RAMAI sungguh yang ‘troll’ atau memprovokatif menerusi media sosial berkaitan dengan kejutan pengumuman tarikh sambutan Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini. Ada yang ‘Troll’ dengan mengubah lagu, mengedit gambar-gambar, membuat lakonan spontan, merakam video pendek dan pelbagai tindak-tanduk yang mengejek dan memperlekeh. Ditambah pula dengan sokongan daripada jabatan netizen Malaysia, lagi meriahlah ‘troll’ tersebut.
Walaupun tindakan tersebut tidak wajar, kekecewaan umat Islam berkaitan dengan kejutan raya ada juga logiknya kerana selama berpuluh tahun sebelum ini, takwim hijrah tidak pernah tersasar sama ada terlebih atau terkurang dalam menentukan tarikh 1 Syawal. Justeru, ramai yang begitu selesa dengan keadaan tersebut dan cukup bersedia dalam membuat segala perancangan berkaitan persiapan raya.
Pun begitu, pengumuman Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja yang mengisytiharkan tarikh 1 Syawal pada 2 Mei 2002 iaitu sehari awal berbanding dengan takwim hijrah, telah menimbulkan kejutan dan panik bagi seluruh umat Islam di Malaysia. Natijah daripada pengumuman itu, katanya ada yang telah solat tarawih empat rakaat di Sabah dan Sarawak, sembahyang raya di hentian lebuh raya serta ‘berperang’ di dapur untuk menyediakan juadah raya. Pendek kata, mental, emosi dan fizikal begitu terjejas dengan kejutan tersebut.
Sesungguhnya, fenomena kejutan raya ini pernah berlaku buat julung kalinya dalam sejarah Malaysia pada tahun 1983. Pada ketika itu, Perak dan Johor telah menyambut raya awal sehari berbanding dengan negeri-negeri lain di Malaysia kerana anak bulan telah kelihatan oleh sekumpulan nelayan di Perak dan diakui sah oleh pihak marin pada masa itu.
Difahamkan, telah berlaku beberapa perselisihan dan pergaduhan kecil kerana ada sekumpulan individu di Tanjung Malim yang tunjuk lagak dengan merokok dan makan minum di sempadan Ulu Bernam, Selangor. Mengambil iktibar dari peristiwa tersebut, jawatankuasa Penyelarasan Rukyah dan Takwim Islam telah membuat penyelarasan dan kaedah tertentu bagi menentukan kenampakan anak bulan Syawal.
PENGAJARAN BERMAKNA
Sebetulnya, kenyataan berkaitan sambutan hari raya pada 2 Mei 2022 oleh Mufti Wilayah Persekutuan baru-baru ini amatlah jelas. Menurut beliau, "Berasaskan kriteria menentukan rukyah dengan 3 darjah menegak dan 6.4 darjah melengkung, maka dari segi kiraan anak bulan agak sukar untuk dilihat tetapi kemungkinan tetap ada. Justeru, apabila satu daripada 29 lokasi cerapan mengesahkan kenampakan anak bulan Syawal, maka 1 Syawal diisytiharkan pada 2 Mei 2022”.
Pada hemat saya, kejutan raya tahun ini memberi pengajaran yang cukup bermakna kepada kita semua, antaranya; tiada yang pasti dalam kehidupan di dunia ini. Walau secanggih mana teknologi dan tingginya ilmu kita, namun semuanya itu tidak seluas pengetahuan dan perancangan ALLAH SWT. Selain itu, sirnanya Ramadan yang kita kasihi tanpa diduga adalah seperti hilangnya individu yang kita kasih dan cintai tanpa kita bersedia menerima kehilangan tersebut. Justeru, kasihlah mereka yang dikasihi semasa ada.
Ingatlah dalam keghairahan ‘membalas dendam’ tidak beraya dengan meriah selama 2 tahun, janganlah berseronok sesama kita sahaja. Raikanlah mereka yang tidak berupaya selaras dengan firman ALLAH SWT, "Mereka juga memberi makan benda-benda makanan yang dihajati dan disukainya, kepada orang miskin dan anak yatim serta orang tawanan. (sambil berkata dengan lidah atau dengan hati), ‘Sesungguhnya kami memberi makan kepada kamu kerana ALLAH semata-mata, maka kami tidak berkehendakkan balasan dari kamu atau ucapan terima kasih. Kami sebenarnya takutkan Tuhan kami, takut ia kenakan kami azab hari yang padanya muka orang-orang yang bersalah; masam berkerut-kerut”. (Surah Al-Ihsan, 76:8-10).
* Profesor Madya Dr Huzili Hussin ialah Ketua Pusat Kecemerlangan Inovasi dan Kelestarian Sosial (COESIS) Universiti Malaysia Perlis
Klik di sini untuk terus membaca