"PAGI-pagi esok selepas subuh kita terus gerak. Jangan lambat-lambat nanti trafik sesak,” kata isteri saya berpesan. Saya hanya angguk-angguk sahaja. Terdetik juga di hati kalau trafik sesak, berapa lama agaknya masa perjalanan. Sebelum... Klik di sini untuk terus membaca

"PAGI-pagi esok selepas subuh kita terus gerak. Jangan lambat-lambat nanti trafik sesak,” kata isteri saya berpesan.

Saya hanya angguk-angguk sahaja. Terdetik juga di hati kalau trafik sesak, berapa lama agaknya masa perjalanan. Sebelum ini pun saya pernah juga terperangkap dalam kesesakan trafik.

Dari Utara saya akan mengambil jalan Gerik, Jeli hingga ke Pasir Putih. Sebelum ini, kami pernah terperangkap selama 12 jam disebabkan kesesakan di Persimpangan Tanah Merah.

Lampu isyarat bertukar dari merah kepada kuning, seterusnya kepada hijau, trafik masih tidak bergerak dan kaku. Akhirnya saya terpaksa menginap di rumah tumpangan Bukit Bunga.

Tahun ini, setelah dua tahun tidak balik kampung beraya, kita telah digembar-gemburkan dengan peningkatan trafik yang mungkin lebih besar katanya. Entah berapa lama akan terperangkap lagi.

Jalan Gerik ke Pasir Putih jarang mendapat liputan media. Hanya melalui kumpulan media sosial netizen sahaja rajin berkongsi status. Kebiasaan laporan kesesakan ini hanya dilaporkan apabila melibatkan lebuh raya sahaja.

Selepas Subuh, saya sekeluarga terus bergerak ke Gerik melalui Sik dan Baling. Jalan lancar sahaja dan amat menyenangkan dengan cuaca sejuk dan berkabus. Tidak perlu menghidupkan pendingin hawa.

Di Gerik, Jeli, Tanah Merah, trafik masih lancar. Tidak seperti yang dijangkakan.

Cuma Jalan Gerik masih seperti sebelumnya. Saya menjangkakan ia sudah beberapa tahun tidak diselenggara dengan sempurna. Ini pun diselenggara, setelah mendapat rungutan dari netizen.

Sebelum ini, ketika saya melaluinya, memang penuh dengan lubang, retak ataupun dalam perkataan kejuruteraannya ‘crocodile crack’, ‘rutting’ dan bermacam-macam lagi perkataan kejuruteraan.

JALAN GERIK BANYAK LUBANG

Perasaan saya yang menghabiskan duit menyelenggara kenderaan sebelum balik raya, menjerit-jerit dan hampir menangis apabila berdentam-dentum impak kenderaan ketika melaluinya.

Jalan Gerik ini tidaklah diselenggara sepenuhnya. Hanya sebahagian sahaja. Mungkin pihak yang bertanggungjawab tidak cukup duit atau bajet agaknya. Namun kalau baru rosak bolehlah diterima, tetapi kalau sudah beberapa tahun masih seperti itu, maka tidak boleh diterima dek akal yang sihat.

Garisan jalan di beberapa tempat pun sudah pudar dan hilang. Saya pun keliru, yang mana garisan boleh memotong dan yang mana tidak boleh memotong. Saya tertanya-tanya juga sama ada laluan saya ini betul atau tidak, ke kiri atau kanan.

Terpaksalah saya mengikuti kereta yang di depan. Kalau kereta di depan tersilap lorong begitu jugalah saya.

Sampai sahaja ke kawasan Jeli sehingga Pasir Putih barulah sedikit lega. Keadaan jalan boleh dikatakan baik. Syabas kepada pihak berkuasa Kelantan cakna di kawasan jajahannya berbanding kerajaan Perak agaknya.

Ke Kuala Terengganu, saya akan memilih laluan pantai. Jalannya diselenggara elok dan tidak ada kesesakan seperti yang dijangka. Semuanya lancar dan semangat untuk berhari raya semakin berkobar. Cuma fikiran saya sedikit kusut tentang keadaan kereta.

Kalau tidak, terpaksalah diselenggarakan sekali lagi untuk perjalanan balik raya ke Kedah pula.

Hari raya ketiga, saya sudah bergerak pulang ke Kedah. Kali ini saya memilih laluan Tasik Kenyir, Felda Aring, Gua Musang, kemudian ke Cameron Highland dan cadangnya keluar ke Simpang Pulai.

Laluan ini sangat cantik pemandangannya. Saya sempat berhenti ke kedai bebas cukai Tasik Kenyir, walaupun indah khabar dari rupa, namun nikmat pemandangannya cantik untuk dijadikan kenangan bergambar.

Cuma sekali lagi, laluannya agak berbahaya dengan kesan runtuhan tanah dan lubang. Jarang kereta melaluinya seperti jarangnya pihak media membuat liputan trafik di laluan ini. Dalam perjalanan terdapat sebuah kereta terbabas.

Alhamdulillah, semuanya selamat. Saya tidaklah berhenti, disebabkan sudah ada beberapa orang yang membantu.

Jalan ini juga banyak kerosakan yang tidak berpusat setempat. Jika memecut, mungkin tidak akan sempat untuk mengelak lubang. Molek dipandu dengan gaya orang tua seperti saya sahaja. Itupun tidak terlepas dari terlanggar lubang juga.

Saya ingin mencadangkan molek kerajaan jadikan laluan Felda Aring dan Gerik sebagai laluan bertol sahaja. Supaya penyelenggaraan dapat dilakukan dengan lebih berkesan.

Selain itu, boleh juga nanti, saya memohon kerja di lebuh raya ini dan balik kampung beraya dengan lebih selesa. Apa agaknya kata kerajaan?

* Faisal Muhamad ialah seorang jurutera kanan di sebuah syarikat lebuh raya dan amat meminati penulisan kreatif. Untuk berbual, e-mel beliau: mrfaisalmuhamad@gmail.com

Klik di sini untuk terus membaca