SHAH ALAM - Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) sudah kenal pasti 28 lokasi 'panas' sempena pemilihan pemimpin peringkat cabang dan merebut jawatan tertinggi dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang bermula 13 hingga 22 Mei ini. Pengerusinya,... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) sudah kenal pasti 28 lokasi 'panas' sempena pemilihan pemimpin peringkat cabang dan merebut jawatan tertinggi dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang bermula 13 hingga 22 Mei ini.

Pengerusinya, Dr Zaliha Mustafa berkata, Selangor menjadi negeri mempunyai paling banyak kawasan 'panas' kerana menyaksikan jawatan Ketua Cabang ditandingi oleh lebih tiga calon pada pemilihan PKR kali ini.

Beliau berkata, antara lokasi dijangka panas di Selangor pada pemilihan kali ini adalah Kuala Langat, Ampang, Gombak, Kampar, Pandan dan Kota Raja.

Berikutan itu, Dr Zaliha berkata, JPP sudah mengambil pelbagai inisiatif bagi mengelak sebarang insiden tidak diingini berlaku sepanjang tempoh pengundi secara fizikal mahu pun digital membabitkan lebih 300,000 ahli PKR di seluruh negara nanti.

"JPP juga mengambil kira faktor kekecohan berlaku pada pemilihan PKR sebelum ini dalam mengenal pasti kawasan panas dan memerlukan pemantau rapi tahun ini.

"Kita juga sudah mengambil pelbagai langkah seperti menambah bilang peranti mudah alih (tablet) dan memindahkan lokasi pemilihan ke tempat lebih besar dan selesa bagi mengelak berlaku kesesakan dan timbul kekecohan semasa proses pemilihan berlangsung," katanya ketika dihubungi wartawan Sinar Premium.

Untuk rekod pemilihan PKR kali ini dijangka panas dengan 17 calon merebut jawatan Naib Presiden dan pertembungan dua penjuru antara Setiausaha Agung, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan bekas Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli, manakala beratus-ratus calon menawarkan diri untuk merebut jawatan Ketua Cabang bagi penggal 2022 hingga 2025.

57 PEMIMPIN PKR SUDAH MENANG TANPA BERTANDING

Mengulas lanjut, Dr Zaliha berkata, JPP juga menasihatkan ahli PKR terutama yang mengundi secara fizikal supaya datang lebih awal dan mengikut waktu ditetapkan bagi mengelakkan kesesakan dan kekecohan sepanjang tempoh proses undian berlangsung.

Beliau berkata JPP juga sudah mengadakan pertemuan dengan wakil calon Ketua Cabang PKR di seluruh negara bagi membolehkan mereka membuat unjuran lebih tepat mengenai bilangan ahli yang mengundi dan tablet serta pengawas diperlukan, dalam pemilihan parti kali ini.

Katanya, JPP juga melantik pengawas bukan dalam kalangan ahli PKR bagi mengelak timbul isu bias kepada mana-mana calon bertanding bagi merebut jawatan di peringkat cabang mahu pusat.

"JPP juga meminta bantuan pihak berkuasa seperti Jabatan Relawan Malaysia (RELA) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) supaya menempatkan anggotanya bagi mengawal keselamatan dan mengelak timbul kekecohan sepanjang pemilihan PKR kali ini.

"Saya berharap dengan segala pendekatan dan langkah diambil JPP dapat mengelak berlakunya kekecohan dan pergaduhan dalam kalangan ahli PKR semasa pemilihan parti berlangsung nanti," katanya.

Dalam pada itu, Dr Zaliha berkata, beliau bersyukur kerana jumlah lokasi dijangka panas berikutan pemilihan kali ini berkurangan berbanding lebih 50 cabang pada 2018 susulan banyak jawatan ketua cabang sudah dimenangi tanpa bertanding.

"Malah, sehingga kini saya boleh mengesahkan terdapat 57 pemimpin PKR di seluruh negara sudah menang tanpa bertanding jawatan Ketua Cabang dalam pemilihan parti kali ini termasuklah di Tanjung Karang, Selangor dan Persiangan di Sabah," katanya.

Klik di sini untuk terus membaca