SHAH ALAM - Ahli politik veteran wajar mencontohi tindakan, Dr Ong Kian Ming yang berjiwa besar dan sanggup memberi laluan kepada pemimpin muda untuk menjadi calon DAP di Parlimen Bangi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti. Felo Kanan... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Ahli politik veteran wajar mencontohi tindakan, Dr Ong Kian Ming yang berjiwa besar dan sanggup memberi laluan kepada pemimpin muda untuk menjadi calon DAP di Parlimen Bangi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

Felo Kanan Majlis Profesor Negara, Dr Jeniri Amir berkata, beliau memuji tindakan Ahli Parlimen Bangi itu yang tahu masa sesuai untuk berundur dan memberi peluang untuk menjadi calon, biarpun Kian Ming disenangi oleh masyarakat di kawasan terbabit.

"Dr Ong Kian Ming adalah seorang wakil rakyat yang tahu bila dia sepatutnya berundur dan harus dijadikan contoh serta ikutan kepada ahli Parlimen dan wakil rakyat veteran untuk berundur secara terhormat.

"Saya fikir tindakan demikian akan memberi lebih banyak ruang dan peluang kepada pemimpin politik lain bergerak ke hadapan untuk mewakili parti dan rakyat sekali gus mengelak ada kes di mana terdapat individu tertentu memegang jawatan Ahli Parlimen dan wakil rakyat bagi tempoh sehingga 30 hingga 40 tahun di sesuatu kawasan.

"Keenganan pemimpin politik enggan berundur biar lebih 30 tahun menjadi wakil rakyat dan Ahli Parlimen menyebabkan parti terbabit tidak nampak dinamik dan semakin lesu," katanya kepada Sinar Premium.

KUKUHKAN PARTI

Dalam pada itu, Jeniri berkata tindakan Kian Ming enggan dicalonkan semula sebagai wakil rakyat DAP di Parlimen Bangi membolehkan beliau berfikir panjang dan menumpukan kepada usaha memperkukuhan parti itu, sebelum kembali semula ke arena politik tanah air.

"Saya juga berharap parti politik akan memberi ruang dan peluang kepada lebih ramai calon muda untuk bertanding sama ada di peringkat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRU15 nanti selari dengan pelaksanaan undi 18 tahun (Undi-18) dan pendaftaran pengundi secara automatik mulai Disember lalu.

"Tindakan itu perlu kerana pengundi mahu melihat pemimpin veteran memberi laluan kepada orang muda menjadi calon setiap parti bertanding bagi memastikan mereka benar-benar mewakili suara generasi muda di peringkat akar umbi dan memberi sumbangan idea serta perlaksanaan dasar negara, pada masa depan.

"Justeru itu, saya fikir adalah menjadi impian rakyat untuk melihat nisbah antara calon muda dan tua akan menjadi lebih tinggi melebihi 30:70 peratus dalam PRU15 akan datang," katanya.

Bagaimanapun, Jeniri berkata, sebarang perubahan terlalu drastik adalah tidak wajar kerana parti dan negara juga memerlukan gabungan pemimpin veteran dan muda untuk meneruskan kesinambungan perjuagan dan pembangunan negara. Ini kerana golong muda juga memerlukan masa untuk menimba ilmu dan pengalaman daripada pemimpin veteran," katanya.

DR JENIRI

PERSETUJUAN DENGAN ISTERI

Terdahulu media melaporkan Kian Ming, mengesahkan bahawa beliau tidak akan bertanding pada PRU15 nanti bagi memberi peluang kepada muka baharu menjadi calon DAP di kawasan terbabit.

Ketika membuat pengumuman itu, Kiang Ming, menegaskan keputusan berkenaan bukan dibuat secara tergesa-gesa, sebaliknya mengambil kira pelbagai aspek dan perbincangan dengan pemimpin DAP lain, sejak tahun lalu.

"Ini bukan keputusan yang dibuat tergesa-gesa tapi sudah dibincangkan sejak tahun lalu. Saya melihatnya sebagai satu langkah untuk membuka lebih banyak pintu kepada pemimpin muda lain dalam DAP untuk ke hadapan.

"Saya akan berkongsi kenyataan media penuh kelak mengenai keputusan saya tidak bertanding sebagai calon pada PRU-15 hari ini," kata Kian Ming dalam ciapan menerusi akaun Twitter, pada Isnin.

Untuk rekod, Kian Ming, 46, dipilih sebagai Ahli Parlimen Bangi pada PRU-14 dan sebelum itu beliau adalah Ahli Parlimen Serdang dari 2013 hingga 2018.

Beliau juga pernah dilantik sebagai Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada 2018-2020.

Bagaimanapun, Kian Ming gagal mempertahankan kerusinya dalam Pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP, pada Mac lalu.

Dalam kenyataan berasingan menerusi laman Facebooknya, Kian Ming berkata, beliau akan memberikan sokongan penuh kepada sesiapa yang dinamakan sebagai calon DAP untuk Bangi pada PRU15, dan terus berkhidmat di kawasan dan parti sehingga Parlimen dibubarkan.

"Semasa saya mula-mula ditawarkan menjadi calon bagi kerusi Parlimen Serdang, persetujuan saya dengan isteri adalah untuk saya berkhidmat selama dua penggal dan kemudian menilai semula keadaannya.

"Menjelang penghujung penggal kedua ini, saya percaya bahawa saya telah memberikan usaha yang sebaik mungkin di peringkat kawasan, parti dan negara. Kini tiba masanya untuk generasi muda dalam parti mengambil alih tampuk kepimpinan," katanya.

Klik di sini untuk terus membaca