SHAH ALAM - Individu atau organisasi yang mahu membuat kutipan derma perlu menunjukkan satu pelaporan lengkap kepada masyarakat umum bagi membuktikan bahawa kutipan berkenaan benar-benar disalurkan ke tempat sepatutnya. Ketua Pegawai... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Individu atau organisasi yang mahu membuat kutipan derma perlu menunjukkan satu pelaporan lengkap kepada masyarakat umum bagi membuktikan bahawa kutipan berkenaan benar-benar disalurkan ke tempat sepatutnya.

Ketua Pegawai Eksekutif Humanitarian Care Malaysia (MyCARE), Kamarul Zaman Shaharul Anwar berkata, ia termasuklah pelaporan berhubung tujuan pelaksanaan sesuatu projek dan juga jumlah dana yang diperuntukkan.

"Dari segi sudut pelaksanaannya pula, mereka juga perlu kongsikan kepada masyarakat sudah berapa banyak sumbangan diterima dan bila jangkaan projek tersebut siap sepenuhnya.

"Kalau projek ini mengambil masa selama satu tahun, maknanya enam bulan mereka perlu kongsikan status projek tersebut. Ini termasuklah berapa banyak perbelanjaan telah pun dilaksanakan dan berapa banyak peruntukan sudah dikeluarkan.

"Ini bertujuan untuk memberikan keyakinan kepada masyarakat bahawa NGO kita ini memang betul-betul buat apa yang dikehendaki di sesebuah kawasan,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Tular di media sosial baru-baru ini mengenai tindakan seorang ustaz dan pempengaruh yang didakwa kerap meminta derma dan memungut dana awam atas nama kebajikan dan agama.

Menurut hantaran yang tular itu, jumlah derma diminta individu yang mempunyai lebih 51,000 pengikut di media sosial itu mencecah ratusan juta ringgit di samping turut meletakkan syarat tidak munasabah kepada penderma.

Dalam perkembangan sama, Kamarul Zaman turut mencadangkan supaya kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Kebajikan bagi tujuan mengawal selia mana-mana persatuan ataupun NGO yang mengutip dana daripada sumber pendanaan awam.

"Sekarang ini kita tidak ada satu badan yang mengawal persatuan atau NGO yang mengutip dana daripada orang ramai.

"Kalau negara luar seperti Singapura, Australia dan United Kingdom, mereka ada Suruhanjaya Kebajikan. Maknanya mereka yang akan mengawal selia individu atau NGO yang melaksanakan pendanaan awam."Jadi di sini tiada isu yang melibatkan ada segelintir individu mengambil kesempatan dengan membuat kutipan derma bagi kegunaan peribadi,” ujarnya.

JADI PEMANTAU

Dalam pada itu, orang ramai perlu turut memainkan peranan sebagai pemantau untuk menangani sebarang kegiatan memungut dana awam atas kepentingan diri atau kumpulan tertentu.

Ketua Pegawai Eksekutif Rasuah Busters, Nurhayati Nordin berkata, aspek pemantauan awam itu sangat penting bagi membantu pihak berkuasa menjalankan penguatkuasaan terhadap perbuatan tersebut yang sememangnya terletak di bawah kesalahan penipuan mengikut undang-undang negara.

"Yang penting adalah orang ramai yang memberikan sumbangan kena betul-betul ambil serius sebab dengan laporan yang ada itu sepatutnya pihak berkuasa boleh terus ambil tindakan.

"Jadi kalau nak cakap kena ada pemantauan, sebenarnya kitalah jadi mata telinga dan sebagainya untuk lihat sejauh mana kredibiliti sesuatu pendanaan awam itu dibuat,” katanya.

Nurhayati berkata, dalam memberikan sesuatu sumbangan, orang ramai perlu lebih peka dan terlebih dahulu melakukan penilaian terhadap individu atau entiti yang menguruskan dana tersebut.

Jelas beliau, antara perkara utama perlu dinilai orang ramai adalah ketelusan pengurusan kewangan, perancangan dan kesahihan aktiviti dan operasi dijalankan oleh pihak yang mengutip dana berkenaan.

"Kalau boleh orang ramai juga perlu terlibat sama dengan aktiviti serta kegiatan derma atau amal yang dilakukan pihak terbabit. Jika tidak, cuba dapatkan bukti pengesahan mengenai perkara tersebut,” ujarnya.

Klik di sini untuk terus membaca