KEHADIRAN nelayan Rohingya di Teluk Kumbar, Bayan Lepas bukan perkara baharu bagi penduduk dan nelayan tempatan.
Bermula dengan hanya 20 buah sampan beberapa tahun lalu, kini ia bertambah menjadi antara 60 hingga 70 buah, menyebabkan nelayan tempatan tertekan dengan kehadiran nelayan pendatang asing tanpa izin (PATI) tersebut.
Ketua Unit Nelayan Teluk Kumbar, Roslizan Ramli, 41, berkata jumlah nelayan Rohingya ini pada mulanya tidak seramai sekarang namun bertambah sejak dua tahun lalu.
Tambahnya, daripada hanya beberapa buah keluarga kira-kira 10 tahun lalu, etnik Rohingya di perkampungan nelayan dan Flat Sahabat di Teluk Kumbar kini bertambah hampir 300 buah keluarga.
"Mereka ini datang dari Langkawi, Kedah. Dulu tak ramai sangat, sekarang semakin ramai. Kebanyakan mereka ini bekerja sendiri dan menjadi nelayan.
"Ini yang menjadi masalah buat nelayan tempatan kerana kami perlu bersaing dengan ‘nelayan asing’.
"Kebanyakan peraih tidak peduli dengan siapa mereka berurusan, asalkan mereka dapat hasil. Mereka tidak peduli nelayan tempatan atau asing, malah mereka sanggup melabur puluhan ribu ringgit untuk dapat hasil laut,” katanya ketika dihubungi Sinar Ahad.
Ujar Roslizan, lebih mengecewakan, nelayan Rohingya ini tidak mempunyai lesen dan permit perikanan yang sah.
"Mereka tidak ada lesen tetapi bebas menangkap ikan di perairan negeri ini. Bila lapor, kena tahan dan diambil tindakan, mereka akan lari balik ke Langkawi.
"Lepas itu, datang semula ke sini. Kita (nelayan tempatan) susah-susah mendaftar dan mematuhi semua syarat ditetapkan kerajaan untuk turun ke laut, mereka senang-senang buat kerja tidak ada permit.
"Kami rasa tidak adillah. Tidak ada masalah nak kongsi hasil laut tetapi sekurang-kurangnya ikutlah peraturan dan undang-undang sedia ada.
"Kebanyakan mereka ini menggunakan enjin berkuasa tinggi, maka mereka boleh ke laut lebih dalam dan mendapat hasil lebih banyak.
"Kadang-kadang enjin sampan mereka ini merosakkan pukat nelayan pantai dan menyebabkan nelayan pantai mengalami kerugian,” katanya.
Sementara itu, penduduk Teluk Kumbar yang dikenali sebagai Aqilah berkata, kebanjiran etnik Rohingya yang menyewa di sekitar kampung dan Flat Taman Sahabat menyebabkan ketidakselesaan kepada penduduk setempat.
Menurutnya, etnik itu langsung tidak menjaga kebersihan kawasan rumah mereka."Kami penduduk di sini sangat tertekan dengan mereka ini. Mereka boleh menyewa sebuah rumah flat dua bilik dan tinggal lebih 20 orang. Bayangkan bagaimana kebersihan di dalam rumah tersebut.
"Bukan sahaja di dalam rumah, di kawasan luar rumah juga mereka tak jaga. Berbau, dengan barangan bersepah menyebabkan kami yang tinggal di sini sangat tidak selesa,” ceritanya.
Dalam pada itu, penduduk Taman Terubuk, Seberang Perai yang dikenali sebagai Mohamad berkata, isu kebersihan melibatkan etnik tersebut merupakan masalah utama penduduk di situ.
"Mereka ada yang tinggal di rumah teres dan ada di flat. Isu kebersihan adalah masalah utama. Mereka tinggal lebih 20 orang dalam satu rumah flat, kebersihan langsung tidak dijaga.
"Sampah dibiarkan tidak dibuang, ludah penuh di tangga flat. Ini menyebabkan bau yang kurang menyenangkan dan mengganggu penduduk tempatan.
"Kami penduduk di sini memang tidak mahu mereka ini tinggal di sini tetapi ada pemilik rumah yang masih mahu menyewakan rumah kepada mereka,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca