaimana pada masa lalu. Walaupun kriteria yang digunakan di rantau ini kekal, keputusan yang berbeza masih boleh berlaku.
Ketika Malaysia menyambut Hari Raya Puasa bersama-sama Indonesia dan Thailand, saya termenung memikirkan adakah seorang Muslim Singapura yang memasuki sempadan Malaysia pada 2 Mei perlu terus berbuka puasa disebabkan kita dilarang berpuasa pada 1 Syawal.
Di persimpangan ini, sukar untuk mengukur kesan sebenar sambutan awal hari raya terhadap ekonomi kerana banyak perniagaan yang melaporkan peningkatan keuntungan pada malam raya.
Sudah tentu, industri sukarela penciptaan menjadi-jadi, ramai yang merujuk kepada hari raya yang awal berbeza dengan dua tahun yang hilang akibat Covid-19, ketabahan para ibu yang memasak rendang dalam keadaan tergesa-gesa, atau kucing peliharaan yang diletakkan dalam kuali kerana kehabisan ayam.
Tetapi setelah semua kelam-kabut itu menjadi tenang, pagi raya berjalan dengan lancar. Di Seri Menanti, saya menyertai keluarga di Masjid Diraja Tuanku Munawir, bersama dengan alunan takbir raya yang sangat harmoni oleh para jemaah yang melimpah sehingga ke luar dewan solat utama.
Ketika orang dewasa saling menjemput untuk berkunjung ke rumah masing-masing, kanak-kanak pula beratur dengan penuh sabar untuk mendapatkan duit raya di masjid ini berbanding di Istana kerana tiada majlis rumah terbuka yang dianjurkan tahun ini.
Walaupun sesama ahli keluarga, ada juga yang perlu diingatkan nama mereka, terutamanya kanak-kanak yang masih lagi bayi pada tiga tahun lalu – mereka kelihatan tidak terbiasa dengan kehadiran orang ramai − manakala sebahagian daripada kami yang introvert dengan pantas memencilkan diri di tingkat atas. Hal ini mungkin mengisyaratkan bahawa keadaan sudah kembali seperti biasa!
* Tunku Zain Al-‘Abidin mengucapkan Selamat Hari Raya, Maaf Zahir Batin!
Klik di sini untuk terus membaca