MUNGKIN belum terlambat untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir batin kepada seluruh umat Islam di Malaysia, khususnya buat pembaca Sinar Harian yang setia. Di sebalik huru-hara raya terkejut yang mengejut, ianya tetap disambut dengan penuh syukur dan gembira.
Gembira kita melihat seluruh warga tetap bersemangat untuk beraya. Kesesakan jalan raya serta kebanjiran manusia di setiap hentian bas dan lapangan terbang mengembalikan keceriaan hari raya setelah dua tahun tidak meraikannya dengan sempurna. Syukur Alhamdulillah.
Mungkin 'mood' raya masih berterusan. Namun begitu, perkembangan seterusnya membawa kita kepada satu lagi raya yang dijangka kembali hangat diperkatakan selepas ini iaitu pilihan raya. Adakah kita sudah menyambut raya yang terakhir pasca Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dan menuju ke PRU15?
Ketika beraya, cakap-cakap berkenaan PRU15 melatari hampir setiap perbualan. Walaupun begitu, majoriti yang berbual itu tidak mahu PRU diawalkan. Rata-rata mahu PRU15 dilakukan tahun depan sesuai dengan tempoh masa lima tahun. Alasan mereka pelbagai, namun mesejnya sama iaitu tidak mahu PRU dibuat dalam tahun ini.
Paling menarik ramai yang teruja menantikan debat antara Datuk Seri Najib Razak dan Datuk Seri Anwar Ibrahim berkenaan isu Sapura Energy Berhad (SEB) walaupun minggu depan ada dua lagi debat pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) antara calon-calon Timbalan Presiden dan Ketua Angkatan Muda (AMK).
Bagus juga sebab dalam kelesuan tahap tepu rakyat ketika ini, masih ada perkara yang boleh menarik minat mereka untuk memerhatikan hal-hal politik. Risau juga dengan segala macam yang berlaku, perhatian dan minat rakyat terhadap politik mati terus. Nasib baik juga ada debat itu, harap jadilah terutamanya debat Najib-Anwar. Jangan pula ada kejutan saat akhir macam pengumuman hari raya.
BUKU BERTEMU RUAS
Apa yang mengujakan mereka tentang debat tersebut? Pertama ini debat yang benar-benar seimbang bak bertemu buku dengan ruas. Bukan tidak ada debat sebegini sebelumnya. Tapi mungkin tidak sama seperti kali ini kerana keupayaan pendebat sama hebat dan sepadan. Sebelumnya kita sudah menyaksikan debat bersejarah antara Datuk Seri Anwar dan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek tahun 2008 tentang kenaikan harga minyak, Khairy Jamaludin dan Rafizi Ramli (2012) berkenaan pemansuhan PTPTN serta Lim Guan Eng dan Datuk Seri Wee Ka Siong (2021) tentang Dasar Kabotaj Negara. Namun aura dan figuranya tidak sama berbanding debat Najib-Anwar ini.
Kedua pendebat adalah mantan Menteri Kewangan yang juga mantan Perdana Menteri dan mantan Timbalan Perdana Menteri. Jadi pengalaman, kematangan serta idea meluas mereka dalam membahasakan isu yang diutarakan memang amat dinantikan.
Malah ramai yang mahu melihat skop perbahasan itu dibesarkan dan menyentuh perkara-perkara lain terutamanya berkenaan isu dan hala tuju ekonomi semasa.
Ketiga, isu yang dibahaskan itu sendiri amat menarik. Isu SEB ini mungkin amat asing buat rakyat Malaysia dan ramai yang tidak faham tentang selok belok pengurusan serta hal-hal berkenaan pengurusan korporat. Jadi kebolehan pendebat untuk memudahkan penerangan amat diperlukan bagi membantu memahami isu, masalah dan idea masing-masing terhadap perbincangan.
Cumanya kita harus faham format sesi perdebatan. Debat seharusnya bersifat neutral di mana pendebat lazimnya saling bersetuju dengan peraturan yang ditetapkan oleh penganjur. Paling penting, debat mesti fokus membahaskan isu tanpa menyerang peribadi atau apa-apa yang terkeluar dari isu yang dibahaskan. Kerana akhirnya perdebatan sepatutnya menjadi medan untuk menguji keupayaan intelek, menggalakkan dialog yang membina dan membentuk budaya politik yang matang dan terbuka.
* Mujibu Abd Muis ialah Felo Kursi Institusi Raja-Raja Melayu (KIRRM) Universiti Teknologi MARA (UiTM)
Klik di sini untuk terus membaca