PEMBAZIRAN makanan sudah menjadi isu yang semakin serius di Malaysia. Secara keseluruhan, semua jenis sisa makanan terbuang yang membentuk kira-kira 17,000 tan metrik merupakan sisa harian isi rumah. Jumlah itu merangkumi 44.5 peratus daripada 38,000 tan sisa pepejal sehari yang dihasilkan dan dibuang.
Menurut Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), daripada jumlah sisa makanan itu, sebanyak 76 peratus merangkumi sisa makanan yang tidak dapat dielakkan dan tidak boleh dimakan manusia seperti sisa tulang, kulit buah-buahan dan sayuran.
Isi rumah di Malaysia secara purata kerugian RM210 setiap bulan atau RM2,600 setahun dari segi kos pembuangan sisa makanan.
Jika setiap individu berjaya mengelak penghasilan satu kilogram sisa makanan, sebanyak RM11 akan dapat dijimatkan.
Pembaziran berlaku kerana sikap tamak dan tidak bertanggungjawab. Mengurangkan pembaziran makanan bukan sahaja membantu menjimatkan wang, malah turut menyumbang ke arah pemuliharaan alam sekitar.
Sisa makanan menjejaskan alam sekitar melalui pembebasan gas karbon dioksida (CO2) dan penggunaan sumber air dengan satu tan sisa makanan menghasilkan 2.5 tan CO2.
Maka, jika setiap individu berjaya mengelak satu kilogram (kg) sisa makanan, sebanyak 2.5 kg CO2 kurang dibebaskan.
Ramadan sudah pun berlalu dan kita kini berada dalam bulan Syawal. Persoalannya, apa yang kita pelajari daripada ibadah puasa yang kita jalani. Adakah perkara sama berulang, yakni pembaziran makanan yang berakhir di tong sampah.
Trend pembuangan sisa makanan meningkat antara 15 dan 20 peratus setiap kali tiba musim perayaan. Dalam masa sehari sahaja, rakyat Malaysia telah membazirkan makanan dengan berat lapan juta kg, jumlah pembaziran cukup besar. Natijahnya, lebih banyak makanan disajikan, lebih banyak jugalah pembaziran berlaku.
Justeru, jalan penyelesaian segera perlu dicari agar pembaziran khususnya pada musim perayaan tidak berterusan dan terus berleluasa, antaranya pastikan kita mempunyai bajet dan menu menjimatkan. Hanya masak apa yang perlu.
Walaupun rumah terbuka adalah tarikan di hari raya, dinasihatkan agar membuat perkiraan sebelum mengundang tetamu untuk datang supaya tidak berbelanja sesuka hati.
Ia boleh dilakukan dengan menempah makanan bagi 10 hingga 15 peratus lebih rendah daripada jumlah tetamu yang dijangkakan. Selain itu, gunakan pinggan mangkuk bersaiz kecil atau sedang yang akan mendorong tetamu mengambil makanan sedikit demi sedikit dan bukannya berlebihan.
800 JUTA INDIVIDU TIDAK CUKUP MAKAN
Didik juga ahli keluarga supaya tidak membazir, antaranya dengan mengajar anak-anak cara menguruskan makanan dengan mengambil makanan dalam kuantiti sedikit terlebih dahulu.
Masyarakat disaran bijak menguruskan makanan dengan makan secara berhemah, masak atau ambil makan diperlukan sahaja bagi mengelak pembaziran.
Sebenarnya untuk banyak jenis makanan tertentu, jika kita faham kaedah pengurusannya, ia tahan lama dan tidak perlu dibuang. Misalnya, makanan yang sudah dimasak jika diuruskan dengan betul dapat dielak daripada rosak atau terus dibuang ke dalam tong sampah seperti lemang dan nasi impit.
Masih belum terlambat untuk masyarakat mengubah fenomena pembaziran makanan. Jika setiap orang melakukan tanggungjawab untuk mengurangkan pembaziran makanan, kita akan dapat mengurangkan jumlah pembaziran makanan di Malaysia.
Kesedaran masyarakat terhadap isu pembaziran makanan pada musim perayaan perlu ditingkatkan susulan peningkatan kadar sisa pepejal harian hampir setiap tahun.
Sebelum anda membuang makanan, fikirkan nasib hampir 800 juta individu yang tidak cukup makanan di seluruh dunia!
* Profesor Madya Dr Haliza Abdul Rahman ialah Ketua Laboratori Belia Dalam Kepimpinan, Politik dan Kewarganegaraan Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS) Universiti Putra Malaysia
Klik di sini untuk terus membaca