PENYEWAAN platform atau aset pertahanan bagi kegunaan sebuah angkatan tentera negara berdaulat bukanlah sesuatu yang baharu, malah aktiviti itu telah pun dilaksana oleh negara-negara Eropah sejak Perang Dunia Kedua lagi. Amerika Syarikat... Klik di sini untuk terus membaca

PENYEWAAN platform atau aset pertahanan bagi kegunaan sebuah angkatan tentera negara berdaulat bukanlah sesuatu yang baharu, malah aktiviti itu telah pun dilaksana oleh negara-negara Eropah sejak Perang Dunia Kedua lagi.

Amerika Syarikat (AS) umpamanya, telah menyewa kapal firma komersial untuk meningkatkan keupayaan logistik tentera lautnya ketika Perang Dunia Kedua dan terus menggunakan kaedah sama ketika Perang Korea pada tahun 1950-an serta Perang Vietnam pada 1970-an.

Dalam kalangan negara Eropah Barat dan NATO, penyewaan platform antara negara turut dilakukan. Contohnya, United Kingdom pernah menyewa pesawat rondaan maritim P-8. Itali menyewa 34 buah pesawat F-16 dari AS bagi latihan penyesuaian juruterbang apabila tentera udaranya menggantikan pesawat lama F-104 kepada pesawat lebih baharu.

Tidak setakat negara Eropah, pada 2020, India telah menghasilkan draf Defence Aquisition Procedure-2020 (DAP-2020) yang menyentuh secara terperinci mengenai isu penyewaan aset-aset ketenteraan daripada firma komersial atau negara luar.

Sama ada baharu atau terpakai, mungkin pilihan yang lebih baik daripada melakukan perolehan terus. Ia menjadi pilihan sekiranya beberapa perkara berlaku menyebabkan perolehan aset secara tradisional tidak dapat dilaksanakan.

Antara perkara-perkara itu adalah kerana kesuntukan waktu, contohnya apabila aset hanya perlu dioperasi untuk jangka masa tertentu dan jika dibeli, ia bakal menjadi ‘gajah putih’ selepas operasi tamat.

Selain itu, untuk memulakan program pembinaan dan pengeluaran, daripada rekabentuk, infrastruktur kepada operasi, bakal menelan kos tinggi dan masa yang lama.

India sebenarnya telah lama mengamalkan polisi menyewa platform dari negara luar. Apabila berasakan perlu memiliki sebuah kapal selam nuklear, ia telah menyewa platform tersebut dari Rusia pada 1988 dan kini ia telah bersetuju menyewa sebuah lagi kapal selam nuklear dari negara sama. Ia dijangka mula digunakan pada 2025.

PERSAINGAN SENGIT INDUSTRI KETENTERAAN

Bagi negara-negara pengeluar kelengkapan dan platform ketenteraan, kebenaran menyewakan produk mereka kepada negara lain adalah satu alternatif yang dilihat amat membantu dalam persaingan semakin sengit melibatkan industri-industri ketenteraan global.

Ia menjadi lebih kritikal akibat sebahagian besar negara global berdepan masalah bajet ketenteraan yang semakin mengecil dan keadaan ekonomi serta keselamatan global tidak menentu.

Contohnya, pada 2005, syarikat produk pertahanan kerajaan Rusia, Rosoboronexport telah mencadangkan agar satu undang-undang berkaitan penyewaan produk pertahanan kepada negara luar oleh firma-firma tempatan diluluskan. Ia rentetan eksport kelengkapan pertahanan firma tersebut telah merosot sebanyak USD700 juta berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Baru-baru ini Kementerian Pertahanan Malaysia telah membuat keputusan menyewa empat helikopter Leonardo AW 139 melalui konsep Government Operate, Company Own and Maintain (GOCOM) atau dalam bahasa Melayu - ‘kerajaan mengoperasi, firma memiliki dan menyenggara’.

Tidak semua perkara berkaitan penyewaan aset bersifat positif, malah jika tidak dilakukan dengan mengambil kira semua faktor, ia boleh mengakibatkan penanggungan kos lebih tinggi berbanding perolehan.

Antara faktor perlu dinilai adalah tahap senggaraan oleh pihak tentera atau firma yang menyewakan pesawat. Jika segala kos senggara sepanjang kontrak ditanggung oleh firma, tentunya kos menanggung sara hidup dan upah juruteknik dari luar selama mana mereka berada di negara ini akan dimasukkan dalam kos keseluruhan sewaan yang tentunya bukan sedikit.

Selain itu, adakah firma yang menyewakan pesawat membenarkan pesawat dipasangkan dengan kelengkapan lain bagi menyesuaikan ia dengan piawaian operasi pihak yang menyewa.

Apakah bakal terdapat kos lain jika dilakukan dan apakah kos mengembalikan pesawat ke status asalnya setelah tamat tempoh sewaan turut melibatkan kos tambahan.

Terdapat juga kebimbangan bahawa penyewaan aset berkemungkinan besar akan mudah dimanipulasi golongan tertentu bagi tujuan kewangan semata-mata, sama ada dari sektor industri atau politik.

Alasan lebih cepat, mudah dan lebih murah untuk menyewa daripada membeli akan digunakan bagi menutup kelemahan perancangan, pembangunan dan pengurusan dan aset jangka panjang ketiga-tiga cabang angkatan tentera negara.

Ia bakal menyebabkan pergantungan negara terhadap kelengkapan, kepakaran dan teknologi asing menjadi lebih kronik, seterusnya objektif membangunkan industri tempatan agar kita mampu berdikari dalam bidang pertahanan berkubur.

* Muhammad Fuad Mat Noor ialah penganalisis pertahanan dan pernah menerima anugerah Wartawan Terbaik oleh Kementerian Pertahanan Malaysia pada tahun 2003, 2004, 2006 dan 2007

Klik di sini untuk terus membaca