SAIFUDDIN CALON FAVOURITE, SETIA WAKTU SUSAH SENANG Biarpun proses pemilihan bagi merebut jawatan tertinggi dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) kecuali Presiden hanya akan bermula secara rasmi pada 13 Mei ini, namun ramai pemerhati politik... Klik di sini untuk terus membaca

SAIFUDDIN CALON FAVOURITE, SETIA WAKTU SUSAH SENANG

Biarpun proses pemilihan bagi merebut jawatan tertinggi dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) kecuali Presiden hanya akan bermula secara rasmi pada 13 Mei ini, namun ramai pemerhati politik melihat persaingan jawatan Timbalan Presiden tidaklah terlalu sengit.

Pemerhati dan penganalisis politik berpandangan Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mempunyai kelebihan yang agak besar untuk memenangi kerusi Timbalan Presiden atau orang nombor dua parti berbanding pencabarnya Rafizi Ramli.

Saifuddin yang sebelum ini menyandang jawatan Setiausaha Agung dianggap calon ‘favourite’ memenangi jawatan itu kerana beliau dilihat sebagai penyokong setia parti dan Anwar, sejak zaman era reformasi lagi.

Saifuddin Nasution Ismail

Pengaruh Saifuddin sebenarnya bukan ‘kecil anak’ dan semakin berkembang dalam PKR. Beliau dilihat sebagai calon paling sesuai mengganti Anwar sekiranya Ketua Pembangkang itu memilih untuk bersara daripada arena politik tanah air, pada masa depan.

Sebagai bekas Pengarah Pilihan Raya dan orang lama dalam PKR, Saifuddin dilihat amat mahir dalam strategi dan perang psikologi bagi memenangi hati dan sokongan lebih 1.3 juta ahli parti itu di peringkat akar umbi.

Malah, biarpun Anwar tidak pernah menyatakan secara terbuka beliau menyokong mana-mana calon bertanding sama ada jawatan Timbalan atau Naib Presiden PKR pada pemilihan kali ini. Namun keengganan Anwar berkongsi pentas sama dengan Rafizi dalam program debat bersama bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, menunjukkan perkara sebaliknya berlaku sekarang.

Selain itu, cadangan khemah besar atau ‘big tent’ iaitu pembentukan gabungan parti pembangkang oleh Saifuddin bagi mengelak pertembungan sesama sendiri dan menewaskan UMNO dan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum (PRU15) akan datang juga disambut baik oleh Anwar.

Satu lagi faktor membantu kemenangan Saifuddin adalah ramai dalam kalangan ahli dan pemimpin PKR masih terasa hati dan terluka dengan tindakan Rafizi yang memilih untuk berehat panjang lebih dua tahun selepas beliau kalah kepada Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, semasa pemilihan parti, pada 2018.

Tindakan Rafizi itu menyebabkan ramai penyokong kuatnya kini beralih arah dan menyokong kepemimpinan Saifuddin yang dilihat lebih matang, berpengalaman dan setia kepada parti dan Presiden PKR biarpun mereka kalah teruk dalam empat pilihan raya negeri, sebelum ini.

Dalam pada itu, Saifuddin juga mendapat sokongan padu daripada pemimpin dan ahli PKR di peringkat akar umbi dan cabang parti itu di seluruh negara yang mahu melihat blok pembangkang kembali memberi saingan sengit kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN) pada PRU15 nanti.

Bagaimanapun, Saifuddin tidak boleh memandang rendah kebolehan dan kehebatan Rafizi yang digelar ‘pakar formula’ dan mendapat sokongan padu golongan muda terutama dalam PKR dan peminatnya di media sosial.

Apa-apa pun ‘bola’ sudah di kaki lebih 300,000 ahli PKR dan terpulang kepada mereka untuk mengundi calon pilihan masing-masing pada pemilihan parti yang akan bermula dari 13 hingga 22 Mei nanti.

POPULARITI RAFIZI DAN SOKONGAN KUAT NURUL IZZAH

Apabila bekas Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli mengumumkan kemunculan semula beliau dalam dunia politik tanah air setelah ‘bercuti’ lebih dua tahun, ramai penganalisis politik memberikan pandangan bercampur-baur terhadap keputusan itu.

Rafizi Ramli

Ditambah dengan keputusan berani mati bekas Naib Presiden PKR itu untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden parti pada pemilihan penggal 2022-2025, ada yang berpandangan kehadiran Rafizi untuk memperkuatkan kembali parti sudah terlambat pada saat PRU15 semakin hampir.

Bagaimanapun, terdapat pemerhati politik bersikap optimis dan menyifatkan kembalinya Rafizi bersama seorang lagi figura politik PKR berpengaruh, Nurul Izzah Anwar untuk mengukuhkan PKR dan PH, mampu memberi nafas baharu terhadap koalisi pembangkang yang dihimpit beberapa siri kekalahan pilihan raya.

Bagaimanapun, di sebalik populariti Rafizi dalam kalangan 1.3 juta akar umbi PKR, timbul pula dakwaan beliau tidak mendapat sokongan dalam kalangan kepemimpinan utama parti yang cenderung setia kepada institusi Presiden PKR ditunjangi Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri.

Senario itu berbeza dengan episod pertembungan beliau bersama bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sewaktu pemilihan PKR penggal 2018-2021 di mana Rafizi pada ketika itu secara terbuka menerima sokongan Anwar, namun akhirnya tewas.

Ditambah dengan keputusan mengejut beliau ‘bercuti’ daripada jawatan Naib Presiden PKR pada saat parti berdepan kemelut dalaman selepas episod pengkhianatan kem Azmin, peristiwa itu sedikit sebanyak melukakan hati sebilangan akar umbi PKR.

Respons lebih positif diterima Saifuddin apabila beliau difahamkan menerima sokongan majoriti kepimpinan tertinggi PKR, termasuk kem bekas penyokong Azmin seperti Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amiruddin Shaari dan bekas Naib Presiden PKR, Tian Chua.

Selain itu, ketegasan Rafizi menolak cadangan PKR menerima idea pembentukan khemah besar pembangkang yang difahamkan turut melibatkan Perikatan Nasional (PN) dan Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) diketuai Tun Dr Mahathir Mohamad, menyebabkan beliau tidak popular dalam kalangan kepimpinan utama PKR.

Meskipun Rafizi dianggap sebagai calon ‘underdog’ dan berdepan laluan berliku untuk menjayakan agenda transformasi kepimpinan PKR, peluang beliau untuk memenangi jawatan Timbalan Presiden PKR tidak boleh diketepikan begitu sahaja.

Lebih-lebih lagi, majoriti akar umbi PKR melihat pendedahan Rafizi terhadap punca kemerosotan prestasi PH selepas peristiwa ‘Langkah Sheraton’ selain pengakuan bahawa PKR dan PH semakin hilang sokongan pengundi atas pagar, sebagai satu kenyataan jujur yang selari dengan pandangan mereka.

Kelompok akar umbi ini juga merasakan naratif politik dibawa kem Rafizi dan Nurul Izzah yang mahukan PKR kembali kepada asas perjuangan menjuarai isu penderitaan rakyat berbanding menfokuskan agenda meraih kembali kuasa mentadbir Putrajaya, adalah lebih relevan dan berpijak di bumi yang nyata.

Lebih radikal, terdapat sebilangan penyokong PKR sendiri yang berpandangan kepimpinan utama PKR sedia ada termasuk Anwar perlu digantikan dengan pemimpin muda yang lebih agresif dan pragmatik seperti Rafizi dan Nurul Izzah sendiri.

Persoalan mampukah Rafizi mencipta kejutan dan membuka lembaran politik baharu PKR?

Klik di sini untuk terus membaca