HAL berkaitan kejatuhan kadar tukaran mata wang ringgit Malaysia berbanding mata wang rakan dagang utama terus menjadi bahan perbahasan, khususnya melalui media sosial. Kemerosotan kadar tukaran ringgit sudah berlarutan lebih 10 tahun.... Klik di sini untuk terus membaca

HAL berkaitan kejatuhan kadar tukaran mata wang ringgit Malaysia berbanding mata wang rakan dagang utama terus menjadi bahan perbahasan, khususnya melalui media sosial.

Kemerosotan kadar tukaran ringgit sudah berlarutan lebih 10 tahun. Kejatuhan terbaru ini, sebahagian besarnya, berpunca daripada tindakan bank pusat Amerika Syarikat, Federal Reserve, menaikkan kadar faedah jangka pendek sebanyak 0.50 peratus pada 5 Mei lalu. Ia adalah sebahagian daripada usaha meredakan tekanan inflasi di negara itu.

Seperti yang telah saya tulis beberapa kali dalam ruangan ini, turun dan naik kadar tukaran mata wang akan memberikan kesan langsung kepada kadar inflasi yang diimport kerana kita bergantung besar kepada bahan-bahan makanan dari luar.

Tabung Mata Wang Antarabangsa (IMF) baru saja mengeluarkan amaran mengatakan kadar inflasi ekonomi baru muncul (emerging economies) seperti Malaysia mungkin mengalami lonjakan sehingga lapan peratus tahun ini akibat perang Ukraine dan gangguan rantaian pembekalan.

Atas sebab-sebab dan kemungkinan seperti inilah saya tidak putus-putus mengkritik dan mengingatkan kerajaan dahulu dan sekarang kerana tidak bersungguh-sungguh memajukan sektor pertanian selaras dengan dasar jaminan bekalan makanan negara.

Kita sepatutnya menjadikan Menteri Pertanian sebagai jawatan kanan dengan penyandang yang berkaliber. Sistem pertanian kita pula patut lebih fleksibel dengan mengambil kita permintaan tempatan dan bekalan antarabangsa.

Tidak guna kita bersusah payah menanam padi dengan pengeluaran yang rendah tetapi membelanjakan berbilion ringgit untuk subsidi.

Sebagai pengeluar beras, kita tidak berdaya saing. Lagi pun beras adalah satu-satunya bijirin yang mengalami kejatuhan harga kerana bekalan yang berlebihan.

Kita sepatutnya mengalihkan kebahagiaan kawasan padi kepada tanaman-tanaman yang lebih bernilai dan produktif seperti jagung, sayur-sayuran, buah-buahan jangka pendek dan makanan haiwan.

RINGGIT MAKIN MERUNCING

Berbalik kepada kemelut kemerosotan kadar tukaran ringgit yang semakin meruncing, antara sebabnya adalah penambahan bekalan mata wang dalam edaran. Maksudnya duit dalam edaran banyak tapi penggunaannya kurang.

Selain berbelanja, kegunaan lain mata wang adalah untuk penyimpanan dan pelaburan bagi menghasilkan pendapatan.

Disebabkan oleh langkah kerajaan, melalui Bank Negara, mengurangkan kadar faedah simpanan daripada tiga peratus sebelum pandemik Covid-19 kepada 1.75 peratus sekarang, banyak orang tidak melabur atau menabung kerana pulangan yang rendah.

Dalam bahasa yang mudah, ada banyak wang tunai dalam edaran tetapi permintaan ke atasnya tidak cukup tinggi. Apabila mata wang dalam edaran banyak tetapi permintaan atau penggunaan kurang, nilainya, secara automatik, jatuh.

Serentak itu, Bank Negara juga mengurangkan jumlah rizab yang perlu disimpan oleh bank dan institusi kewangan. Ini menambahkan lagi jumlah mata wang dalam edaran atau disebut juga kecairan.

Pada tahun 1990-an, ketika berlaku Krisis Mata Wang Asia, kerajaan mengambil langkah yang berlainan daripada yang dilakukan sekarang.

Misalnya, walaupun nilai ringgit jatuh teruk, khususnya berbanding dolar Amerika, kerajaan memastikan harga keperluan utama tidak menabung naik. Tindakan tegas dikenakan ke atas peniaga yang menaikkan harga atau membuat keuntungan berlebihan.

Kejatuhan kadar tukaran ringgit ini bukan perkara baru. Seperti telah saya sebutkan sebelum ini, kadar tukaran ringgit mula merosot secara berterusan sejak zaman pemerintahan Datuk Seri Najib Tun Razak lagi. Maksudnya sudah lebih daripada satu dekad.

Kesimpulannya, bagi mereka yang telah melalui krisis ekonomi dan kewangan sebelum ini dan melihat ketegasan kerajaan menanganinya, tentu berasa cemas dan kurang yakin dengan respons oleh kerajaan yang ada pada hari ini.

Kita memerlukan petunjuk yang jelas dan tegas berkenaan hala tuju ekonomi kita dalam fasa pemulihan dan normalisasi pasca-Covid-19 ini. Bukan diam membisu atau berdolak-dalik.

Wallahuaklam.

* Datuk A Kadir Jasin ialah Tokoh Wartawan Negara

Klik di sini untuk terus membaca