SHAH ALAM - "Semasa mula-mula kena penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD), anak keempat saya, Abdul Azim Mohd Omar, 4, demam panas dan hilang selera makan. Dalam tempoh dua hari, tumbuh bintik kemerahan dalam mulut (lelangit) kemudian... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - "Semasa mula-mula kena penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD), anak keempat saya, Abdul Azim Mohd Omar, 4, demam panas dan hilang selera makan. Dalam tempoh dua hari, tumbuh bintik kemerahan dalam mulut (lelangit) kemudian bintik merah itu merebak ke sekeliling mulut,” cerita Noor Wahidah Samsu, 37.

Menurutnya, dalam tempoh itu, seorang lagi anaknya, Ahmad Qayum, 7, dikesan menghidap penyakit sama sebelum dua beradik itu dibawa ke klinik.

"Doktor sahkan anak saya terkena HFMD selepas bintik kemerahan yang sama dikesan di tapak dan celah jari kaki dan tangan,” katanya kepada Sinar Harian. Noor Wahidah berkata, dia sendiri tidak tahu bagaimana anaknya boleh terkena jangkitan berkenaan.

"Setahu saya penyakit itu dikesan ketika kami balik berhari raya di Kedah tapi tidak ada pula dalam kalangan anak-anak saudara yang terkena penyakit itu,” katanya yang tinggal di Puchong, Selangor.

Jelasnya lagi, Ahmad Qayum turut mengalami muntah-muntah tetapi selepas mendapat nasihat dan ubat doktor, bintik merah itu kembali reda dalam tempoh sehari.

"Doktor beri ubat demam, ubat titik, ubat tambah tenaga dan ubat tahan muntah. Alhamdulillah, mereka cepat sembuh selepas itu selera makan mereka kembali normal,” katanya.

Pengalaman sama turut dikongsi seorang pekerja swasta, Zainura Atieqah Zamri, 30, apabila anak perempuannya berusia tiga tahun enggan bercakap seperti kebiasaannya.

Nur Humaira Qhadejah bersama ibunya Noor Wahidah.

"Pada mulanya dia (Nur Humaira Qhadejah Mohd Hafizudin) tidak selera untuk makan dan minum susu. Bayangkan susu lapan auns suku tidak luak,” ujarnya.

Zainura mula syak anak tunggalnya itu dijangkiti HFMD selepas terdapat keputihan seperti ulser pada lidah selain timbul bintik-bintik merah di celah kelengkang, tapak kaki dan tangan.

"Saya bawa ke klinik swasta tapi doktor suruh rujuk klinik kerajaan yang kemudian sahkan anak saya dijangkiti HFMD.

"Agak risau juga sebab dia tak makan selama tiga hari, tapi saya paksa minum air dan makan aiskrim vanila,” kata Zainura.

Menurutnya, doktor membekalkan ubat sapu dan ubat sembur mulut yang mengambil masa selama seminggu untuk pulih.

Bintik merah pada kaki Nur Humaira Qhadejah.

"Jangkitan ini berlaku disebabkan kuman atau persekitaran tidak bersih kerana rumah saya terkena banjir pada Disember tahun lalu. Mungkin ada sisa kotoran dan kuman yang menyebabkan anak saya dijangkiti,” katanya yang tinggal di kawasan perumahan awam di Kuantan, Pahang.

Tambahnya, meskipun sudah sembuh sepenuhnya, namun masih terdapat tanda seperti bisul pada kaki anaknya sehingga hari ini.

Klik di sini untuk terus membaca