MALAYSIA selamat menyambut 1 Syawal pada 2 Mei lalu. Ramai yang tidak jangka kerana berpuluh tahun rakyat Malaysia terbiasa tarikh hari raya sama seperti tercatat di kalendar di rumah masing-masing. Tarikh yang diumumkan Penyimpan Mohor... Klik di sini untuk terus membaca

MALAYSIA selamat menyambut 1 Syawal pada 2 Mei lalu. Ramai yang tidak jangka kerana berpuluh tahun rakyat Malaysia terbiasa tarikh hari raya sama seperti tercatat di kalendar di rumah masing-masing.

Tarikh yang diumumkan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, itulah yang tercatat di kalendar. Malah ada juga suara yang mengatakan "tidak tengok pengumuman pun tak apa, tarikh raya mesti sama dengan kalendar kuda”.

Menjelang lebaran 1443 Hijrah, selepas berbuka puasa, ramai terkejut dengan pengumuman tarikh 1 Syawal jatuh pada Isnin dan bukan Selasa seperti disangka.

Sudah tentu, antara topik perbualan kunjung mengunjung raya tahun ini ialah mengenai ‘Raya Terkejut', ‘Raya Kalut' atau ‘Raya Kelam Kabut' Menjelang lebaran, banyak kenyataan pihak berkuasa yang menerangkan proses penentuan 1 Syawal 1443 Hijrah.

Televisyen, radio serta tulisan di media sosial menguar-uarkan proses rukyah dan hisab serta tarikh melihat anak bulan pada 1 Mei 2022. Sudah tentu tarikh awal Syawal 1443 sama ada 2 Mei atau 3 Mei.

DUA VERSI KALENDAR

Namun segelintir masyarakat sudah selesa saban tahun merujuk kepada kalendar dinding dalam merancang aktiviti seharian. Kalendar dinding lebih dikenali dalam kalangan masyarakat sebagai kalendar kuda.

Walaupun sesetengah versi cetakan tidak mempunyai gambar seekor kuda sama sekali. Kalendar kuda memainkan peranan penting dalam merencana sebarang aktiviti individu, keluarga dan masyarakat seperti melancong, cuti rehat, kenduri kendara, cuti persekolahan, cuti umum dan lain-lain semuanya dirujuk di situ. Malah, ada juga yang merujuk tarikh kalendar Hijriah kepada kalendar kuda.

Oleh kerana itu, mungkin segelintir masyarakat yang menyangka tarikh 1 Syawal 1443 jatuh pada 3 Mei 2022 kerana terdapat kalendar mencatatkan tarikh tersebut sebagai tarikh lebaran.

Secara umumnya, terdapat dua versi cetakan kalendar dinding tahun 2022 yang menandakan tarikh awal hari raya. Pertama tarikh Aidilfitri 1443 ditandakan 2 Mei 2022 dan 3 Mei 2022. Kedua, tarikh Aidilfitri 1443 ditandakan 3 Mei 2022 dan 4 Mei 2022.

Semakan di rumah penulis mendapati tiga kalendar tahun 2022 mencatatkan versi 3 Mei 2022 dan 4 Mei 2022 sebagai tarikh awal lebaran 1443 Hijrah. Mungkin ini menambahkan sangkaan bahawa tarikh raya akan jatuh pada 3 Mei 2022 bukannya 2 Mei 2022.

Ini kerana sejak 30 tahun lebih, apa yang ditandakan di kalendar kuda itulah tarikh 1 Syawal atau 1 Ramadan. Sehinggakan ada yang menulis di ruang komen Facebook Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim): "Kalendar kuda 10 tahun ke depan pun dah tahu bila puasa dan raya”.

Malah ada yang mengatakan rukyah anak bulan merupakan hanya formaliti kerana tarikh sudah ditetapkan lebih awal. Mungkin mereka terlupa bahawa Malaysia mengamalkan rukyah (cerapan) dan hisab (hitungan) dalam penentuan awal Ramadan dan Syawal.

Ini berdasarkan nas yang sahih, Rasulullah SAW bersabda: "Berpuasalah kamu apabila melihat anak bulan dan berbukalah (berhari raya) sekiranya melihat anak bulan. Sekiranya mendung, maka sempurnakanlah 30 hari Syaaban” (Sahih Bukhari).

Rukyah merupakan kaedah utama dalam penentuan awal bulan Syawal di Malaysia di samping kaedah hisab. Mengikut hisab, kedudukan anak bulan tidak memenuhi syarat kenampakan kriteria imkanurukyah.

Namun begitu, peluang untuk anak bulan kelihatan masih ada. Sekiranya anak bulan tidak kelihatan pada 29 Ramadan 1443 Hijrah (1 Mei 2022), Malaysia akan menyambut 1 Syawal pada 3 Mei 2022.

Sehubungan itu, pada 1 Mei 2022, para mufti mengetuai cerapan anak bulan di 29 lokasi rasmi seluruh Malaysia. Petang 29 Ramadan 1443 Hijrah, anak bulan dilaporkan telah kelihatan dan disahkan oleh pihak berwajib.

Maka tarikh 2 Mei 2022 diumumkan sebagai 1 Syawal 1443 secara rasmi oleh pihak Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja.

Kesimpulannya, boleh rujuk kepada kalendar kuda, namun perlu juga merujuk kepada pihak berkuasa untuk tarikh puasa dan hari raya.

* Dr Mohd Saiful Anwar Mohd Nawawi ialah Pensyarah Kanan Jabatan Fiqh dan Usul Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM)

Klik di sini untuk terus membaca