ALOR SETAR - Komuniti Rohingya perlu dididik mengenai perundangan negara ini selain budaya masyarakat Malaysia selagi mereka berlindung secara sah di negara ini. Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul... Klik di sini untuk terus membaca

ALOR SETAR - Komuniti Rohingya perlu dididik mengenai perundangan negara ini selain budaya masyarakat Malaysia selagi mereka berlindung secara sah di negara ini.

Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, ia perlu bagi memberi kefahaman budaya dan sosioekonomi penduduk setempat agar komuniti itu dapat menyesuaikan diri dan tidak bertindak sewenangnya.

Menurutnya, tidak dinafikan komuniti itu semakin bertambah dalam negara ini sama ada mendirikan penempatan Rohingya secara haram mahupun yang ditempatkan di depot tahanan sementara yang semakin sesak.

"Dari sudut perundangan, mereka harus difahamkan tentang apa yang sedang berlaku, bentuk kesalahan yang menyalahi undang-undang negara ini. Contohnya, untuk menjadi nelayan perlu miliki lesen dan sebagainya.

"Kita terpaksa hadapi keadaan di mana mereka tiada pilihan untuk mencari nafkah hidup. Sebab itu tanpa mengambil kira adanya peraturan dalam negara ini, mereka melakukan kesalahan seperti menyewa bot dan menjadi nelayan sehingga jejaskan nelayan tempatan,” katanya.

Mohd Azmi berkata, sehubungan itu, pihak berkuasa perlu mengambil inisiatif mendidik komuniti berkenaan dengan mengadakan pertemuan dengan semua pihak berkaitan.

"Antaranya mengadakan interaksi dengan komuniti Rohingya tentang wujudnya masalah berkaitan dan mereka mesti difahamkan tentang keresahan penduduk tempatan.

"Masalah ini semakin serius dan kita tidak boleh abaikan aduan penduduk mahupun nelayan tempatan mengenai masalah yang ditimbulkan oleh etnik itu,” katanya.

Menurutnya lagi, ketua-ketua komuniti Rohingya perlu diperjelaskan mengenai situasi tersebut dan ia perlukan kerjasama banyak pihak.

"Isu ini perlu diatasi segera, terutama tindakan jangka panjang. Mereka mungkin terpaksa dipindahkan selepas ini namun pada masa sama, mereka juga perlu diberi peluang untuk mencari nafkah hidup selari dengan peraturan negara supaya tidak timbul masalah lain,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca