KRISIS badan kehakiman yang melanda negara pada tahun 1988 mengambil masa tiga dekad untuk reda. Tahun itu menyaksikan penggantungan enam hakim mahkamah tertinggi dan penyingkiran tidak wajar Ketua Hakim Negara Mahkamah Persekutuan, Tun... Klik di sini untuk terus membaca

KRISIS badan kehakiman yang melanda negara pada tahun 1988 mengambil masa tiga dekad untuk reda. Tahun itu menyaksikan penggantungan enam hakim mahkamah tertinggi dan penyingkiran tidak wajar Ketua Hakim Negara Mahkamah Persekutuan, Tun Salleh Abbas serta dua hakim kanan lain.

Sejak empat tahun lalu, terdapat tanda-tanda kebangkitan semula badan kehakiman. Namun, amatlah mendukacitakan bila membaca tentang tuduhan samar dan (apa yang kelihatannya seperti) tuduhan bermotifkan politik terhadap seorang Hakim Mahkamah Rayuan yang telah membicarakan kes SRC pada Julai 2020.

Amat dikesali apabila identiti hakim berkenaan didedahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedangkan nama yang menuduh dirahsiakan – mungkin atas alasan seksyen 7(1)(a) Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010.

Oleh kerana kerahsiaan nama yang kononnya dijamin di bawah akta tersebut, pihak yang menuduh tidak boleh disabitkan dengan tuduhan menghina mahkamah walaupun tohmahan dibuat adalah palsu dan satu percubaan keji untuk mempermain dan mencemar nama hakim tersebut, serta menjejaskan keyakinan orang awam terhadap sistem keadilan sedia ada.

TAKRIF HAKIM SEORANG PENJAWAT AWAM

Situasi ini menimbulkan kekhuatiran isu perlembagaan yang memerlukan suatu cadangan kepada reformasi undang-undang. Bila dilihat dari sudut skema perlembagaan terbabit, beberapa prinsip kardinal menjadi jelas.

Pertama, hakim di mahkamah atasan bukanlah anggota perkhidmatan awam menurut Perkara 132(3)(c) Perlembagaan Persekutuan. Namun, Akta SPRM mentakrifkan seorang hakim adalah seorang penjawat awam.

Tatatertib, penggantungan atau pembuangan kerja seorang hakim tidak terletak sepenuhnya di bawah badan eksekutif.

Kedua, Perkara 125(4) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa dalam kes-kes tatatertib, hakim tersebut mestilah dibicarakan oleh tribunal yang merangkumi para hakim sahaja.

Di bawah Perlembagaan kita, Parlimen dan badan eksekutif tidak boleh membicarakan atau menghukum seseorang hakim atas kesalahan tatatertib.

Ketiga, para hakim adalah terlindung daripada politik. Di bawah Perkara 127, tiada perbincangan Parlimen dibenarkan mengenai kelakuan hakim melainkan ia berdasarkan usul khusus disokong satu perempat daripada jumlah ahli Dewan.

Keempat, di bawah Perkara 126, hakim mempunyai kuasa untuk menghukum sesiapa sahaja yang menghina mahkamah bagi apa-apa perkataan atau perbuatan dikira memperlekehkan atau merendahkan kuasa seorang hakim atau menyebabkan campur tangan dalam pentadbiran sistem keadilan.

Kelima, hakim mempunyai imuniti daripada sebarang proses sivil dan jenayah dalam melaksanakan fungsi kehakiman mereka.

Jadi apabila hakim bertindak dalam kapasiti peribadi atau bukan dalam kapasiti kehakimannya atau melakukan jenayah seperti rasuah, beliau dipertanggungjawabkan menurut undang-undang biasa.

Akta Pencegahan Rasuah adalah terpakai kepada hakim sebagaimana ia terpakai kepada semua orang lain.

SPRM mungkin betul dalam menyatakan bahawa ia mempunyai kuasa untuk menyiasat dakwaan rasuah yang dibuat terhadap para hakim.

Namun, memandangkan wujudnya Kod Etika Hakim 2009 yang mempunyai asas perlembagaan di bawah Perkara 125(3B), kuasa SPRM mestilah dibaca selaras dengan seksyen 12 Kod 2009.

Demi mengelakkan sebarang keraguan, kita perlu membuat reformasi undang-undang untuk menjelaskan bahawa semua aduan terhadap hakim mestilah dirujuk kepada Ketua Hakim Negara terlebih dahulu untuk sebarang kemungkinan prosiding tatatertib.

Cadangan ini adalah berdasarkan situasi kini yang tidak memuaskan – bahawa mana-mana hakim yang membicarakan kes melibatkan isu politik atau isu sensitif boleh diancam oleh laporan jenayah yang difailkan terhadapnya untuk memperlekehkan autoritinya dan mencemarkan sistem keadilan.

* Profesor Emeritus Datuk Dr Shad Saleem Faruqi ialah Penyandang Kerusi Tunku Abdul Rahman Fakulti Undang-Undang, Universiti Malaya

Klik di sini untuk terus membaca