SHAH ALAM - Langkah UMNO untuk tidak meneruskan kerjasama politik bersama Pas menerusi Muafakat Nasional (MN) disifatkan relevan susulan sikap pemimpin parti itu, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang masih mahu bersama Parti Pribumi Bersatu... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Langkah UMNO untuk tidak meneruskan kerjasama politik bersama Pas menerusi Muafakat Nasional (MN) disifatkan relevan susulan sikap pemimpin parti itu, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang masih mahu bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam Perikatan Nasional (PN).

Penganalisis Politik, Dr Jeniri Amir berkata, Pas seolah-olah tidak ikhlas dengan kerjasama dalam MN ekoran kerjasama Pas dengan Bersatu dikatakan melanggar persetujuan MN yang telah dimeterai.

"Selagi Pas menjalin kerjasama dengan Bersatu, UMNO akan mengambil keputusan untuk tidak meneruskan MN. Pas lebih mesra dan berpihak kepada Bersatu, dan ini menimbulkan banyak persoalan.

"UMNO sudah membuat satu keputusan yang jelas kerana ragu dengan keikhlasan Pas. Saya fikir UMNO tidak mungkin akan menjalin semula (kerjasama politik) apatah lagi telah diputuskan dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) lalu untuk bertanding secara sendiri,” katanya kepada Sinar Harian.

Sabtu lalu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan pendirian parti itu yang tidak akan bekerjasama dengan Pas dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ekoran tidak mendapat kesepakatan daripada Pas mengenai perkara yang terkandung dalam piagam MN.

Mengulas lanjut Jeniri berkata, UMNO dan BN mempunyai peluang yang cerah untuk menang pada PRU15 akan datang sekiranya terus dengan pendirian bergerak secara solo memandangkan keputusan beberapa siri pilihan raya negeri sebelum ini memihak kepada parti itu.

Gambar dari kiri: Dr Jeniri, Dr Mohammad Tawfik

"PRU15 nanti akan ada pertembungan, mungkin menguntungkan UMNO dan BN apabila berlaku pertembungan pelbagai penjuru. Kalau parti yang menentang mereka berbalah dan tidak dapat kesepakatan dari segi agihan kerusi, maka ini akan memecahkan undi.

"Apabila undi pecah, ia menguntungkan parti dominan dan kemenangan UMNO dan BN sudah boleh diramal,” katanya.Penganalisis Politik, Dr Mohammad Tawfik Yaakub pula berpandangan pendirian tegas UMNO mengenai MN memberi isyarat jelas bahawa kedua-dua parti itu sudah tidak sehaluan.

Mohammad Tawfik berkata, perkara itu perlu diberi penjelasan segera oleh pemimpin UMNO dan Pas agar ahli akar umbi tidak terus terkeliru dengan status MN.

"PRU15 nanti akan wujud pertandingan tiga penjuru melibatkan tiga gabungan parti politik iaitu BN, PN dan Pakatan Harapan (PH)."PH dan PN perlu melihat semula sejauh mana persaingan politik mereka, apakah strategi politik untuk PRU15, adakah mampu untuk menandingi BN?

"Ini perlu difikirkan dan dibincangkan dengan kadar segera kerana pilihan raya umum akan berlangsung pada bila-bila masa. Mood rakyat yang bersama BN sudah pasti akan memberi impak positif kepada kejayaan parti itu nanti,” ujar beliau.

Klik di sini untuk terus membaca