SHAH ALAM - Kegagalan segelintir etnik Rohingya khususnya yang baru memasuki Malaysia untuk beradaptasi dengan budaya tempatan menjadi faktor rakyat negara ini sukar menerima kehadiran mereka.
Pengkaji Sosiologi dan Budaya Rohingya, Institut Asia-Eropah (AEI) Universiti Malaya, Dr Azlinariah Abdullah berkata, bagaimanapun tidak semua etnik tersebut gagal berbuat demikian kerana hasil kajian dijalankannya menunjukkan ramai yang telah berjaya berasimilasi dengan budaya tempatan.
Beliau berkata, menerusi tesisnya yang bertajuk "Rohingya Myanmar: Cabaran Dihadapi Komuniti Pelarian di Malaysia” mendapati ada sebahagian kumpulan etnik yang telah 30 tahun datang ke Malaysia itu menunjukkan keinginan untuk mendalami budaya negara ini.
Namun beliau tidak menafikan ada segelintir daripada mereka yang terlibat dengan masalah termasuk jenayah sehingga mencetuskan kemarahan rakyat negara ini.
"Isu Rohingya ini tenggelam timbul sebenarnya. Apabila tenggelam kita tidak ingat sangat (kesalahan yang dilakukan), tetapi apabila timbul (masalah) tiba-tiba semua isu tentang Rohingya dibangkitkan.
"Kalau dilihat 30 tahun lalu mereka (kumpulan pertama etnik Rohingya yang datang ke Malaysia) sudah cuba untuk beradaptasi dengan budaya kita sehingga ada yang berkahwin dengan rakyat kita, malah ada yang dapat taraf penduduk tetap.
"Kajian juga menunjukkan mereka sebenarnya cuba berbahasa dan berasimilasi dengan budaya Melayu. Ini dapat dilihat apabila mereka berjaya membuka perniagaan di negara ini.
"Bagaimanapun, dalam masa sama kita tidak nafikan ada sebahagian mereka yang gagal beradaptasi dengan budaya tempatan, bahkan turut terlibat dengan jenayah sehingga mencetuskan kemarahan masyarakat,” katanya ketika kepada Sinar Ahad.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas faktor yang menyebabkan etnik Rohingya yang juga pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) itu tidak diterima masyarakat di negara ini berbanding warga asing yang lain.
Tambahnya, status etnik Rohingya yang berbeza dengan warga asing lain seperti Bangladesh yang lebih diterima di negara ini disebabkan mereka adalah pelarian, bukannya warga asing yang masuk ke Malaysia untuk bekerja.
Peguam Norman Fernandez sebelum ini berkata, kerajaan harus tegas dalam menyelesaikan isu pemberian kad UNHCR kepada etnik Rohingya dengan menarik balik pengiktirafan semua kad yang telah dikeluarkan.
Katanya, kerajaan perlu menjadi satu-satunya pihak yang bertanggungjawab mengeluarkan apa-apa kad pelarian atau dokumen dan bukannya agensi atau persatuan lain.
Klik di sini untuk terus membaca