SAMBUTAN Hari Raya Aidilfitri tahun ini memang mengembalikan nostalgia tahun-tahun 80-an. Pada tahun-tahun tersebut dan sebelumnya, 29 Ramadan adalah tarikh yang mendebarkan. Jam lapan malam kita sudah terpacak di depan televisyen atau... Klik di sini untuk terus membaca

SAMBUTAN Hari Raya Aidilfitri tahun ini memang mengembalikan nostalgia tahun-tahun 80-an. Pada tahun-tahun tersebut dan sebelumnya, 29 Ramadan adalah tarikh yang mendebarkan. Jam lapan malam kita sudah terpacak di depan televisyen atau radio bagi mengetahui tarikh permulaan Syawal, sekali gus menyambut raya.

Jika diumumkan anak bulan kelihatan, maka ramailah yang kelam kabut menyediakan ketupat, lemang dan rendang. Rebus ketupat palas dan membakar lemang kadangkala hingga pagi terus sambung subuh dan solat Aidilfitri.

Pada 1992, negara membuat keputusan penentuan tarikh awal bulan Hijrah, termasuk Ramadan dan Syawal, adalah berdasarkan hisab dan rukyah.

Hisab adalah kiraan yang dibuat oleh ahli falak (astronomi) berdasarkan data-data saintifik bagi menentukan sama ada anak bulan (hilal) akan kelihatan atau tidak pada masa cerapan (rukyah) dibuat.

Sekiranya hilal tidak kelihatan dalam cerapan yang dibuat, namun data-data falak menyatakan ia sepatutnya nampak, maka tarikh awal bulan Islam tetap akan bermula keesokannya. Ini kerana terdapat pelbagai perkara boleh menghalang penampakan hilal seperti hujan dan awan tebal.

Bagaimanapun, sekiranya ahli falak menyatakan hilal tidak kelihatan, namun hasil rukyah telah mengesan kewujudan hilal, maka rukyah ini harus mengatasi dapatan falak.

Inilah yang berlaku pada tahun ini. Hilal telah kelihatan di Labuan dan juga beberapa tempat lain bagi negara jiran seperti Brunei, Indonesia, Thailand dan Filipina bertentangan dengan ahli falak.

Sejak berdekad, pengumuman Penyimpan Mohor Besar Raja-raja sekadar formaliti pada tarikh yang bocor awal hasil dapatan ahli falak. Namun kepakaran manusia tidak akan melebihi kuasa ALLAH.

Namun yang mendukacitakan ialah terdapat kritikan dan kemarahan segelintir umat Islam kerana kejutan ini. Mereka marah kerana terpaksa terburu-buru menyediakan juadah hari raya dan mengubah rancangan awal berdasarkan tanggapan ahli falak sebelumnya.

Ada seorang bekas menteri mempersoalkan kebijaksanaan golongan ulama mengisytiharkan raya lebih awal berbanding dapatan ahli falak hingga menyebabkan kerugian besar kepada ekonomi negara. Ramai juga yang menyokongnya dan mengeluarkan pelbagai kata-kata kesat kepada pihak berkuasa agama.

BUKAN PESTA BERMEWAH

Kita telah jauh terpesong daripada amalan sebenar puasa dan raya.

Puasa Ramadan sepatutnya tanda aras yang mengikat hawa nafsu penganut agama Islam agar duduk sebaris dengan manusia yang tidak bernasib baik, kekurangan makanan dan sumber. Ramadan seharusnya menguji kesabaran dan ketahanan nafsu umat Islam.

Namun kini Ramadan dan Syawal sudah menjadi pesta bermewah-mewah meninggalkan aspirasi sebenar ibadah ini.

Lihat sahaja jumlah bayaran sekepala bufet berbuka puasa di hotel-hotel dan kedai makan. Adakah ia cerminan intipati ibadah puasa yang dibawa Rasulullah SAW? Aidilfitri yang sepatutnya disambut sebagai satu hari kemenangan umat Islam melawan hawa nafsu dengan kegembiraan yang berpada-pada, telah menjadi medan meningkatkan lagi hawa nafsu makan dan berbelanja.

Justeru, tidak hairanlah apabila dikejutkan dengan Syawal lebih awal, sebahagian kita menjadi marah-marah dan mengeluarkan pelbagai fitnah yang tidak mencerminkan nilai-nilai Islam.

Marah-marah bukan kerana kecewa Ramadan telah berakhir dan mengurangkan peluang beribadah, namun ‘naik hantu’ kerana mereka belum bersiap sedia untuk beraya sakan.

Takdir ALLAH menampakkan hilal yang bertentangan dengan dapatan ahli falak seharusnya menjadi satu pengajaran kepada kita bahawa puasa dan raya adalah satu ibadah, bukan alat komersial.

Dalam hal agama, kita tidak seharusnya meletakkan kepentingan komersial melebihi kepentingan ibadah.

Jika ditakdirkan raya awal sepatutnya kita sambut dengan kegembiraan kerana Ramadan adalah bulan penuh cabaran dan dugaan.

* Ab Jalil Backer ialah Presiden Angkatan Karyawan Nasional (Akar)

Klik di sini untuk terus membaca