SEJARAH telah membuktikan fitnah membawa suatu peradaban yang ulung tersungkur ke bumi. Malangnya pada masa kini fitnah sudah seolah-olah norma kehidupan masyarakat. Ia tidak lagi asing dalam masyarakat. Amat menyedihkan budaya fitnah ini... Klik di sini untuk terus membaca

SEJARAH telah membuktikan fitnah membawa suatu peradaban yang ulung tersungkur ke bumi. Malangnya pada masa kini fitnah sudah seolah-olah norma kehidupan masyarakat. Ia tidak lagi asing dalam masyarakat.

Amat menyedihkan budaya fitnah ini mendapat tempat yang utama dan dibincangkan oleh masyarakat arus perdana ketika ini. Masyarakat sudah tidak lagi segan silu memfitnah antara satu sama lain.

Mengikut undang-undang, mangsa fitnah berhak mendapat pembelaan dalam dua keadaan iaitu mendapat ganti rugi atau pampasan terhadap perbuatan menjatuhkan nama baik mangsa atau mengadu kepada pihak berkuasa agar prosiding jenayah diambil terhadap orang yang memfitnah.

Kes fitnah dimulakan apabila seseorang mangsa menyaman seorang yang lain di bawah Akta Fitnah 1957 bagi mendapat perintah halangan ataupun ganti rugi. Dalam kes jenayah pula apabila pendakwa mendakwa seseorang kerana melakukan jenayah fitnah sebagaimana diperuntukkan dalam seksyen 499 hingga 502 Kanun Keseksaan.

Dalam perundangan Islam fitnah berlaku sejak zaman Rasulullah lagi. Amat besar bahaya fitnah terhadap kelangsungan dakwah Rasulullah sehingga ALLAH telah membersihkan nama ‘Aisyah dengan menurunkan beberapa ayat di dalam surah An Nur menjelaskan kesucian Aisyah.

Pada akhir tahun 34 Hijrah pula, pemerintahan Islam dilanda fitnah. Sasaran fitnah tersebut adalah terhadap Saidina Uthman hingga mengakibatkan beliau terbunuh pada tahun berikutnya.

Ali bermati-matian membela Uthman dan menyangkal tuduhan fitnah terhadap Uthman. Antara fitnah yang dikeluarkan terhadap Uthman ialah Uthman membakar mushaf-mushaf, sembahyang tidak diqasar sewaktu di Makkah, mengkhususkan sumber air untuk kepentingan dirinya sendiri serta melantik pegawai dari kalangan generasi muda.

Uthman juga didakwa mengutamakan segala kemudahan untuk Bani Umayyah melebihi orang lain.” Namun Saidina Ali mempertahankan Uthman dengan berkata "Mushaf-mushaf yang dibakar ialah yang mengandungi perselisihan dan yang ada sekarang ini adalah yang disepakati bersama kesahihannya.

MEMERANGI FITNAH

Sembahyang tidak diqasar sewaktu di Makkah, adalah kerana dia berkeluarga di Makkah dan berniat untuk tinggal di sana. Oleh kerana itu solatnya tidak diqasar.

Manakala sumber air yang dikhususkan itu adalah untuk ternakan sedekah sehingga mereka besar, bukan untuk ternakan unta miliknya sendiri.

​​​​Sementara beliau melantik pegawai dari generasi muda pula dilakukan kerana mereka mempunyai kemampuan dalam bidang-bidang tertentu. Rasulullah SAW juga pernah melakukan hal yang demikian.

Beliau mengutamakan kaumnya, Bani Umayyah, kerana Rasulullah sendiri mendahulukan kaum Quraish daripada bani lainnya.

Demi ALLAH seandainya kunci syurga ada di tanganku, aku akan masukkan Bani Umayyah ke syurga.” Saidina Ali mempertahankan Uthman walaupun beliau adalah Khalifah selepas Uthman. Saidina Ali tidak cuba menjatuhkan Uthman yang menjadi Khalifah dengan menabur fitnah. Bukan matlamat untuk merampas kuasa menjustifikasikan untuk membuat fitnah.

Berbalik kepada kisah Aisyah yang difitnah termasuk oleh Hassan bin Thabit yang sangat berpengaruh tetapi terjebak dalam mempercayai fitnah terhadap Aisyah.

Anak saudara Aisyah iaitu Urwah bin Zubair al Awwam yang sudah tidak tahan dengan fitnah tersebut telah mengadu kepada Aisyah.

Namun Aisyah menjawab "Anak saudaraku, biarkanlah dia. Dia pernah membela Rasulullah dengan syairnya.” Begitulah cara ‘Aisyah melihat pada Hassan. Keseluruhan hidupnya adalah mulia, tetapi satu ketika dia melakukan kesilapan, namun itu bukan alasan untuk merendahkannya. ‘Aisyah telah membela Hassan ketika dia dicemuh oleh anak saudaranya.

Jelaslah dalam Islam terdapat metodologi memerangi fitnah sehinggakan orang yang difitnah juga membela orang yang memfitnah itu atas kesedaran dan keinsafan di dalam beragama. Berbeza dengan apa yang berlaku sekarang fitnah dilawan dengan fitnah yang lain yang akhirnya akan menjadikan masyarakat awam yang terkeliru.

* Datuk Zainul Rijal Abu Bakar ialah Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM)

Klik di sini untuk terus membaca