SHAH ALAM - UMNO yakin Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bijak dan akan mengambil kira pelbagai aspek sebelum menetapkan tarikh sesuai untuk membubarkan Parlimen sekali gus membuka ruang kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan pada masa depan.
Justeru, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menasihatkan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang supaya tidak bertindak 'lebih sudu dari kuah' dengan mendesak supaya kerajaan pimpinan Ismail Sabri menunggu sehingga tempoh penggal pemerintahan berakhir sebelum mengadakan PRU15.
Mohamed Khaled yang juga bekas Menteri Besar Johor berkata, kuasa menasihati Yang di-Pertuan Agong supaya membubarkan Parlimen bagi memberi laluan kepada PRU15 adalah hak Perdana Menteri.
"Perdana Menterilah yang akan membuat keputusan mengenai bilakah tarikh sesuai untuk membubarkan Parlimen, jadi kita semua perlu menerima hakikatnya kerana ia termaktub Perlembagaan Persekutuan Malaysia.
"Jadi sekarang terpulanglah kepada Perdana Menteri untuk membuat keputusan sama ada mahu membubarkan Parlimen sekarang atau menunggu sehingga tempoh penggal berakhir," katanya kepada Sinar Premium.
Mohamed Khaled berkata demikian mengulas kenyataan Abdul Hadi bahawa Pas mahu PRU15 diadakan sehingga tempoh penggal pemerintahan berakhir.
Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang juga berkata, Pas bersetuju proses demokrasi pilihan raya ditangguhkan sehingga tiba masanya bagi memberi peluang kepada kerajaan sedia ada menunaikan tugas dan tanggungjawabnya dalam tempoh baki penggal.
"Kita sudah buat kenyataan tiga negeri habiskan penggal kerana rakyat masih dalam keadaan letih dengan politik dan wabak (Covid-19) yang belum selesai.
"Jadi lebih baik kita beri peluang kepada kerajaan yang ada laksanakan tugas dalam tempoh secukupnya. Oleh itu kita setuju PRU ditangguhkan," katanya menurut laporan Sinar Harian.
Berikutan itu, Mohamed Khaled berkata, UMNO berharap Perdana Menteri akan mengambil kira pelbagai aspek termasuk keadaan ekonomi semasa negara, sebelum Ismail Sabri membuat keputusan untuk menentukan tarikh sesuai diadakan PRU15 nanti.
"Kalau UMNO sendiri tidak campur tangan dalam urusan dan kuasa Perdana Menteri untuk menentukan tarikh sesuai diadakan PRU15, kenapa tiba-tiba sahaja Presiden Pas nak menyibuk pula?
"Terpulanglah kepada Perdana Menteri untuk membuat keputusan... tunggu sajalah. Saya pasti Perdana Menteri mempunyai perkiraannya tersendiri dengan mengambil kira keadaan negara, ekonomi kukuh atau tidak dan banyak lagi," katanya.
Dalam pada itu, Mohamed Khaled berkata, UMNO juga berharap beberapa Rang Undang-Undang (RUU) penting terutama berkaitan anti lompat parti dapat dibentangkan, dibahas dan diluluskan di Dewan Rakyat, sebelum Perdana Menteri mengumumkan pembubaran Parlimen dilakukan kelak.
Klik di sini untuk terus membaca