SHAH ALAM - Pimpinan utama UMNO didesak segera mengeluarkan kenyataan rasmi untuk menamatkan kerjasama Muafakat Nasional (MN) antara parti itu dan Pas yang telah lama terkubur.
Setiausaha Agung Veteran UMNO, Datuk Mustapha Yaakub berkata, penamatan secara rasmi itu perlu dibuat bagi mengelak salah faham mengenai status kerjasama berkenaan selain untuk menghentikan polemik yang tercetus.
Beliau berkata, keputusan Pas yang menolak bekerjasama dengan UMNO dan memilih untuk bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Pribumi) dalam dua Pilihan Raya Negeri (PRN) sebelum ini jelas menunjukkan parti itu tidak berminat untuk meneruskan MN.
"Kalau tanya pendirian Veteran UMNO, kami dari awal lagi sudah mendesak supaya MN ini dibubarkan dengan rasmi kerana bagi kami kerjasama ini sudah mati dan berkubur selepas terbukti Pas tidak jujur dengan kita.
"Kita tidak akan berkompromi (untuk teruskan kerjasama dengan Pas) dan MN perlu dibubarkan dengan rasminya kerana mereka telah dua kali menolak kerjasama dengan kita dalam PRN Melaka dan Johor sebelum ini.
"Lagi pun MN ini tidak berdaftar dan ia hanya satu gagasan yang tidak terlibat dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) di mana kita tidak perlu memanggil mesyuarat agung agung luar biasa sekiranya ingin membubarkannya."Cukup sekadar dengan membuat pengumuman daripada UMNO sama ada dibuat oleh Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi atau Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai polemik kerjasama MN antara UMNO dan Pas yang belum menemui titik noktahnya lagi.
Tambahnya, tindakan segelintir pemimpin Pas termasuk Presidennya sendiri, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang mengeluarkan kenyataan ‘sinis’ terhadap UMNO juga turut memperlihatkan sikap sebenar parti itu.
Klik di sini untuk terus membaca