ALOR SETAR - Pelarian Rohingya bersedia untuk dihantar ke negara ketiga bagi mengatasi masalah kesesakan etnik itu dalam negara ini, namun tindakan itu tidak akan menyelesaikan masalah kemasukan pelarian Rohingya ke negara ini secara haram.... Klik di sini untuk terus membaca

ALOR SETAR - Pelarian Rohingya bersedia untuk dihantar ke negara ketiga bagi mengatasi masalah kesesakan etnik itu dalam negara ini, namun tindakan itu tidak akan menyelesaikan masalah kemasukan pelarian Rohingya ke negara ini secara haram.

Pengerusi Persatuan Rohingya Malaysia Kedah, Yusof Ali berkata, perkara itu memerlukan perbincangan antara kerajaan dengan kerajaan untuk menyelesaikan kemelut yang sudah lama berlarutan sehingga etnik itu ‘terperap’ terlalu lama di depot tahanan di negara ini.

"Tak mengapalah kalau mahu hantar ke negara ketiga, namun boleh senangkah hidup pelarian di sana? Di sini pun ramai yang susah selepas berjaya masuk ke negara ini, kecuali yang bekerja secara sah,” katanya.

Yusof berkata, pihaknya akur kemasukan pelarian Rohingya ke Malaysia antara yang paling ramai sehingga etnik itu didakwa semakin ‘membanjiri’ negara ini.

"Sekarang memang ramai masuk Malaysia. Pada bulan Ramadan lalu, ada beberapa bot pelarian memasuki perairan negara ini, antaranya di Parit Buntar di Perak, Langkawi dan Pendang di Kedah.

"Kita pun susah hati sebab terlalu ramai yang masuk secara haram. Kami pun malu dengan rakyat Malaysia dan tidak pasti kenapa mereka memilih negara ini untuk berlindung.

"Saya harap kerajaan Malaysia dan kerajaan di negara kami atau negara yang bersedia beri perlindungan duduk berbincang untuk selesaikan masalah ini, kami agak tersepit dalam isu ini,” katanya lagi.

Yusof berharap Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) campur tangan menyelesaikan isu pertikaian rakyat Myanmar dengan kerajaan junta Myanmar bagi membolehkan pendudukan semula etnik Rohingya ke tanah asal mereka.

"Masalah ini perlu ditangani PBB, mereka lebih berkuasa. Gunalah kuasa yang ada untuk masuk ke Myanmar dan selesaikan isu ini, barulah etnik Rohingya tidak lagi jadi pelarian,” katanya.

Pada Sabtu, Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, Malaysia sedang mengadakan rundingan dengan beberapa negara untuk menghantar pelarian Rohingya ke negara ketiga.

Klik di sini untuk terus membaca