SHAH ALAM - Sikap tidak menyelidik terlebih dahulu sebelum menderma menyebabkan banyak pihak berani mengambil kesempatan daripada kebaikan rakyat Malaysia. Pakar sosial, Profesor Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran berkata, sifat tanpa selidik... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Sikap tidak menyelidik terlebih dahulu sebelum menderma menyebabkan banyak pihak berani mengambil kesempatan daripada kebaikan rakyat Malaysia.

Pakar sosial, Profesor Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran berkata, sifat tanpa selidik itu juga menyebabkan wang untuk membantu golongan memerlukan dapat kepada golongan tak sepatutnya.

"Budaya masyarakat Malaysia merupakan nilai yang sangat sihat iaitu dalam konteks suka membantu masyarakat yang memerlukan sama ada kepada individu atau organisasi.

"Sifat baik rakyat Malaysia ini sering kali diambil kesempatan dan kita sering mendengar tentang beberapa kumpulan individu atau organisasi yang berjaya mengumpul ribuan ringgit dalam masa satu hari sahaja hasil derma daripada orang ramai.

"Budaya baik yang ditunjukkan oleh masyarakat ini sudah tentu wajar diteruskan namun mereka perlu membuat penyelidikan terlebih dahulu sebelum menderma agar wang tersebut tidak jatuh kepada pihak tidak bertanggungjawab,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, lebih mengecewakan apabila ada pihak yang menggunakan agama sebagai medium untuk mengutip derma.

Menurutnya, kutipan derma menggunakan agama mendorong orang Islam mudah berasa simpati untuk menderma walaupun tidak mengetahui latar belakang individu itu.

"Bukan kita nak menghalang untuk membantu tetapi kita tidak mahu menyemarakkan budaya orang mengambil kesempatan sehingga hasrat dan niat kita itu tidak sampai ke tempatnya. "Saya tahu ada dalam kalangan golongan agama yang kata bahawa apa yang penting adalah niat, maka ALLAH akan membalasnya. Tiada pertikaian atau percanggahan mengenai perkara ini.

"Tetapi dalam masa sama kita perlu tahu sebab utama kita menyalurkan derma supaya orang yang perlukan bantuan ini dapat dibantu. Bukannya kita bagi derma untuk mereka yang mengambil kesempatan,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca