HUBUNGAN luar Malaysia tidak terhad secara bilateral antara negara tetapi turut melibatkan hubungan secara multilateral dengan organisasi antarabangsa seperti Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Persatuan Negara-negara Asia Tenggara... Klik di sini untuk terus membaca

HUBUNGAN luar Malaysia tidak terhad secara bilateral antara negara tetapi turut melibatkan hubungan secara multilateral dengan organisasi antarabangsa seperti Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN), Organisasi Kerjasama Islamik (OIC) dan Kesatuan Eropah (EU). Jika dibandingkan dengan organisasi yang lain ramai tidak mengetahui hubungan Malaysia dengan EU.

Sebenarnya hubungan Eropah dengan Semenanjung Tanah Melayu boleh dikesan semenjak abad ke-16 lagi dengan adanya hubungan perdagangan antara masyarakat tempatan dengan pihak Portugis, Belanda dan kemudian Inggeris.

Pada zaman moden, hubungan antara Kesatuan Eropah (EU) dengan rantau ini bermula dengan Perjanjian Suruhanjaya Eropah–ASEAN 1980. Perlu ditegaskan di sini bahawa EU merupakan antara organisasi rantau yang dianggap paling berjaya sejak pembentukan Komuniti Ekonomi Eropah (EEC) pada tahun 1957.

Antara pencapaian EU dalam usaha menggalakkan semangat keserantauan Eropah adalah wujudnya penggunaan Euro sebagai mata wang tunggal dalam kalangan negara anggota.

Selain itu, EU juga mempunyai Parlimen Eropah yang berperanan untuk menggubal undang-undang bersama. EU juga mempunyai Dasar Keselamatan dan Pertahanan Bersama (CSDP), Dasar Pertanian Bersama (CAP) dan Dasar Perikanan Bersama (CFP).

Buat masa kini EU mempunyai seramai 27 negara anggota antaranya Belgium, Perancis, Jerman, Sepanyol, Sweden, Itali, Portugis, Denmark, Poland, Belanda. Ibu pejabat EU terletak di Brussels, Belgium. Malaysia dan EU mempunyai persamaan di mana ia terdiri daripada berbilang bangsa dan agama.

SUMBER PELABURAN

Pejabat delegasi Suruhanjaya Eropah telah ditubuhkan di Malaysia pada 2003 dan sejak itu, interaksi dan kerjasama antara Malaysia dan EU telah berkembang secara progresif dan ini merangkumi penyertaan komuniti perniagaan Malaysia dan EU.

Malah, Malaysia ialah rakan perdagangan ke-20 terbesar EU di dunia dan rakan dagang ketiga terbesar dalam kalangan negara anggota ASEAN. Eropah menjadi antara sumber pelaburan baharu dan teknologi terkini untuk ekonomi Asia, dan Malaysia sebagai ekonomi yang berorientasikan perdagangan dan bergantung kepada hubungan dagang dengan EU. Pada 2020, EU mengimport €24.7 bilion (RM116 bilion) dari Malaysia dan mengeksport €10.5 bilion (RM49.35 bilion) ke Malaysia.

Selain daripada kerjasama ekonomi dan perdagangan Malaysia dan EU juga bekerjasama dengan Malaysia dalam bidang keselamatan di bawah Dasar Luar dan Keselamatan Bersama (CFSP) seperti keselamatan maritim, kawalan eksport, dan risiko Kimia, Biologi, Radiologi dan Nuklear (CBRN).

Selain itu, kerjasama antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan Polis Kesatuan Eropah (EUROPOL) dalam isu memerangi penyeludupan manusia dan latihan bersama kedua-dua agensi dalam menghadapi jenayah siber.

Di samping itu beberapa syarikat Eropah seperti Dynamit Nobel (Jerman), Oerlikon Machine Tools (Switzerland) merupakan pembekal senjata dan aset pertahanan kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan PDRM.

Malaysia dan EU juga bekerjasama dalam bidang pemeliharaan alam sekitar yang meliputi pelbagai bidang, daripada teknologi hijau kepada tenaga boleh diperbaharui dan pengurusan hutan lestari.

EU juga menyokong Unit Perancang Ekonomi Malaysia (EPU) dalam membangunkan rancangan nasional mengenai penggunaan dan pengeluaran mampan, yang merangkumi inisiatif untuk menggalakkan perolehan awam hijau, pelabelan eko serta meningkatkan standard dan membangunkan insentif untuk pengeluaran hijau.

Tidak dinafikan isu seperti kelapa sawit dan FTA kekal menjadi cabaran dalam hubungan Malaysia-EU. Namun ia tidak menjejaskan hubungan antara kedua-dua pihak malah prospek kerjasama jauhi melebihi cabaran khasnya dalam usaha pemulihan ekonomi pasca-pandemik Covid 19.

* Dr Roy Anthony Rogers ialah Profesor Madya di Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik Universiti Malaya

Klik di sini untuk terus membaca