SHAH ALAM - Gangguan seksual, penderaan fizikal dan mental merupakan mimpi ngeri yang dialami doktor pelatih dan pegawai perubatan muda sepanjang bertugas dalam sektor kesihatan terutama hospital dan klinik kerajaan di negara ini.
Malah pembuli itu bukan sahaja didakwa ada dalam kalangan pegawai perubatan (MO) tetapi juga rakan sejawat termasuk jururawat.
Jurucakap Hartal Doktor Kontrak, Dr Muhammad Yassin berkata, justeru, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) perlu mengambil tindakan tatatertib yang tegas kepada pegawai perubatan yang melakukan tindakan buli.
Tegasnya, andai KKM tidak mengambil tindakan maka ia memberikan gambaran buruk kepada masyarakat, khususnya doktor muda.
"Ada dalam kalangan mereka ini hampir nak membunuh diri sebab terlalu tertekan dimaki, marah dan pelbagai lagi.
"Malah tiga doktor terpaksa ambil keputusan untuk berhenti dan ada juga terpaksa pergi berjumpa dengan pakar psikiatri sebab dah teruk,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Sebelum ini, timbul dakwaan di media sosial mengatakan bahawa doktor muda menjadi mangsa buli seorang pegawai perubatan di Hospital Tawau, Sabah.
Muhammad Yassin berkata lagi, KKM perlu menarik semula peluang sambung belajar dan menyekat pemberian gaji serta pangkat.
Ujar beliau, jika mereka itu diberikan peluang tersebut besar kemungkinan pelbagai impak buruk akan berlaku.
"Lebih mendukacitakan, pembuli itu diberikan peluang untuk sambung pelajaran menjadi pakar perubatan.
"Itu memberi refleksi yang agak buruk kepada doktor-doktor muda dan masyarakat yang pembuli boleh diberikan ganjaran.
"Jika sekarang sebagai pegawai perubatan pun perangai macam itu, cuba bayangkan dia pakar, kita tidak tahu perangai dia macam mana pula,” kata Muhammad Yassin.
Beliau berkata, KKM perlu bekerjasama dengan pihak polis untuk menyiasat isu tersebut supaya memberikan pengajaran kepada pembuli.
"Kalau betul mereka ini membuli sehingga teruk, kita kena halang.
"KKM perlu serius dalam Zero Tolerance Towards Bullying. Kalau tidak, masyarakat akan hilang kepercayaan sekiranya kes-kes membabitkn buli dalam kalangan petugas kesihatan tidak ambil tindakan.
"Malah, doktor muda pun hilang kepercayaan kepada pihak atasan,” jelasnya.
‘HO DAKWA DIGANGGU MO’
Sementara itu, salah seorang doktor pelatih (HO) di salah sebuah hospital kerajaan mendakwa mengalami gangguan seksual oleh pegawai perubatan (MO) di sana.
Dia yang ingin dikenali sebagai Syahid berkata, tindakan MO itu konon untuk mengajar melakukan pemeriksaan kesihatan fizikal tetapi sebaliknya yang berlaku.
"Kawan saya iaitu seorang HO penempatan pertama mendakwa telah mengalami gangguan seksual oleh MO di sebuah jabatan ini.
"MO berkenaan menghubunginya dengan alasan mengajar cara pemeriksaan fizikal, sebaliknya badan dia (HO) yang jadi subjek pemeriksaan dalam bilik berkunci.
"MO itu memang sentuh bahagian privasi atas alasan pemeriksaan fizikal,” katanya pada Jumaat.
Akuinya, kejadian tersebut menyebabkan HO berkenaan mengalami trauma yang memalukan seperti itu,
Selepas beberapa kali cuba mengadu nasib kepada pihak pengurusan hospital, dia dan pasukannya sudah tidak didekati serta dibuli oleh MO terbabit.
"Saya ucapkan terima kasih kepada pihak hospital kerana kami percaya MO berkenaan telah diberi amaran.
"Ada sedikit kejayaan di pihak kami walaupun sampai sekarang MO tersebut masih bebas bekerja,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca