SHAH ALAM - Kanak-kanak di Malaysia berdepan ancaman empat penyakit berjangkit terutama sindrom keradangan multisistem dalam kanak-kanak (MIS-C) atau penyakit Kawasaki (KD) susulan peningkatan ketara kes itu ketika ini. Selain Kawasaki,... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Kanak-kanak di Malaysia berdepan ancaman empat penyakit berjangkit terutama sindrom keradangan multisistem dalam kanak-kanak (MIS-C) atau penyakit Kawasaki (KD) susulan peningkatan ketara kes itu ketika ini.

Selain Kawasaki, tiga lagi penyakit berjangkit lain yang perlu diberi perhatian ialah penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD), virus sinsitium pernafasan (RSV) dan yang menjadi kebimbangan baharu iaitu radang hati akut atau hepatitis akut.

Pakar Kanak-Kanak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Dr Rashdan Zaki Mohamed berkata, antara tanda utama seseorang kanak-kanak mengalami MIS-C atau KD adalah demam berpanjangan, ruam merah, bibir merekah, mata merah, bengkak limfa noda serta bengkak kaki dan tangan.

Dr Rashdan Zaki Mohamed

"Biasanya organ utama yang terjejas akibat penyakit Kawasaki ini adalah salur darah pada jantung dan ia memerlukan rawatan khusus. Punca utama penyakit ini masih tidak dapat dipastikan namun ada kaitan dengan jangkitan kuman.

"Bagaimanapun, selepas pandemik Covid-19 muncul, kami dapati kes penyakit Kawasaki meningkat dengan ketara. Berdasarkan kajian semasa, ia ada kaitan dengan pandemik Covid-19.

"MIS-C dan penyakit Kawasaki ini berkongsi persamaan ciri tertentu dari segi tanda klinikal, seperti demam, ruam dan tanda oral seperti bibir merah dan merekah. Bezanya, MIS-C melibatkan organ lain seperti sistem usus dan penghadaman, pernafasan, jantung, kulit dan mukosa, dan mungkin boleh jadi lebih serius,” katanya kepada Sinar Harian.

Tambah beliau yang juga Pakar Pediatrik dan Pediatrik Endokrinologi, Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu, Kelantan, kajian di luar negara menunjukkan insiden MIS-C boleh berlaku antara 0.2 hingga 2 kes bagi setiap 100,000 kanak-kanak, manakala insiden Kawasaki adalah sekitar 20 hingga 240 kes bagi setiap 100,000 kanak-kanak di bawah usia lima tahun.

Jelasnya, kanak-kanak yang menghidap penyakit ini akan berdepan risiko masalah jantung, kegagalan organ dan paling serius boleh membawa maut jika tidak diberikan rawatan segera.

"Sebab itulah sekarang kita cuba tingkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat khususnya ibu bapa supaya tidak memandang remeh jika anak mereka mengalami tanda-tanda dinyatakan.

Kanak-kanak berusia bawah lima tahun lebih mudah dijangkiti Kawasaki, HFMD, RSV dan hepatitis akut. - Foto: 123RF

"Biasanya kanak-kanak yang dijangkiti MIS-C atau Kawasaki ini mereka akan mengalami demam lebih daripada lima hari, dan demam berterusan walaupun rawatan seperti ubat demam dan antibiotik telah diberikan” ujarnya yang juga aktif mempromosikan kesihatan kanak-kanak dan remaja di media sosial dan media arus perdana.

Mengulas mengenai tiga lagi penyakit berjangkit lain, jelasnya, HFMD merupakan penyakit yang mudah berjangkit, biasanya bergejala ringan, namun turut berisiko mengalami komplikasi radang jantung dan organ lain yang lebih serius.

HFMD juga katanya, boleh menyebabkan seorang kanak-kanak tidak lalu makan atau minum dan boleh menyebabkan dehidrasi.Bagi penyakit RSV pula ujarnya, ia merupakan virus yang sering menyerang paru-paru dan salur pernafasan. Tanda utama penyakit ini adalah demam, sesak atau kesukaran bernafas, bernafas laju dan berbunyi (berdehit).

Menurut beliau lagi, KKM dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) baru-baru ini ada mengumumkan kebimbangan mengenai radang hati (hepar) akut atau hepatitis akut, di mana tanda-tanda utama adalah kekuningan pada kulit dan mata, muntah, hilang selera makan dan keletihan."Buat masa ini punca utama radang hati ini masih dalam siasatan. Ibu bapa diminta segera dapatkan rawatan jika anak mereka ada tanda-tanda berkenaan,” kata Dr Rashdan.

KANAK-KANAK BAWAH LIMA TAHUN TERDEDAH HFMD

Dalam pada itu, pengamal perubatan dan kesihatan, Dr Kamarul Ariffin Nor Sadan memaklumkan, penyakit HFMD boleh menjangkiti individu di setiap peringkat umur, namun kanak-kanak di bawah umur lima tahun paling berisiko dijangkiti penyakit berkenaan.

Dr Kamarul Ariffin

Katanya, penyakit tersebut mudah merebak menerusi sentuhan langsung lelehan hingus, air liur, najis dan cecair ruam daripada kanak-kanak yang dijangkiti virus berkenaan.

"Hari raya kali ini ramai orang pulang ke kampung berkumpul bersama sanak saudara. Mungkin itu menyebabkan penularannya. HFMD mudah menjangkiti kanak-kanak yang ditempatkan bersama.

"Ramai ibu bapa bawa anak kecil datang ke klinik dengan ruam dan demam. Apaila saya periksa, rupanya HFMD,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook pada Isnin.

Dalam pada itu, Kamarul Ariffin turut menyenaraikan tanda-tanda jangkitan HFMD; antaranya demam, ruam di mulut, tangan, kaki dan kawasan lampin; ulser pada tekak, mulut dan lidah; sakit tekak dan kepala serta hilang selera makan.

Beliau turut menasihatkan ibu bapa untuk tidak menghantar anak-anak yang disyaki HFMD ke taska, pusat jagaan atau ke tempat awam bagi mengelak risiko jangkitan kepada orang lain selain mereka perlu dikuarantin di rumah.

"Cuci tangan dengan sabun sebelum sediakan makanan, selepas keluar tandas, menukar lampin dan mencuci najis. Bersihkan mainan, kerusi dan meja yang tercemar dengan air liur anak,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca