SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Perbuatan menyalahkan pihak lain yang berlaku pada konflik Rusia-Ukraine perlu dihentikan kerana ia akan menyukarkan dalam mencari jalan penyelesaian.
Bekas Menteri Luar, Tan Sri Syed Hamid Albar berkata, perkara tersebut boleh diselesaikan melalui sesi dialog antara negara-negara yang terjejas.
Menurutnya, satu-satunya cara yang boleh menyelesaikan peperangan dua negara itu adalah melalui diplomasi dan ia perlu dilakukan dengan segera.
"Anda tidak boleh menghentikan perang tanpa melakukan dialog. Saya tidak tahu sama ada presiden Amerika Syarikat dan presiden Rusia telah memulakan dialog sesama mereka tetapi ia penting dan saya fikir kita harus menghentikan permainan menyalahkan mana-mana pihak.
"Permainan menyalahkan ini menyebabkan jalan penyelesaian bersama sukar untuk ditemui," katanya semasa menjadi panelis dalam Wacana English bertajuk Cabaran Global dalam Dunia Multipolar anjuran Sinar Daily pada Isnin yang juga merupakan Hari Kesatuan Eropah (EU).
Ia merupakan pertama kali dalam sejarah apabila Portal bahasa Inggeris Kumpulan Sinar Karangkraf, Sinar Daily menganjurkan satu program Wacana Edisi Inggeris yang melibatkan wakil-wakil dari negara EU untuk membicarakan isu global.
9 Mei merupakan Hari kesatuan Eropah, sebuah perayaan tahunan bagi meraikan keamanan dan penyatuan di Eropah malah dikenali sebagai Hari Schuman.
Untuk rekod, EU telah diwujudkan oleh Perjanjian Maastricht pada 1 November 1993 dan ia adalah kesatuan politik serta ekonomi antara negara-negara Eropah yang membuat dasarnya sendiri mengenai ekonomi, masyarakat, undang-undang dan tahap keselamatan ahli.
Turut hadir selaku panelis, Duta EU ke Malaysia, Michalis Rokas dan Profesor Ekonomi, Institut Asia-Eropah, Universiti Malaya, Datuk Profesor Dr Rajah Rasiah manakala Dr Rahul Mishra sebagai moderator.
Perwakilan lain itu adalah Duta Besar Jerman, Dr Peter Blomeyer, Duta Besar Hungary, Dr Petra Ponevacs; Duta Poland, Krzysztof Debnicki; Duta Besar Austria, Andreas Launer; Duta Besar Finland, Sami Leino dan Duta Besar Romania, Nineta Barbulescu.
Selain itu, Duta Besar Ireland, Hilary Reilly; Timbalan Ketua Misi dari Itali, Pietro Tombaccini; Timbalan Ketua Misi dari Sweden, Ola Pihlblad dan Timbalan Ketua Misi dari Sepanyol, Santiago Lozano.
Turut sama, Pengerusi Kumpulan Media Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacob; Kumpulan Pengarah Eksekutif Karangkraf, Akmal Eirfan Mohamed Fauzi; Ketua Pegawai Eksekutif Sinar Karangkraf, Farah Hussamuddin dan Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian, Rozaid Rahman.
Mengulas lanjut, Syed Hamid menambah, negara-negara di bawah ASEAN juga boleh memainkan peranan dalam menghentikan peperangan tersebut, namun perlu mengutamakan negara dalam ASEAN terlebih dahulu.
Beliau mendakwa, negara-negara ASEAN ketika ini terlalu tenggelam dalam persaingan dengan negara lain selain memfokuskan cara untuk setaraf dengan China dan negara lain.
Justeru, beliau percaya Eropah boleh memainkan peranan dalam konflik Ukraine apabila ASEAN berada dalam keadaan yang mencabar.
"Saya fikir, Eropah boleh mengambil kepimpinan dan memainkan peranan yang lebih baik kerana dunia pada masa ini mempunyai kekurangan pemimpin di pihak barat. Tetapi mereka tidak boleh menjadi sebahagian daripada Amerika Syarikat dalam mencari penyelesaian ini,” katanya.
Konflik itu berlaku apabila Rusia melancarkan pencerobohan berskala penuh ke atas Ukraine pada Februari yang menyaksikan ribuan orang awam terkorban dan lebih tujuh juta orang kehilangan tempat tinggal.
Konflik berlarutan selama lebih daripada dua bulan itu, memaksa lima juta lagi rakyat Ukraine melarikan diri ke negara jiran dengan majoritinya di Poland di mana Amerika Syarikat dan sekutu lain membantu menampung kemasukan pelarian.
Klik di sini untuk terus membaca