SHAH ALAM - Rakyat Malaysia termasuk Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berhak mempersoalkan tindakan kerajaan membayar RM2.23 juta kepada Tan Sri Mohamed Apandi Ali sebagai pampasan saman sivil berhubung pemecatannya sebagai... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Rakyat Malaysia termasuk Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berhak mempersoalkan tindakan kerajaan membayar RM2.23 juta kepada Tan Sri Mohamed Apandi Ali sebagai pampasan saman sivil berhubung pemecatannya sebagai Peguam Negara, ketika zaman pemerintahan Pakatan Harapan (PH) kerana melibatkan penggunaan dana awam.

Peguam Kanan, Haniff Khatri Abdulla berkata, terdapat tiga perkara perlu difahami orang awam dan khususnya Mohamed Apandi dalam isu bayaran pampasan berkenaan termasuk pertama Dr Mahathir berhak membantahnya kerana beliau dinamakan sebagai defendan dalam kes saman sivil terbabit.

Beliau berkata, tindakan saman diambil oleh Mohamed Apandi berkenaan bukan bersifat pertikaian sivil biasa antara individu dan orang perseorangan lain.

Sebaliknya, Haniff Khatri berkata, kes berkenaan membabitkan tindakan sivil yang dibawa bekas penjawat awam atau lebih tepat lagi antara mantan Peguam Negara terhadap terhadap bekas Perdana Menterinya (Dr Mahathir) atas kapasitinya sebagai penasihat kepada Yang di-Pertuan Agong dalam urusan penamatan perkhidmatannya, pada masa itu.

"Berikutan itu, ia menjadi satu isu awam bukan soal peribadi, soal Dr Mahathir berhak membantah atau tidak bukan soalnya lagi? Tetapi soalnya Dr Mahathir sebagai seorang rakyat biasa dan negarawan berhak tahu apakah yang mendorong kerajaan sekarang menyelesaikan saman perlucutan jawatan awam oleh Mohamed Afandi.

"Ini kerana seperti dinyatakan oleh Dr Mahathir minggu lalu, bahawa semasa perbincangan berhubung tindakan pemecatan Mohamed Apandi sebelum ini, Peguam Negara sekarang, Tan Sri Idrus Harun melalui pegawainya sudah memaklumkan bahawa segala proses dan prosedur penamatan perkhidmatan berkenaan adalah sah dan teratur mengikut Perlembagaan," katanya ketika dihubungi wartawan Sinar Premium.

Justeru itu, Haniff Khatri berkata adalah amat penting bukannya kepada Dr Mahathir, malah orang awam untuk mengetahui alasan sebenar kerajaan mahu membayar pampasan kepada Mohamed Apandi jika pemecatannya adalah mengikut prosedur dan Perlembagaan Persekutuan.

HANIFF KHATRI

"Keduanya, Mohamed Apandi mempersoalkan kenapakah dibangkitkan sekarang? Beliau kena faham antara rugutan Dr Mahathir ialah dia tidak langsung diberitahu mengenai adanya penyelesaian sebelum kes berkenaan dimasukkan dalam mahkamah pada tiga minggu lalu. Rakyat di luar sana juga berhak tahu siapakah yang memutuskan supaya pertikaian berkenaan diputuskan menerusi pembayaran pampasan.

"Apabila rakyat membaca laporan di media bahawa kes Mohamed Apandi menyaman Dr Mahathir dan kerajaan Malaysia sudah diselesaikan maka mereka beranggapan bekas Perdana Menteri berkenaan yang menyelesaikan masalah itu. Oleh itu, rakyat kena faham bahawa sebenarnya bukan Dr Mahathir yang menyelesaikan pertikaian berkenaan tetapi kerajaan Malaysia berbuat demikian.

"Saya juga percaya bahawa Mohamed Apandi sebagai bekas Peguam Negara boleh memahami asasnya dan kenapa perkara perlu dibangkitkan sekarang serta memerlukan penjelasan kepada rakyat.

Ketiga kata Haniff Khatri, Mohamed Apandi juga mengatakan bahawa Dr Mahathir tidak berhak mengetahui terma penyelesaian kerana ia membabitkan kerahsiaan dan perkara ini adalah tindakan biasa dalam saman sivil.

"Untuk menjawab isu ini memang bentu dalam tindakan saman sivil tertentu ada keadaan membolehkan pertikaian dan penyelesaian di mahkamah di rahsiakan termanya. Tetapi itu adalah berkaitan dengan saman sivil individu dengan individu atau syarikat dengan syarikat atau syarikat dan individu.

"Maknanya isu-isu pertikaian bersifat peribadi boleh ada kerahsiaan. Tetapi, seperti dijelaskan sebelum ini tindakan saman Mohamed Apandi adalah berkaitan tadbir urus negara dan perkara berkaitan kepentingan awam maka wajib didedahkan kepada orang ramai mengenai penyelesaiannya.

"Jadi sifat kerahsiaan berkenaan tidak terpakai atau digunakan oleh Mohamed Apandi mahupun Idrus sebagai Peguam Negara dan mewakili kerajaan Malaysia sekarang berselindung dan tidak mendedahkan terma penyelesaian. Tidak boleh ada perjanjian kerahsiaan antara kedua-dua pihak yang tidak sah bagi merahsiakan perkara berkenaan untuk kepentingan awam dan tidak teratur," katanya.

Justeru itu, Haniff Khatri berkata, kenyataan Mohamed Afandi adalah tidak tepat apabila beliau mengatakan dalam kes ini terma-terma penyelesaian wajar dirahsiakan daripada pengetahuan umum.

"Jika penyelesaian itu membabitkan pembayaran pampasan maka ia melibatkan sejumlah dana awam. Kalau bayaran pampasan berkenaan bernilai walaupun RM1 dibuat tanpa pengakuan liabiliti kepada Mohamed Apandi, ia tetap dana awam dan menjadi hak awam termasuk Dr Mahathir untuk mengetahuinya.

"Oleh itu dengan penjelasan ini saya berharap rakyat tahu bahawa Mohamed Apandi tiada hak untuk menyoal kenyataan Dr Mahathir dan pada hakikatnya beliau tidak hak dalam mencampuri persoalan dibangkitkan Dr Mahthir dan orang awam kepada Peguam Negara sekarang.

"Mohamed Apandi juga tiada hak untuk memberikan penjelasan bagi pihak Peguam Negara sekarang," katanya.

Terdahulu, media melaporkan Mohamed Apandi menegaskan Dr Mahathir, tidak berhak mempersoalkan penyelesaian saman RM2.23 juta yang dibuat antara dirinya dengan kerajaan berhubung kes pemecatannya ketika pemerintahan PH.

Walaupun Dr Mahathir dinamakan sebagai defendan dalam samannya, Apandi berkata, bekas Perdana Menteri itu hanya mahukan perhatian selepas menimbulkan semula perkara berkenaan, sedangkan ia sudah diselesaikan tiga minggu lalu.

"Bukan dia (Dr Mahathir) berhak setuju (atau) tak setuju (berhubung langkah penyelesaian yang diambil) sebab ini saman terhadap kerajaan dan kerajaan sudah setuju (selesai di luar mahkamah).

"Yang mewakili kerajaan adalah Peguam Negara, kalau Peguam Negara kata macam itu, kena akur, (Dr Mahathir) tiada hak nak persoalkan. Penyelesaian itu sudah lama, sudah tiga minggu lebih, kenapa baru timbul? (Seperti) seek attention," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Klik di sini untuk terus membaca