MANILA - Jutaan rakyat Filipina membanjiri pusat pengundian pada Isnin untuk memilih presiden baharu yang menyaksikan anak bekas pemimpin diktator, Ferdinand Marcos menjadi calon pilihan ramai dalam pemilihan tersebut. Kebanyakan penduduk... Klik di sini untuk terus membaca

MANILA - Jutaan rakyat Filipina membanjiri pusat pengundian pada Isnin untuk memilih presiden baharu yang menyaksikan anak bekas pemimpin diktator, Ferdinand Marcos menjadi calon pilihan ramai dalam pemilihan tersebut.

Kebanyakan penduduk lengkap memakai pelitup muka mula beratur panjang sebelum subuh untuk menunaikan tanggungjawab mereka.

Setelah hampir 40 tahun rejim pemerintahan bapanya digulingkan, Ferdinand 'Bongbong' Marcos Jr kelihatan bersedia untuk mengembalikan dinasti politik keluarga mereka.

Seramai 10 calon bertanding untuk mengambil alih tampuk pemerintahan Presiden Rodrigo Duterte yang dilihat sebagai detik mendebarkan buat demokrasi negara itu yang rapuh dan dihimpit pelbagai kontroversi.

Marcos Jr menyapa para penyokongnya ketika tiba di pusat pengundian di Mariano Marcos Memorial Elementary School di Batac, Ilocos Norte.

Tetapi, hanya Marcos Jr dan pesaing utamanya, Leni Robredo yang merupakan penyandang naib presiden dikatakan mempunyai peluang besar untuk menang.

Pemilihan pada kali ini juga menyaksikan Sandro, 28, yang merupakan putera sulung Marcos Jr bertanding di peringkat daerah Kongres buat pertama kali di wilayah Ilocos Norte yang merupakan kubu kuat keluarganya.

Sandro mengakui sejarah keluarganya telah menjadi 'beban', namun dia akan cuba melindungi kubu kuat keluarganya itu selama mereka berkhidmat.

Sementara itu, penyokong Robredo, 57, berpendapat beliau layak untuk menggantikan Duterte malah kehadirannya untuk membuang undi di sebuah sekolah di wilayah Camarines Sur turut disambut sorakan para penyokongnya.

Robredo menunjukkan jarinya yang dicelup dakwat kekal selepas beliau membuang undi di bandar Magarao di wilayah Camarines Sur.

"Beliau tidak dihimpit sebarang tuduhan rasuah. Beliau bukan 'pencuri' dan seorang pemimpin yang jujur," kata Corazon Bagay, 52.

Sejak ahli ekonomi itu mengumumkan pencalonannya pada Oktober lalu, kumpulan sukarelawan telah berganding bahu untuk meyakinkan pengundi supaya membuat pilihan yang tepat.

Pada akhir kempen yang sengit, keputusan kaji selidik terbaharu menunjukkan Marcos Jr berpotensi menang besar memandangkan beliau mendahului Robredo dengan kelebihan dua angka.

Skandal rasuah dan pemerintahan kejam bapanya dikatakan sedikit sebanyak telah menaikkan populariti keluarga elit politik tersebut.

Peratusan jumlah penduduk keluar menunaikan kewajipan mereka dijangka tinggi dalam kalangan lebih 65 juta rakyat layak mengundi pada pemilihan kali ini.

"Barisan yang panjang menjadi bukti bahawa rakyat Filipina mahu suara mereka didengari pemimpin," kata jurucakap Suruhanjaya Pilihan Raya, George Garcia.

BIMBANG PRESIDEN SETERUSNYA LEBIH TERUK

Selepas pemerintahan autoritarian Duterte, pemimpin gereja katolik dan penganalisis politik bimbang jika pentadbiran Marcos Jr adalah lebih teruk jika beliau menang besar dalam pilihan raya sengit itu.

"Kami berpendapat ia akan memburukkan lagi krisis hak asasi manusia di negara ini," kata Setiausaha Agung pakatan hak asasi manusia, Karapatan, Cristina Palabay.

Walaupun Marcos Jr mempunyai peluang untuk meraih 75 peratus undi, Robredo mungkin boleh membuat kejutan kerana peguam berusia 57 tahun itu berikrar untuk membersihkan taktik politik kotor yang telah sekian lama melanda negara itu yang dikuasai dinasti politik.

Marcos Jr dan pasangan regunya, Sara Duterte-Carpio berulang kali menegaskan mereka adalah yang paling layak untuk menyatukan negara itu walaupun maksudnya dikatakan masih tidak jelas hingga kini.

Keputusan tinjauan menunjukkan Marcos Jr diramalkan memenangi lebih separuh daripada undi yang akan menjadikan beliau sebagai calon presiden pertama meraih majoriti mutlak selepas bapanya digulingkan.

Penganalisis politik, Richard Heydarian memberi amaran kemenangan besar seperti itu membolehkan Marcos Jr membuat pindaan kepada Perlembagaan untuk mengukuhkan kuasanya dan melemahkan kawalan serta imbangan demokrasi.

Calon lain yang mahu merebut jawatan tertinggi itu termasuk legenda tinju, Manny Pacquiao dan aktor Francisco Domagoso.

Tetapi, sokongan ke atas calon biasanya bergantung kepada personaliti dan bukan dasar yang diperjuangkan mereka yang menyebabkan pembelian undi dan penggunaan kekerasan terus menjadi masalah tidak berkesudahan di negara itu.

Anggota keselamatan berkawal di jalan utama di Manila City bagi dan melakukan pemeriksaan ke atas pengguna lalu lintas.

Lebih 60,000 anggota keselamatan dikerah untuk mengawal keselamatan di pusat pengundian di seluruh negara.

Beberapa jam sebelum proses pengundian bermula, serangan bom tangan di wilayah selatan Mindanao turut menyebabkan sembilan orang cedera.

Walau apa jua keputusan akhir, penentang Marcos Jr telah berikrar untuk mengambil langkah seterusnya untuk membatalkan kelayakan beliau yang sebelum ini berdepan kes sabitan cukai dan pengeluaran cukai harta pusaka bernilai berbilion dolar milik keluarganya.

"Ini adalah satu lagi perjuangan buat kami. Kami akan terus bangkit dan berjuang," kata Judy, Taguiwalo, 72, yang merupakan aktivis anti-Marcos yang pernah ditahan sebanyak dua kali dan diseksa ketika di bawah rejim pemerintahan bapanya. - AFP

Klik di sini untuk terus membaca