MALAYSIA dan Singapura adalah antara dua negara di dunia yang masih mengenakan hukuman mati terhadap pesalah yang mengedar dan memiliki dadah mengikut jumlah diperuntukkan dalam akta dadah.
Mengikut undang-undang dalam negara kita, di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, sesiapa yang memiliki 15 gram (g) atau lebih heroin/morfin; miliki 1,000g atau lebih candu atau miliki 200g atau lebih ganja akan dikenakan hukuman mati mandatori.
Setakat Februari 2019, seramai 1,281 banduan akhir dilaporkan sedang menunggu hukuman mati di negara ini, dengan 73 peratus telah disabitkan kesalahan mengedar dadah bawah Seksyen 39B.
Baru-baru ini, hukuman mati yang dikenakan oleh rakyat Malaysia, Nagaentran Dharmalingam setelah didapati bersalah menyeludup dadah ke Singapura pada 2009, hangat diperkatakan apabila Mahkamah Rayuan Singapura menolak rayuan terakhir yang difailkan ibu tertuduh untuk mencabar keputusan bagi mengetepikan sabitan dan hukuman mati terhadap anaknya.
Ketegasan kerajaan Malaysia dan Singapura untuk membanteras penyalahgunaan dadah seharusnya dipuji. Dengan hanya memiliki lebih daripada 200g ganja, hukuman yang menanti ialah ke tali gantung.
"Bagaimanapun, timbul pula persoalan kenapa jemaah kabinet masih menggalakkan rakyat Malaysia menanam daun ketum dan hemp seperti yang dinyatakan oleh Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin tidak berapa lama dulu,” ulas Sin Chew Daily melalui ruangan Lidah Pengarangnya.
Beliau dipetik sebagai berkata, kebenaran menanam ketum untuk tujuan komersial dapat membantu masyarakat di luar bandar khususnya untuk meningkatkan taraf hidup memandangkan proses tanaman tersebut lebih mudah.
PERMINTAAN
Menurutnya, ketum hanya memerlukan angin, matahari serta tanah dan tidak memerlukan baja namun mempunyai permintaan yang cukup tinggi di luar negara serta mampu membawa hasil lumayan kepada penanam ketum.
Bagi hemp pula, jelas beliau, negara kita perlu menanamnya kerana antara sebab minyak sawit diboikot adalah kerana pihak luar menuduh negara kita menebang pokok dan menyebabkan perubahan iklim yang mana karbon dioksida tidak seimbang.
"Perbincangan mengenai kebenaran penanaman ketum dan hemp bagi tujuan perubatan telah mendapat ‘lampu hijau’ daripada kerajaan.
"Kabinet tidak mempunyai halangan dan sudah memberikan kebenaran untuk satu perbincangan dilakukan pihaknya yang mewakili Parlimen Padang Besar dengan Menteri Kesihatan, berhubung kelulusan tanaman berkenaan yang hanya diperuntukkan untuk tujuan perubatan,” kata Zahidi yang juga Ahli Parlimen Padang Besar lagi.
Memang tidak dinafikan, industri penanaman ketum dan hemp dikatakan kini semakin giat dibangunkan di negara luar dan sehingga kini, sebanyak 40 negara membenarkan penggunaan hemp untuk perubatan.
Malah, nilai pasaran industri berkenaan mampu mencecah RM60 bilion selain negara jiran, Thailand juga sedang mengkaji industri ini untuk pembangunan negara mereka.
"Penggunaan daun ketum tetap mempunyai kelebihan untuk tujuan perubatan. Namun kerajaan perlu merangka langkah-langkah berkesan untuk memantau penanamannya agar ia tidak disalahgunakan,” tulis akhbar Cina itu.
Sin Chew Daily mencadangkan sebelum membenarkan penanaman pokok ketum secara sah, kerajaan mesti melaksanakan penguatkuasaan yang teliti bagi menjamin ia tidak membawa sebarang kemudaratan.
"Janganlah kerana perancangan awal untuk tujuan perubatan, namun akhirnya memberikan peluang kepada sindiket tertentu untuk mengedar dan menjual daun ketum ini untuk mengaut keuntungan,” jelasnya.
* Ong Boon Teck ialah Timbalan Pengarang Berita Sinar Harian
Klik di sini untuk terus membaca