SHAH ALAM - Beberapa ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO masih berpendirian terbuka berhubung kerjasama parti itu dan Pas dalam Muafakat Nasional (MN) meskipun Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Sabtu meminta parti itu melupakan MN pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Ahli MKT UMNO yang juga Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, pelbagai kemungkinan boleh berlaku menjelang PRU15.
"Dalam politik, ia sangat dinamik. Macam-macam perkara boleh berlaku. Hari ini bergaduh, esok boleh baik. Sama juga mana-mana parti politik bila kita nak hadapi PRU ini.
"Tidak ada satu keputusan yang kekal. Ia akan melalui proses demi proses, sampai masanya parti akan membuat keputusan,” katanya ketika dihubung Sinar Harian pada Ahad.
Jalaluddin berkata, sehingga hari ini, UMNO masih belum membuat ketetapan khusus berhubung kerjasama MN bagi menghadapi PRU15.
Tambah beliau, apa yang lebih penting dalam isu tersebut adalah persefahaman dan keikhlasan kedua-dua parti dalam melaksanakan kerjasama tersebut.
Mengulas lanjut, Jalaluddin berkata, semua pimpinan UMNO berhak membuat kenyataan berhubung isu tersebut, namun keputusan mengenai perkara berkenaan akhirnya akan dibuat secara bersama menerus mesyuarat kepimpinan tertinggi parti."Semua pemimpin UMNO mempunyai pandangan, ada yang berbeza tapi mempunyai matlamat yang sama.
"Ini semua kita akan garap dan rangkumkan untuk capai satu keputusan terbaik. Ini amalan dalam kepimpinan tertinggi UMNO,” ujar beliau.
Pada masa sama, beliau turut berharap satu keputusan tepat dapat dicapai oleh parti berasaskan kaum Melayu untuk menghadapi PRU15, seterusnya menubuhkan sebuah kerajaan pusat yang dominan.
"Untuk menghadapi PRU15, yang penting bagi kita adalah menubuhkan kerajaan yang kuat. Apabila kita tidak dapat membentuk sebuah kerajaan yang dominan, maka masalah yang kita hadapi sekarang akan timbul semula,” ujarnya.
Sementara itu, seorang lagi ahli MKT UMNO, Datuk Khaidhirah Abu Zahar atau Dira berpandangan sebarang keputusan mengenai kerjasama dengan mana-mana gabungan atau parti politik perlu dibincangkan dalam mesyuarat MKT.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Rim, Melaka berkata, ini kerana terdapat pandangan yang berbeza berhubung isu tersebut khususnya di peringkat negeri.
Klik di sini untuk terus membaca